June 21, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Syafiq Abdilah & Killa Driz Lancar “Sepanjang Malam”

Spread the love

Lagu Sarat Emosi Tentang Cinta, Kehilangan & Penyembuhan

Dua figura muzik dari dunia berbeza, Syafiq Abdilah bintang Big Stage dan rapper sensasi Def Jam Malaysia, Killa Driz, bergabung tenaga dalam karya terbaharu mereka yang berjudul “Sepanjang Malam”. Lagu ini bukan sekadar sebuah kolaborasi, tetapi menjadi cerminan perjalanan emosi penuh makna yang menyentuh soal kenangan, perpisahan, dan pencarian ketenangan dalam kekeliruan perasaan.

Mengusung tema kehilangan dan penerimaan, Sepanjang Malam mengetengahkan lirik yang jujur dan intim yang menyelami rasa cinta yang pernah bersemi, serta kesakitan yang datang apabila tiba masa untuk melepaskan.

“Ia tentang mengenang seseorang yang kita cintai di masa lalu, dan kemudian belajar untuk move on. Ia juga menjelaskan siapa sebenarnya orang itu dalam hidup kita,” jelas Killa Driz, yang menganggap proses penulisan lagu ini sebagai satu bentuk terapi emosi.

Menurut Syafiq Abdilah, Sepanjang Malam mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan, dengan pelbagai versi dirakam sebelum mereka menemui bentuk akhir yang paling sempurna untuk dikongsi kepada dunia.

“This is the one that we feel is perfect, and we hope you guys enjoy,” ujar Syafiq, yang mengakui kerjasama dengan Killa Driz merupakan impian yang menjadi kenyataan.

Proses rakaman lagu ini dilakukan dalam suasana santai seperti bersama sahabat lama, menurut Killa Driz. Beliau menyifatkan pengalaman bekerja dengan penerbit Shazee dan A&R Giz sebagai momen yang banyak menyumbang kepada mood lagu tersebut.

“Ia antara projek kegemaran saya. Seronok dan sangat therapeutic. Kami banyak berbual, dari perkara serius hingga yang melucukan itu semua bantu bentuk emosi lagu ini,” tambah Driz lagi.

Sepanjang Malam turut diiringi visualiser yang diarahkan oleh pengarah kreatif, TM Farish, menggambarkan perjalanan penyembuhan hati dengan simbolisme dua buah kereta, Nissan R35 dan Nissan Cefiro sebagai metafora pelarian emosi.

“Kadang-kadang bila hati kita resah, kita hanya mahu lari seketika. Visual ini menggambarkan cara kita mengalih tumpuan dengan cara yang selamat,” kata Syafiq, menjelaskan falsafah di sebalik visual yang reflektif dan penuh makna ini.

Karya ini juga mempertemukan Killa Driz dengan bakat-bakat kreatif baharu seperti Syafiq, Shazee dan Farish, yang menurutnya berjaya ‘menyentuh jiwanya’.

“Tiada apa yang rasa susah sepanjang projek ini. Semua berada dalam frekuensi yang sama. Saya bersyukur dan tak sabar untuk bekerjasama lagi,” katanya penuh penghargaan.

“Sepanjang Malam” kini boleh distrim di semua platform digital mulai 30 Mei 2025. Lagu ini bukan sekadar hiburan tetapi ia adalah ruang untuk mereka yang sedang mencari makna, jawapan, dan ketenangan dalam proses melepaskan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page