September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Muzikal Orkestra Penuh Rasa Cinta Hadiah Mahalini 3 Februari

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Perlahan-lahan nama penyanyi jelita kelahiran Bali, Indonesia ini mulai mendaki senarai papan atas sebaris nama-nama artis wanita popular di Indonesia. Pemilik nama asal Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, atau lebih mesra dengan panggilan Mahalini, siap sedia untuk bertemu para peminatnya di Malaysia tanggal 3 Februari nanti lewat konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur. Diterbangkan istimewa oleh jenama kosmetik tersohor negara, Alha Alfa bersama syarikat penganjur konsert, Kharisma Music, Mahalini telah bertandang menjayakan sidang media khas pada 13 Januari lalu bagi mempromosikan konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena KL.

Turut menampilkan bintang undangan khas, Rizky Febian yang juga merupakan tunangannya, Mahalini yang popular dengan lagu “Sial”  ini telah belanja hadirin pada malam itu dengan 3 buah lagu. Menyambut ketibaan Mahalini dengan “Melawan Restu” diiringi mini orkestra lengkap dengan biola, cello dan gitar akustik, diikuti dengan lagu “Kisah Sempurna” dan “Sisa Rasa”. Ternyata penyanyi bersuara emas ini berjaya menghiburkan hadirin dengan nada tinggi dan lunak merdu suaranya pada petang sidang media khas di The Roomah, Publika.

Meskipun perjalanan karier Mahalini masih terbilang singkat, namun ternyata karya lagu-lagu beliau diakui sukses, diterima hebat dan menuai antusiasme tinggi oleh penggemar muzik di Malaysia yang ternanti-nantikan konsert beliau. Bakal diselenggarakan dengan konsep dan susunan muzik orkestra, Mahalini mengaku sudah mulai melakukan persiapan dari mematangkan arrangement lagu, dari segi konsep kostum, begitu juga dengan persiapan fizikal dan stamina agar penampilan nya lebih maksima.

“Disebalik kejayaan konsert Fabula 1.0 dan 2.0 tahun lalu, tercetus idea untuk maju selangkah dalam mengubati kerinduan peminat-peminat di Malaysia yang mahu saya kembali lagi.” cerita Mahalini membuka bicara. “Pastinya saya ingin memberikan sajian pertunjukan dan pengalaman yang berbeza dari sebelumnya. Nantikan kejutan dari segi konsep muzik, busana, penari  latar, efek visual dan set pentas yang lebih menarik.”

Mengangkat tema ‘Lovechestra’ gabungan Love dan Orkestra, kombinasi gubahan dan susunan muzik orkestra yang berkisarkan kisah cinta, kisah suka-duka sepanjang karier seni serta peribadi Mahalini yang memiliki karektor mudah didekati serta sentiasa mebuat orang sekeliling senang bersamanya. Seramai 20 orang pemuzik tempatan telah dipilih untuk menjayakan konsert ini. “Konsert yang dijangka akan berlangsung selama lebih kurang 2 jam dengan seleksi 15 hingga 17 buah lagu itu nanti, akan saya persembahkan bersama band saya sendiri yang dipanggil ‘Lini’, lengkap dengan Pengarah Muzik Khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan Dennis Nusi.” tambah Mahalini begitu teruja dan antusias.

“Paling istimewa, tentunya kehadiran ‘Iky’ (panggilan mesra buat Rizky Febian) akan turut memberi impak yang berlainan dan memberi extra energy buat saya khususnya ketika beraksi pada malam itu nanti.” sambil tersipu malu, Mahalini senyum comel apabila nama tunangan nya disebut-sebut. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut tentang perhubungannya dengan Rizky Febian, lebih cenderung dan selesa untuk fokus berbicara tentang persiapan konsert.

Menceritakan tentang keterujaan yang bakal dipersembahkan, Mahalini membisikkan hasrat untuk membawa para peminat ke dalam dunia seorang Mahalini dengan persembahan yang cukup istimewa, merasai sendiri sebuah momen cerita indah dalam kehidupannya yang berawal dari karya-karya yang mewakili perasaan penonton semua.

Turut hadir pada malam sidang media khas itu ialah Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, iaitu Encik Ahmad Jeffny dan Dato’ Sri Alha Alfa selaku penaja utama konsert. Kedua-duanya kelihatan gembira dan cergas mempromosikan konsert artis bawaan khas mereka ini. “Berdasarkan pencapaian cemerlang nya dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia, pemilihan berpihak kepada Mahalini. Apatah lagi dengan jumlah penstriman di Spotify (Indonesia) yang tertinggi, dengan karya-karya nyanyian Mahalini yang sering menjadi viral di media sosial.” tutur Ahmad Jeffny ketika ditanya mengapa memilih penyanyi jelita itu.

“Selain dari itu, Kharisma Music juga sangat prihatin dalam konteks mengambil-berat dan memenuhi permintaan penggemar muzik di Malaysia yang mendambakan hiburan ‘live’ dalam bentuk fizikal.” sambung beliau lagi. Turut memberi sokongan ialah ERA sebagai Rakan Radio Rasmi, Kayangan Gallery sebagai Rakan Deko, Batik Air sebagai Rakan Penerbangan dan HAPM sebagai Rakan Bersama. “Pembeli tiket berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utamanya berupa sebuah kereta, serta hadiah-hadiah lain yang tidak kurang menariknya.”

Diberitakan sehingga saat ini, jualan tiket konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur telah mencecah 90%, masih ada sedikit lagi yang tersisa, cepat jangan ketinggalan. Tiket-tiket terbahagi dalam beberapa kategori: Standing (RM279), Gold Seated (RM299), VIP Standing (RM429) dan VVIP Seated (RM799). Pembelian boleh dilakukan di laman web www.ticket2u.com.my/mahalini

“Jangan lupa temujanji kita! Yuk berhibur di konsert Lovechestra Mahalini nanti!”


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page