October 29, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Satu Kesilapan, “Dua Nyawa” Berubah

Spread the love

Puteri Balqis, Jazmy Juma dan Zarif Ghazzi terajui drama iQIYI yang mengangkat realiti kehamilan remaja, cinta dan pengorbanan

Satu keputusan mampu mengubah seluruh kehidupan, apatah lagi apabila kesilapan yang dilakukan pada usia muda membawa kesan berpanjangan terhadap masa depan.

Mengangkat realiti itu, platform penstriman iQIYI tampil dengan drama Original terbaharu, Dua Nyawa, yang mengetengahkan isu kehamilan remaja, tekanan keluarga dan masyarakat, selain tanggungjawab yang perlu dipikul apabila berdepan pilihan sukar.

Dibintangi Puteri Balqis, Jazmy Juma dan Zarif Ghazzi, drama 12 episod itu bukan sekadar menyajikan konflik percintaan, sebaliknya membawa mesej tentang pengorbanan, penerimaan serta kesediaan menghadapi akibat daripada setiap keputusan.

Bertemakan ‘Bila Hidup Paksa Kita Dewasa’, Dua Nyawa mengisahkan Farhana lakonan Puteri Balqis, seorang gadis muda yang kehidupannya berubah selepas hamil hasil hubungannya dengan Zafran, watak yang dibawakan Jazmy.

Ketika berdepan tekanan keluarga dan masa depan yang tidak menentu, Fawwaz lakonan Zarif pula memilih untuk terus berada di sisi Farhana, meskipun perlu melakukan pengorbanan besar demi insan yang dicintainya.

Pertembungan tiga watak itu mencetuskan persoalan lebih besar daripada soal cinta, iaitu sejauh mana seseorang bersedia memikul tanggungjawab apabila kehidupan tidak lagi berjalan seperti yang dirancang.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata drama berkenaan mencerminkan komitmen platform itu dalam mengetengahkan karya tempatan yang dekat dengan realiti masyarakat serta membawa mesej relevan kepada penonton.

Menurutnya, Dua Nyawa turut bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mencegah kehamilan pada usia remaja serta membuat keputusan secara bertanggungjawab.

“Menerusi Dua Nyawa, kami ingin menyampaikan mesej yang jelas tentang pentingnya mencegah kehamilan pada usia remaja dan membuat pilihan yang bertanggungjawab.

“Kami mahu golongan muda memahami bahawa menjadi ibu bapa ialah tanggungjawab sepanjang hayat yang memerlukan kesediaan emosi dan kewangan,” katanya.

Dinesh berkata, pihaknya berharap kisah yang dipaparkan mampu mencetuskan kesedaran dan perbincangan, khususnya dalam kalangan golongan muda, mengenai implikasi setiap keputusan terhadap kehidupan mereka.

Sementara itu, penulis novel dan skrip, Liza Nur, berkata idea menghasilkan Dua Nyawa tercetus daripada kebimbangannya terhadap isu kehamilan remaja serta kesannya terhadap masa depan golongan berkenaan.

Katanya, kisah itu diharap dapat menjadi peringatan kepada golongan muda supaya lebih memahami akibat daripada tindakan yang dilakukan tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

“Kes remaja terlanjur dan mengandung pada usia muda adalah masalah yang kian meruncing dalam masyarakat kita. Saya mengharapkan cerita ini dapat memberi pendedahan dan mengingatkan anak-anak muda tentang implikasi setiap keputusan yang dibuat.

“Adakalanya, satu kesilapan mampu mengubah seluruh masa depan,” katanya.

Liza mengakui, antara cabaran utama menghasilkan naskhah itu ialah memahami pemikiran serta pergolakan emosi tiga watak remaja yang masing-masing berdepan konflik tersendiri.

Menurutnya, setiap karakter memerlukan pendekatan berbeza bagi memastikan perjalanan emosi Farhana, Fawwaz dan Zafran dapat diterjemahkan dengan berkesan.

“Ketiga-tiga watak berat dan diolah dengan graf emosi tersendiri. Pada usia sekarang, pastinya ia satu cabaran untuk saya kerana perlu masuk semula ke dunia remaja yang sudah lama saya tinggalkan dan mengolah cerita mengikut cara pemikiran Farhana, Fawwaz dan Zafran,” katanya.

Selain Puteri yang menggalas watak Farhana, Jazmy turut memperlihatkan sisi berbeza menerusi karakter Zafran yang lebih kompleks berbanding imej hero romantik yang sering dikaitkan dengannya.

Zarif pula membawakan watak Fawwaz, pemuda penyayang yang sanggup berkorban demi wanita yang dicintainya.

Gabungan penulisan Liza dan arahan Riza Baharudin dijangka menghidupkan konflik serta emosi watak menerusi penceritaan yang menyentuh persoalan cinta, penerimaan keluarga dan tanggungjawab.

Diterbitkan Global Station Sdn Bhd, Dua Nyawa mempunyai 12 episod dan bakal menemui penonton secara eksklusif di iQIYI bermula 13 November 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page