“Naa Vera Level” lonjak Kidd Santhe ke pentas antarabangsa
Selepas sekian lama menjadi antara nama penting dalam arena hip-hop Tamil tempatan, penyanyi, rapper dan penerbit muzik, Kidd Santhe kini melangkah ke satu tahap baharu menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Naa Vera Level, sebuah karya berimpak tinggi yang menyatukan tenaga kreatif Malaysia dan India.
Lagu yang menampilkan artis dari Chennai, Raavanaa Ram itu merupakan single kedua daripada album Mr. Crorepati yang dijangka menemui peminat tahun ini. Lebih daripada sekadar lagu baharu, Naa Vera Level menjadi simbol keberanian Kidd Santhe dalam memperluaskan pengaruh muziknya ke peringkat antarabangsa.
Membawa maksud “saya berada pada tahap yang berbeza”, judul tersebut dilihat sebagai manifestasi keyakinan diri, cita-cita besar dan evolusi artistik Kidd Santhe yang semakin matang. Ia juga menjadi penanda aras baharu dalam kariernya apabila menerima sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South selain diterbitkan menerusi Sony Music Entertainment Malaysia dan Kidd Next Door Productions.
Perkembangan itu sekali gus meletakkan Kidd Santhe dalam kelompok kecil artis Malaysia yang berjaya mendapat sokongan pengedaran global daripada rangkaian Sony Music India, sekali gus membuka peluang lebih luas untuk menembusi pasaran muzik Asia Selatan dan antarabangsa.
Kolaborasi bersama Raavanaa Ram turut memberi dimensi baharu kepada karya tersebut. Nama Raavanaa Ram semakin dikenali di India selepas muncul sebagai naib juara program realiti popular Zee Tamil, Single Pasanga, sebelum mengembangkan kerjayanya sebagai penyanyi dan rapper.
Gabungan kedua-dua artis itu menghasilkan sebuah karya yang bukan sekadar kolaborasi biasa, sebaliknya menjadi pertembungan budaya dan identiti muzik jalanan dari dua negara. Energi hip-hop Tamil Malaysia disatukan dengan karakter rap Chennai yang lebih mentah dan berani, menghasilkan bunyi yang segar serta autentik.
Menurut Kidd Santhe, lagu itu lahir daripada keinginannya untuk membuktikan bahawa identiti tempatan mampu berdiri megah di pentas global tanpa perlu mengorbankan akar budaya sendiri.
“Saya tidak mencipta lagu ini untuk mengikut trend. Saya mahu buktikan bahawa kita juga mampu membawa identiti kita ke tahap global tanpa perlu mengubah siapa diri kita,” katanya.
Menariknya, Naa Vera Level turut menjadi karya pertama Kidd Santhe dalam genre Tamil Kuthu, satu gaya muzik yang terkenal dengan rentak rancak dan elemen perayaan masyarakat Tamil.
Sebagai komposer dan penerbit sepenuhnya untuk lagu itu, beliau menggabungkan pelbagai instrumen tradisional India seperti udukai, thavil, jaldra, tuttari, salangai, tabla, urumee dan tappu dengan susunan muzik moden. Hasilnya ialah sebuah karya yang sarat identiti budaya tetapi masih mempunyai daya tarikan komersial dan kontemporari.
Lebih mengagumkan, projek tersebut dilaporkan menelan kos melebihi RM100,000 merangkumi aspek rakaman, pembikinan video muzik dan pemasaran antarabangsa, menjadikannya antara projek terbesar pernah dihasilkan Kidd Santhe sepanjang kerjayanya.

Aspek visual turut diberikan perhatian khusus menerusi pembikinan video muzik berskala besar yang dirakam sepenuhnya di Chennai. Diarahkan oleh Parthiban Ravi dengan kerjasama Studio Shades dan Aiiagi Studios, video tersebut mengetengahkan konsep perlumbaan autorickshaw jalanan dalam suasana penuh aksi dan sinematik.
Produksi itu melibatkan lebih 250 kru, penggunaan kamera Sony Venice, kesan visual (VFX), teknologi kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai aksi lagak ngeri yang mencabar. Menariknya, keseluruhan penggambaran berjaya diselesaikan dalam tempoh hanya 28 jam tanpa henti.
Di sebalik aksi mendebarkan itu, autorickshaw dipilih sebagai simbol kehidupan masyarakat bandar India yang menjadi nadi kepada jutaan keluarga dan pekerja. Melalui pendekatan tersebut, video muzik Naa Vera Level bukan sahaja tampil menghiburkan, malah membawa mesej sosial yang dekat dengan realiti kehidupan rakyat biasa.
Sebagai sebahagian daripada promosi antarabangsa lagu berkenaan, Kidd Santhe dijadual mengadakan siri sesi media eksklusif di Chennai pada 20 dan 21 Mei ini, termasuk tayangan khas video muzik di pawagam Dolby Atmos bersama wakil media India.
Dengan gabungan produksi berskala besar, kolaborasi rentas negara dan identiti budaya yang kuat, Naa Vera Level dilihat berpotensi menjadi antara karya paling penting dalam perjalanan seni Kidd Santhe, sekali gus mengangkat nama hip-hop Tamil Malaysia ke pentas yang lebih luas.
Single Naa Vera Level nyanyian Kidd Santhe bersama Raavanaa Ram kini boleh distrim di semua platform digital utama di seluruh dunia.
