September 10, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Mansur & Liu: M. Nasir ‘Menghidupkan’ Hikayat, Bukan Sekadar Mengulang Sejarah

Spread the love

Sebuah Percubaan Berani Menggabungkan Sejarah, Cinta, Muzik Dan Imaginasi Dalam Satu Pentas

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Ada sesuatu yang berbeza apabila seorang seniman seperti Datuk M. Nasir memilih untuk masuk ke gelanggang teater muzikal.  Dia bukan sekadar datang membawa nama besar sebagai penyanyi atau komposer, sebaliknya membawa sekali dunia fikir, muzik dan imaginasi yang sudah membentuk identitinya hampir lima dekad.

Itulah yang paling terasa menerusi Mansur & Liu, teater muzikal sulung arahan M. Nasir yang menjalani preview di Istana Budaya pada 9 September lalu sebelum membuka tirai rasmi kepada penonton.

Berdasarkan apa yang dipersembahkan dan diperlihatkan, Mansur & Liu bukan karya yang mahu sekadar mengajak penonton mengimbas kembali sejarah Kesultanan Melayu Melaka.  Sebaliknya, ia menggunakan sejarah sebagai tapak untuk membina sebuah dunia baharu.

Kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu yang diinspirasikan daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menjadi asas kepada cerita yang menggabungkan percintaan, kuasa, diplomasi dan pertembungan dua tamadun.

Dan di sinilah terletaknya keberanian M. Nasir.  Beliau tidak cuba menjadikan Mansur & Liu sebagai dokumentari sejarah yang terlalu terikat kepada fakta. Sebaliknya, beliau mengambil ruang kreatif untuk mengisi bahagian sejarah yang tidak lengkap dengan tafsiran sendiri.

M. Nasir sebelum ini menjelaskan bahawa keterbatasan catatan mengenai Sultan Mansur Shah memberinya “lesen seni” untuk mengagak dan membentuk watak berkenaan mengikut imaginasi kreatif.

Pendekatan itu penting untuk difahami penonton sebelum masuk ke Panggung Sari.  Jangan datang dengan harapan mahu melihat sebuah sejarah yang diceritakan semula bulat-bulat.  Datanglah untuk melihat bagaimana M. Nasir membina semula sebuah hikayat dalam bahasa pentas moden.

Jika ada satu elemen yang paling sukar dipisahkan daripada Mansur & Liu, tentunya muzik.  M. Nasir menyediakan kira-kira 30 lagu dan skor muzik untuk produksi ini, dengan pendekatan yang tidak terhad kepada bunyi tradisional.

Elemen tradisi, moden, rock dan kontemporari digabungkan dalam sebuah bentuk muzik fusion.  Ini menjadikan Mansur & Liu tidak terasa seperti muzikal bangsawan klasik yang hanya bergantung kepada bahasa istana, busana tradisional dan gerak tari.

Sebaliknya, ada usaha untuk membawa kisah abad ke-15 itu ke dalam bahasa yang lebih dekat dengan jiwa penonton hari ini.  Inilah kekuatan terbesar produksi ini dimana sejarah tidak dibiarkan menjadi muzium namun ianya ‘disenyawakan’ menjadi bunyi baharu.

M. Nasir juga pernah menyifatkan produksi ini sebagai satu “peperangan seni”, selepas lebih 150 tenaga kerja digerakkan untuk menghidupkan karya berkenaan.  Selepas melihat skala yang cuba dibawa ke pentas, istilah itu memang ada asasnya.

Pemilihan Aliff Aziz sebagai Sultan Mansur Shah dan pendatang baharu, Melinda Dadew sebagai Puteri Liu juga menjadi antara pertaruhan paling besar produksi.  Aliff bukan sekadar perlu berlakon, tetapi perlu menyanyi dan membawa watak utama dalam sebuah muzikal yang menuntut tenaga vokal serta lakonan pada masa sama.

M. Nasir sebelum ini mengakui proses mencari pelakon untuk muzikal bukan sesuatu yang mudah kerana seseorang pelakon perlu mempunyai kemampuan lakonan dan nyanyian yang seimbang.

Melinda pula membawa cabaran berbeza di dalam pentas MANSUR & LIU,  menandakan kemunculannya dalam dunia lakonan, namun latar belakang muzik klasik yang dimilikinya memberikan asas penting untuk menghidupkan watak Puteri Liu.

Gandingan kedua-duanya mungkin tidak terus kelihatan sebagai pilihan paling konvensional, tetapi itulah yang membuatkan taruhan ini menarik.

Satu perkara yang saya kira perlu diberi perhatian ialah bagaimana produksi ini cuba mengelak daripada menjadikan percintaan Mansur dan Liu sebagai satu-satunya daya tarikan.

