June 3, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Jason Mraz Kembali Gegar Kuala Lumpur Selepas Tujuh Tahun

Spread the love

Pelantun I’m Yours bakal hiburkan peminat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 31 Oktober ini menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur

Kredit Foto:  Shervin Lainez

Selepas tujuh tahun menyepi daripada pentas Malaysia, penyanyi dan penulis lagu terkenal Amerika Syarikat, Jason Mraz akhirnya mengumumkan kepulangannya menerusi konsert solo yang dijangka menjadi antara acara muzik antarabangsa paling dinantikan tahun ini.

Menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur, pelantun lagu ikonik I’m Yours itu bakal menghiburkan peminat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 31 Oktober depan dalam sebuah persembahan yang menjanjikan malam penuh emosi, nostalgia dan aura positif.

Penyanyi yang memiliki lebih dua bilion penstriman menerusi lagu I’m Yours itu terus kekal relevan dalam industri muzik global hasil karya yang sarat dengan mesej inspirasi dan kemanusiaan.

Sepanjang lebih dua dekad kariernya, Mraz berjaya membina identiti muzik tersendiri menerusi gabungan elemen akustik-pop, folk, reggae, R&B dan disko yang menjadikan lagu-lagunya mudah diterima pelbagai lapisan pendengar.

Selain I’m Yours, peminat pastinya teruja untuk menyanyikan bersama lagu-lagu popular lain seperti I Won’t Give Up, Lucky bersama Colbie Caillat, Have It All, I Feel Like Dancing dan The Remedy (I Won’t Worry) yang menjadi antara karya malar segar beliau.

Perjalanan seni Mraz juga cukup mengagumkan apabila bermula sebagai pemuzik jalanan dan penghibur kafe sebelum mencipta nama sebagai salah seorang penyanyi-penulis lagu paling berpengaruh di dunia.

Pemenang pelbagai anugerah termasuk Grammy Awards itu kini mempunyai sembilan album studio dengan beberapa daripadanya mencapai status platinum dan multi-platinum.

Tidak hanya tertumpu kepada muzik, Mraz turut melebarkan pengaruhnya ke pentas teater apabila membintangi muzikal Broadway Waitress, selain menjadi penerbit eksekutif dokumentari The Opener serta muncul sebagai naib juara program televisyen popular Dancing with the Stars.

Di sebalik kejayaan seninya, beliau turut dikenali sebagai aktivis kemanusiaan menerusi penubuhan Jason Mraz Foundation yang memperjuangkan pendidikan seni inklusif dan kesaksamaan sosial.

Pengarah Zues Event, Jeffery Chin berkata, konsert berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk membawakan pengalaman muzik bertaraf dunia kepada peminat tempatan.

“Ramai rakyat Malaysia membesar dengan lagu-lagu Jason Mraz dan muziknya masih relevan sehingga hari ini kerana membawa mesej positif, emosi serta keaslian.

“Kami percaya kepulangannya ke Kuala Lumpur bukan sahaja menarik peminat setia, malah pencinta muzik yang mahukan pengalaman persembahan langsung bertaraf dunia. Kami juga menyediakan pertunjukan percikan api serta persembahan dron yang akan menghiasi ruang udara pada malam konsert,” katanya.

Menurut penganjur, semua kategori tiket adalah tempat duduk dan akan mula dijual menerusi etix.my pada 11 Jun ini bermula jam 10.50 pagi.

Harga tiket ditawarkan bermula RM158 bagi kategori Signature (Restricted View), RM288 (Nostalgic), RM388 (Originals), RM488 (Soulful), RM588 (Acoustic) dan RM688 bagi kategori Jazzy, tidak termasuk caj pemprosesan serta cukai berkaitan.

Kepulangan Jason Mraz kali ini dijangka mengubat kerinduan ribuan peminat tempatan yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan penyanyi berimej topi fedora itu beraksi secara langsung sekali lagi di Malaysia. Dengan deretan lagu hit dan persembahan yang terkenal dengan elemen interaktif, konsert ini berpotensi menjadi antara malam paling bermakna buat pencinta muzik sepanjang 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page