BCL Kembali dengan Aroma Cinta Abadi di Kuala Lumpur September Ini

Bunga Citra Lestari atau BCL bakal menghidangkan sebuah pengalaman persembahan yang penuh emosi dan keindahan cinta menerusi konsert terbaharunya yang bertemakan “BCL: Eternal Love – Timeless Romance”. Konsert ini dijadualkan berlangsung pada 27 September 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), dengan janji untuk membawa peminat menyusuri perjalanan seni beliau yang sarat dengan lagu-lagu bernuansa cinta.
Nama BCL sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada karya-karya cinta yang menyentuh jiwa. Maka tidak hairan apabila konsert ini turut diinspirasikan daripada untaian emosi, kenangan, dan perasaan yang telah lama menjadi identiti penghibur ini. Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah Cinta Sejati, Cinta Pertama (Sunny), Karena Ku Cinta Kau, 12 Tahun Terindah serta single terkini, Memulai Kembali. Kesemuanya akan dilaksanakan dalam produksi bertaraf dunia yang menjanjikan pengalaman magis buat para peminat.

Walaupun Pulse Project Asia merupakan penganjur baharu dalam industri hiburan, pasukan di sebaliknya terdiri daripada individu-individu berpengalaman luas dalam mengendalikan acara berskala besar. Mereka menyifatkan konsert ini sebagai satu penghargaan istimewa kepada peminat yang telah lama menyokong kerjaya seni BCL. Menurut Muhammad Anuar Zaini dari Pulse Project Asia, kehadiran BCL ke Kuala Lumpur bukan sekadar persembahan, tetapi ibarat kepulangan ke rumah kedua yang sentiasa menyambut beliau dengan penuh kasih sayang dan kehangatan.
Bagi BCL, konsert ini amat dinantikan kerana ia memberi peluang untuk beliau berbagi cinta dan kasih sayang dengan peminat-peminat Malaysia yang telah berdiri teguh menyokongnya sejak lebih sedekad lalu. Beliau menjanjikan malam yang intim, emosional dan penuh dengan sentuhan peribadi yang tidak dapat dilupakan.

Tiket untuk konsert ini boleh dibeli secara eksklusif di platform Ticket2U bermula 6 Jun 2025, jam 3 petang. Beberapa tempat duduk akan ditawarkan pada harga istimewa sempena pelancaran, dengan harga pre-sale bermula RM259 dan harga biasa bermula RM288. Peminat yang membuat pembelian tiket pada hari pelancaran turut layak menikmati diskaun 10% sebagai penghargaan atas sokongan mereka.
Sebagai tambahan kepada pengalaman istimewa ini, 300 pembeli tiket terawal akan menerima Pas Soundcheck Eksklusif yang membolehkan mereka menyaksikan sesi latihan BCL secara langsung sebelum konsert bermula. Selain itu, pakej istimewa kategori Cinta Abadi turut diperkenalkan sebagai pengganti kategori VVIP, di mana pemegang tiket akan menikmati sesi Meet & Greet peribadi bersama BCL, sesi bergambar, serta barangan eksklusif yang ditandatangani sendiri oleh penyanyi tersebut.

Peminat dinasihatkan untuk membeli tiket hanya melalui saluran rasmi di Ticket2U bagi memastikan kesahihan tempat duduk dan akses kepada semua keistimewaan yang ditawarkan. Pas Soundcheck akan dihantar melalui e-mel kepada pembeli yang layak dalam tempoh sebulan sebelum tarikh konsert. Konsert BCL: Eternal Love – Timeless Romance dijangka menjadi salah satu persembahan paling berkesan tahun ini dan menjanjikan malam penuh kenangan untuk dikenang seumur hidup.
