June 21, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Rossa Bakal Cetus Magis “Here I Am” Di Kl

Spread the love

Hael Husaini, Ariel Noah & The Ladies Meriahkan Pentas

Selepas mencipta fenomena dengan lebih 12,000 peminat membanjiri konsert Here I Am di Indonesia Arena, Jakarta bulan lalu, penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa, kini bersedia mengulangi keajaiban tersebut di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Jun ini.

Konsert mega anjuran Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production ini bukan sekadar pertunjukan seni biasa, malah menjadi simbol penghargaan buat peminat Malaysia yang setia menyokong kerjaya muzik Rossa sepanjang hampir tiga dekad.

“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam hidup dan kerjaya saya. Di sinilah muzik saya berkembang, dan ‘Here I Am’ adalah hadiah cinta saya kepada peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong,” kata Rossa dalam satu kenyataan media.

Malam penuh magis itu bakal diserikan dengan kehadiran Hael Husaini, penyanyi bersuara emas dari Malaysia yang bakal berduet secara eksklusif bersama Rossa.

“Saya sangat mengagumi Hael. Setiap bait lagu yang dinyanyikannya penuh rasa. Ini yang saya cari dalam sesebuah kolaborasi,” ujar Rossa.

Turut memeriahkan pentas ialah kumpulan The Ladies, gabungan mantap empat bintang Indonesian Idol — Rimar, Jemimah, Awdella dan Syarla. Persembahan mereka dijangka memberi nafas baharu dan menjadi simbol kekuatan wanita Nusantara.

Konsert ini juga akan menampilkan kemunculan istimewa penyanyi legenda Ariel Noah, bintang hebat Malaysia Ernie Zakri, serta MK K-Clique, yang membawa energi muda dan dinamik.

Tidak ketinggalan, DJ dan produser muzik terkenal Dipha Barus bakal memberikan suntikan gaya muzik kontemporari yang dijangka mengejutkan peminat.

Sebagai menghargai bakat tempatan, Rossa turut memberi ruang kepada finalis Top 4 program One In A Million — Marygrace, Kai Deva, Jimi dan Zazzleen — untuk tampil dalam segmen istimewa.

Langkah ini membuktikan komitmen Rossa terhadap pemerkasaan bakat generasi baharu dan semangat kolaborasi merentas negara serta generasi.

Dalam konsert yang dijangka berlangsung lebih dua jam itu, Rossa bakal mempersembahkan lebih 25 lagu ikonik dari katalog kerjayanya termasuk Tegar, Hati Yang Kau Sakiti, Aku Bukan Untukmu, Pudar dan Terlalu Cinta.

Konsert ini dijangka menjadi malam penuh emosi dan nostalgia buat para peminat yang telah mengikuti perjalanan seni Rossa sejak awal kariernya

Tiket konsert Here I Am boleh didapati menerusi platform www.ticket2u.com.my, dengan harga bermula dari RM228 (Festival) hingga RM788 (Diamond Center) (tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran).

Untuk tempahan tiket korporat, orang ramai boleh menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau e-mel ke rossa@yayasanprihatin.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page