LahLahLand Kembali, Lebih Besar Lebih ‘Gila’

Dari Sneakers, Muzik, Makanan Hingga Esports, Skate, Jam Tangan Dan Larian, Semuanya Berhimpun Di MIECC
Bukan lagi sekadar medan buat kaki sneakers, LahLahLand 2026 kembali dengan skala lebih besar apabila menghimpunkan pelbagai komuniti, subbudaya dan gaya hidup kontemporari di bawah satu bumbung.
Berlangsung pada 10 dan 11 Oktober ini di MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC), LahLahLand 2026 menjanjikan hujung minggu penuh aksi menerusi gabungan sneakers, streetwear, muzik, makanan, permainan, sukan, barangan koleksi, jam tangan dan kreativiti.
Selepas penampilan sulung pada 2025, acara berkenaan kini tampil dengan identiti yang semakin kukuh, membina legasi SneakerLAH sambil membuka ruang lebih luas kepada komuniti dan budaya yang membentuk landskap gaya hidup masa kini.
Antara tarikan utama sudah pasti SneakerLAH yang kembali dengan kolaborasi kelima bersama ASICS menerusi SneakerLAH | ASICS GEL-KAYANO 20 ‘Ais Kacang’.
Diilhamkan daripada warna-warni pencuci mulut popular rakyat Malaysia itu, edisi terbabit meneruskan tradisi SneakerLAH dan ASICS meraikan ikon tempatan menerusi rekaan kasut.
Ia menyusuli kolaborasi terdahulu seperti ‘Nasi Lemak’, ‘KLCC’, ‘Teh Tarik’ dan ‘Mamee’.
Namun, LahLahLand 2026 tidak berhenti di situ apabila EsportsLAH turut kembali dengan kejohanan Tekken 8 dan eFootball Mobile yang menghimpunkan komuniti permainan video untuk bersaing sepanjang dua hari acara.
Bagi penggemar makanan pula, MakanLAH dikuasakan oleh Grab Dine Out tampil lebih besar dengan lebih banyak gerai dan pilihan hidangan.

Pengunjung juga berpeluang menggunakan kemudahan Book Table untuk mendapatkan tempat duduk eksklusif di kafe pop-up Banglo 289 menerusi kerjasama Grab x Aegis, selain menikmati diskaun sehingga 45 peratus daripada jumlah bil di cawangan terpilih.
Antara yang mengambil bahagian termasuk Banglo 289, La Pane, HWC Coffee, Mad Bebek, Rawtee, Lotteria, AllAce, Lim Fried Chicken dan myBurgerLab.
Bahagian muzik pula dijangka menjadi antara lokasi paling hangat menerusi ConcertLAH yang menampilkan barisan artis tempatan daripada pelbagai genre.
Ikon rock indie Malaysia, Hujan, mengetuai barisan berkenaan bersama bintang rap MidLyfe Dannqrack & Eemrun dan artis jemputan istimewa, selain kumpulan alt/grunge Sweetass.
Turut beraksi ialah Kidd Santhe & Friends, S4D Habits menerusi set B2B s4d.kl B2B Bad Habits, Lil Asian Thiccie x I-SKY, Jemput Dengar, Rudeen serta set DJ daripada Belia Benci Club dan ZÜ.
Daripada rock indie, hip-hop, alternatif hinggalah muzik elektronik, ConcertLAH bakal menjadi antara nadi utama festival sepanjang hujung minggu.
Bagi kaki papan selaju, SkateLAH dibawakan oleh THVSKL pula kembali dengan pertandingan pertarungan berpasukan dan Best Trick dengan hadiah serta sokongan daripada G-SHOCK dan ASH Asia.
Menariknya, edisi kali ini turut memperkenalkan dua segmen baharu iaitu WatchesLAH dan CardsLAH Card Party.

