December 11, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pelancaran Album Margasatwa “SERIBUDAYA” & GEMPITA ALAM SERIBUDAYAdirencana berlangsung di RGB Studio, Shah Alam pada 30 November 2024

Spread the love

Kumpulan Margasatwa Lancar Album Seribudaya: Perjalanan Muzik Berunsur Budaya dan Seni Kontemporari

Kumpulan Margasatwa, salah satu kumpulan muzik tempatan yang sedang meningkat naik, dengan penuh teruja mengumumkan pelancaran album terbaharu mereka, ‘Seribudaya’. Album ini menjadi manifestasi perjalanan seni mereka selama hampir lima tahun, menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden yang membawa nafas segar ke dalam dunia muzik Malaysia.

Album ‘Seribudaya’ merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan penuh dedikasi, dirakam di pelbagai studio termasuk Makmal Kampung Batu, Studio Selingsing, dan Studio Tongkat Sakti. Proses pengadunan dan mastering pula dikendalikan oleh penerbit terkemuka seperti Rahmad Kamikaze dan Rozhan.

Dengan arahan kreatif dari penerbit muzik Loque, album ini menghidupkan semula nilai budaya dan seni melalui pendekatan muzik kontemporari.

Loque menyifatkan pembabitan dalam pembikinan ‘Seribudaya’ sebagai sebuah pengalaman berbeza yang pernah dilalui sebelum ini dan teruja dengan kembara eksperimentasi sepanjang bekerjasama.

”Margasatwa sangat sarat dengan seni bukan hanya luaran tetapi dalaman juga. Mereka berpengetahuan dalam bidang muzik menjadikan saya seronok berkarya kerana kami dapat bereksperimentasi dengan bukan hanya bunyi tapi dengan gubahan.

”Saya hanya menolong dari segi penerbitan tapi tulis lagu dan main lagu mereka sendiri, mereka adalah pemuzik yang hebat kerana berpengetahuan.

”Lagu-lagu yang ditulis oleh Kimal dan Fadhil serta Margasatwa sendiri adalah kombinasi yang menarik. Kesimpulannya Margasatwa punya benih-benih yang akan membantu bunyi dan tumbesaran seni di Malaysia.  ‘Seribudaya’ ini adalah penggembaran muzik. Seni yang patut diraikan,” ujar Loque.

Bukan hanya Loque, penghasilan album ini mendapat sokongan daripada pelbagai individu berpengalaman dalam industri muzik, yang memberikan bimbingan dan inspirasi penting semasa proses pembikinan.

Panduan dan tunjuk ajar ini memberi Margasatwa keyakinan untuk terus berkarya dan menghasilkan album yang bermakna.

Antara individu yang paling penting yang juga menggerakkan kugiran legenda Spider itu telah berpulang ke Rahmatullah. Mereka adalah Allahyarham Tony Iskandar yang meninggal dunia pada 30 Jun 2021 di usia 50 tahun dan Hanafi Hamdan atau Napie yang kembali ke sisi Allah pada usia 51 tahun, 22 November lalu.

Cover Album SERIBUDAYA

“Banyak pihak telah menyokong perjalanan kami dalam penghasilan album ini, terutamanya semasa fasa awal pre-produksi. Kami sangat bersyukur atas semua ilmu dan dorongan yang telah diberikan untuk memastikan SERIBUDAYA menjadi realiti,” kata Kimal, vokalis utama Margasatwa.

Dan membawa semangat yang disemat sebagai azimat, Margasatwa bersedia untuk mempersembahkan SERIBUDAYA bukan sekadar menerusi bentuk fizikal dan audio namun siap untuk bertemu peminat secara langsung dalam sebuah konsert yang sudah direncana.

Margasatwa dengan penuh teruja menanti sekitar 1,000 peminat untuk turut serta dalam konsert eksklusif yang diadakan sempena pelancaran album SERIBUDAYA untuk meresap dalam keberagaman di antara tradisional dan kontemporari selain menikmati kembara mereka/

“Kami hanya ingin peminat bergempita dan meraikan SERIBUDAYA seperti mana mereka telah dan masih merayakan karya-karya kami yang sebelumnya,” tambah Kimal lagi.

Untuk itu buat peminat Margasatwa, simpan dalam kotak fikiran dan tandakan kalender anda dengan dua projek paling dinantikan ini;  Pelancaran Album SERIBUDAYA dan Konsert GEMPITA ALAM SERIBUDAYA dari Margasatwa.

Laman tiket: Tiket berharga RM80. RM89 dan RM199  boleh didapatkan di https://www.ticket2u.com.my/event/38016/margasatwa-album-launch-concert-gempita-alam-seribudaya.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page