Menurut wakil Icon Entertainment, Iman Tang, Mansur & Liu bukan sekadar mengetengahkan kisah percintaan, sebaliknya membawa mesej mengenai maruah bangsa, diplomasi dan hubungan dua tamadun.  Itu sebenarnya menjadikan kisah ini lebih relevan.

Dalam dunia hari ini yang sering melihat hubungan antara negara melalui kuasa, ekonomi dan politik, kisah Melaka dan China pada abad ke-15 boleh dibaca semula sebagai cerita tentang bagaimana diplomasi mampu membuka jalan ketika kekuatan semata-mata tidak mencukupi.

Jadi, cinta dalam Mansur & Liu bukan sekadar cinta antara lelaki dan wanita.  Ia juga menjadi simbol kepada pertemuan dua budaya.

Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya juga terasa tepat untuk produksi sebesar ini.  Dengan jumlah tenaga kerja yang besar, barisan pelakon yang ramai serta muzik berskala besar, Mansur & Liu memang memerlukan ruang yang mampu memberikan nafas kepada imaginasi pengarah.

Apa yang menarik, M. Nasir sendiri pernah menyatakan beliau mahu memberikan sebuah persembahan yang baharu, kuat dan mempunyai impak besar apabila akhirnya mendapat peluang merealisasikan idea yang sudah disimpan selama lebih enam tahun.

Dan mungkin itulah perkara paling menarik mengenai produksi ini.  Mansur & Liu bukan projek yang lahir kerana M. Nasir mahu mencuba sesuatu yang baharu semata-mata. Ia lahir daripada idea yang sudah lama diperam.

Enam tahun bukan tempoh pendek, sepanjang tempoh itu, idea boleh berubah, skrip boleh berkembang dan imaginasi boleh menjadi lebih besar.  Sebab itu, apabila akhirnya ia sampai ke pentas, penonton sebenarnya bukan sekadar menonton sebuah teater.

Mereka sedang melihat hasil daripada perjalanan panjang seorang seniman mencari bentuk terbaik untuk menterjemahkan fikirannya.

Namun, sebagai sebuah produksi berskala besar, Mansur & Liu juga tidak harus dinilai hanya berdasarkan nama M. Nasir. Kekuatan visual, muzik dan skala produksi tidak boleh menjadi pengganti kepada kekemasan penceritaan.

Cabaran terbesar karya sebegini ialah memastikan penonton tidak hilang dalam kemewahan persembahan.   Apabila terlalu banyak elemen mahu dimasukkan iaitu cinta, sejarah, politik, diplomasi, konflik, muzik, aksi dan simbolisme maka ada risiko sesetengah bahagian terasa padat.

Justeru, kekuatan sebenar Mansur & Liu akhirnya bergantung kepada satu perkara tetapi sejauh mana semua elemen itu berjaya bergerak sebagai satu cerita.

Jika muzik, lakonan, visual dan naratif bergerak seiring, karya ini berpotensi menjadi antara percubaan teater muzikal tempatan yang paling berani dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Teater muzikal Mansur & Liu ialah produksi ini tidak seharusnya dibandingkan secara terus dengan muzikal Barat atau produksi mega luar negara kerana ia mempunyai DNA sendiri iaitu DNA M. Nasir.

Ada unsur Melayu, ada pengaruh muzik moden, ada romantisme, ada falsafah dan ada keberanian untuk membina semula sejarah mengikut kaca mata seorang seniman.

Paling penting, karya ini memperlihatkan bahawa cerita daripada khazanah Melayu masih mempunyai ruang untuk dibawa kepada generasi hari ini asalkan ia tidak dipersembahkan dalam bentuk yang terlalu takut untuk bereksperimen.

Dan mungkin itu juga nilai terbesar Mansur & Liu,  Ia tidak meminta kita menerima sejarah sebagai sesuatu yang beku.  Sebaliknya, M. Nasir mengajak kita melihat sejarah sebagai sebuah cerita yang masih boleh ditafsir, dipersoal dan dihidupkan kembali.

Mansur & Liu akhirnya bukan sekadar kisah tentang seorang Sultan dan seorang puteri dari China. Ia adalah percubaan M. Nasir menjawab satu persoalan yang lebih besar tetapi bagaimana sebuah hikayat lama boleh diberikan jiwa baharu tanpa kehilangan akar budayanya.

Bagi yang mahu menyaksikan sendiri dunia yang dibina M. Nasir ini, Mansur & Liu dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur dari 10 hingga 20 September 2026, dengan dua sesi pada 3 petang dan 8.30 malam.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori tempat duduk, bermula RM88 hingga RM408.  Tiket boleh dibeli menerusi Ticket2U:  Ticket2U – Mansur & Liu


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page