June 21, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Mimifly Dedikasi “Sahabat” Buat Allahyarham Jojo

Spread the love

Mimifly bakal melancarkan muzik video terbaharunya berjudul “Sahabat” pada 6 Jun 2025 tepat jam 11:11 pagi menerusi saluran rasmi YouTube miliknya. Lagu ini merupakan sebuah dedikasi penuh makna buat Allahyarham Jojo, rakan seperjuangannya dalam kumpulan One Nation Emcees, yang bukan sahaja berkongsi pentas bersama, tetapi juga membina satu ikatan persahabatan yang utuh dan tidak tergantikan.

Lagu “Sahabat” dicipta oleh Mimifly dan Bo Curley, manakala liriknya ditulis sepenuhnya oleh Mimifly sendiri. Ia lahir sebagai satu luahan kasih, penghormatan, dan perpisahan terhadap seorang sahabat sejati yang telah pergi buat selama-lamanya. Mimifly menjadikan karya ini sebagai saluran untuk menyampaikan perasaannya yang mendalam serta mengabadikan kenangan mereka dalam bentuk muzik.

Muzik video untuk “Sahabat” mengetengahkan konsep retro era lama yang memberi rasa nostalgia, sekali gus menggambarkan perjalanan emosi yang dilalui oleh Mimifly. Konsep visual ini diinspirasikan dan dibentuk sendiri oleh Mimifly yang terlibat secara langsung dalam setiap aspek penghasilan MV, termasuk pemilihan lokasi, kostum, dan gaya sinematografi yang mendalam. Ia dirancang dengan teliti bagi menyampaikan cerita yang dekat di hati dan menyentuh perasaan.

Mimifly bersama Jojo

Proses penerbitan muzik video ini diteruskan bersama Konda Kondi Studio, yang pernah bekerjasama dengan Mimifly sebelum ini. Keserasian dan kesefahaman antara kedua-dua pihak menjadi faktor utama pemilihan studio ini, di mana Mimifly merasakan nilai kreatif mereka berada pada gelombang yang sama dan mampu menterjemahkan emosinya ke dalam bentuk visual yang tepat.

Lagu “Sahabat” turut menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai lagu penutup rasmi bagi filem “Mencari Ramlee” yang akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia bermula 19 Jun 2025. Filem ini dibintangi oleh Sofea Jane dan Tony Eusoff, dan memilih lagu Mimifly itu untuk mengiringi babak penutup sebagai penyudah yang menyentuh hati selepas perjalanan cerita mencapai klimaks.

Mimifly berharap muzik video ini bukan sekadar menjadi satu persembahan visual, tetapi juga simbol penghargaan kepada sahabat yang telah pergi, namun terus hidup dalam memori dan melodi. Ia juga merupakan hadiah buat para peminat yang telah menyokongnya sepanjang perjalanan seni, agar mereka dapat turut merasai kasih dan kehilangan yang dirasainya.

Rakaman bunyi lagu “Sahabat” dimiliki sepenuhnya oleh MFly Entertainment dan diedarkan oleh Archive Capital Sdn Bhd. Mimifly boleh diikuti di media sosial menerusi akaun Instagram dan TikTok dengan nama pengguna @mimiflyyy.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page