WatchesLAH membuka ruang buat pengumpul berpengalaman dan peminat baharu meneroka dunia horologi dengan penyertaan jenama seperti Hamilton, Casio dan Rado selain pilihan penjual jam tangan vintaj.
CardsLAH Card Party pula menghimpunkan komuniti permainan kad dagangan (TCG), penjual dan pengumpul selain menampilkan karya serta penampilan istimewa ilustrator Haru Akasaka.
Tidak ketinggalan, LariLAH menampilkan adidas HyperRelay yang menyaksikan kelab larian terbaik Kuala Lumpur bersaing dalam perlumbaan berganti-ganti jemputan.
Antara kelab yang mengambil bahagian termasuk adidas Runners KL, Brand New Waves, Journey Run Club dan KJRC.
Lebih menarik, Penaja Rasmi Seri Murni turut membawakan Let Me Cook menerusi kolaborasi bersama AGAINST LAB yang meraikan kreativiti Malaysia merentasi makanan, muzik, sukan dan budaya.
Di AGAINST Kitchen, pengunjung boleh menyertai RM30 Bottle Lab Experience untuk memperibadikan botol Seri Murni sendiri selain mendapatkan barangan kolaborasi eksklusif.
LahLahLand Marketplace pula tampil dengan wajah baharu menerusi kerjasama bersama SantaiMaa, menghimpunkan jenama bebas, pakaian vintaj, aksesori, barangan koleksi dan pelbagai lagi.
Pengunjung turut berpeluang meneroka jenama tempatan dan antarabangsa termasuk ASICS, Montigo, Kahf, 2TimesToo, Aegis, Against Lab, TNTCO, All Love, Futuremade Studio dan Gote.

Tidak cukup dengan itu, sepanjang festival turut berlangsung kolaborasi eksklusif, pelancaran produk, Influencer Pre-Loved Market, cabutan bertuah dan sesi podcast secara langsung.
Pengasas SneakerLAH dan LahLahLand, Bryan Chin, berkata beliau berbangga melihat festival berkenaan mula membina identiti tersendiri selepas diperkenalkan tahun lalu.
“Tahun lepas sebenarnya tentang memperkenalkan orang ramai kepada apa yang LahLahLand mampu jadi, jadi melihat ia berkembang dan mula mempunyai jiwanya sendiri tahun ini adalah sesuatu yang amat saya banggakan,” katanya.
Menurutnya, SneakerLAH kekal menjadi teras kepada keseluruhan acara, namun LahLahLand memberi peluang untuk pelbagai komuniti berkongsi ruang yang sama.
“SneakerLAH akan sentiasa menjadi teras kepada apa yang kami lakukan, tetapi LahLahLand telah membolehkan kami menghimpunkan begitu banyak komuniti yang berbeza — sama ada anda meminati sneakers, muzik, makanan, permainan, larian, papan selaju, jam tangan, kad atau sekadar ingin menemui sesuatu yang baharu.
“Melihat semua budaya dan komuniti yang berbeza ini berkongsi ruang yang sama adalah tepat seperti yang kami harapkan untuk LahLahLand, dan kami teruja untuk terus membinanya,” katanya.
Bagi memastikan kemeriahan sepanjang dua hari itu tidak surut, Raj Mahal dipilih sebagai pengacara rasmi LahLahLand 2026.
Dikenali dengan kepetahan, tenaga yang bertenaga dan keupayaan berinteraksi dengan penonton, Raj bakal menjadi penghubung utama yang membimbing pengunjung menerusi program padat sepanjang festival.
Buat pemegang tiket VIP, mereka bukan sahaja mendapat kemasukan awal pada jam 10 pagi, malah turut menerima botol air edisi terhad LahLahLand x Montigo, stoking edisi terhad LahLahLand x Xocks yang terhad kepada 300 pasang serta beg tote LahLahLand.
Tiket kemasukan am berharga RM30 bagi prajualan, manakala bundle empat tiket berharga RM100. Harga tiket di pintu masuk pula ialah RM50, manakala tiket VIP dijual pada harga RM100.
Acara berlangsung dari 12 tengah hari hingga 10 malam pada 10 dan 11 Oktober, dengan pemegang tiket VIP dibenarkan masuk seawal jam 10 pagi.
Bagi pengunjung yang mahu berbelanja sepanjang festival, PayLater by Grab sebagai Rakan Pembayaran Rasmi LahLahLand turut membolehkan pengguna yang layak membahagikan pembelian kepada sehingga 12 ansuran.
Tiket dan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi LahLahLand.
