Maruah Naning Dibela, Dol Said Kembali ke Pentas

Nasir Bilal Khan kembali berteater, Raja Azrey hidupkan perjuangan pahlawan Naning dalam muzikal sarat sejarah, maruah dan pengorbanan
Sejarah bukan sekadar himpunan tarikh dan nama untuk dihafal, sebaliknya kisah manusia yang sarat dengan keberanian, pengorbanan dan harga sebuah perjuangan.
Itulah roh yang cuba dihidupkan menerusi Teater Muzikal Dol Said: Pahlawan Naning, yang diperkenalkan pada sidang media di Malaysia Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur, 2 Oktober lalu, sebelum dipentaskan di Melaka pada 9 dan 10 Oktober ini.
Naskhah karya, terbitan dan arahan YM Raja Azrey Raja Kamaruzzaman menerusi Pondok Karya Kreatif Venture itu mengangkat kembali kisah Penghulu Dol Said dan masyarakat Naning yang bangkit mempertahankan tanah pusaka daripada tuntutan serta campur tangan British.
Lebih menarik, kisah berkenaan diterjemahkan dalam bentuk teater muzikal dengan gabungan sejarah, drama, muzik, nyanyian, lakonan, koreografi dan visual pentas.
Pementasan dijadual berlangsung jam 8.30 malam di Panggung Seri Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
Bagi Raja Azrey, Dol Said tidak seharusnya sekadar dikenali sebagai nama yang tercatat dalam buku sejarah.
“Saya tidak mahu Dol Said hanya dilihat sebagai satu nama dalam buku sejarah. Saya mahu penonton mengenali manusia di sebalik nama itu kerana perjuangannya, maruahnya, tanggungjawabnya terhadap masyarakat serta harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih untuk mempertahankan tanah dan amanahnya,” katanya.
Raja Azrey berkata, pendekatan muzikal dipilih kerana medium itu memberikan ruang untuk sejarah disampaikan dalam bentuk yang lebih emosional dan dekat dengan penonton. Lagu, muzik, dialog, lakonan, koreografi dan visual tidak sekadar menjadi pelengkap persembahan, sebaliknya digabungkan sebagai sebahagian daripada perjalanan cerita.
“Muzikal memberi ruang kepada kita untuk bercerita dengan cara yang lebih emosional. Ada perkara yang boleh disampaikan melalui dialog, tetapi ada emosi yang lebih kuat apabila ia diterjemahkan melalui lagu, muzik dan pergerakan,” katanya.

Naskhah itu membawa penonton menyelusuri kehidupan masyarakat Naning sebelum berdepan tekanan kuasa British, seterusnya menyaksikan kebangkitan Dol Said mempertahankan tanah dan kedaulatan wilayahnya.
Persoalan mengenai maruah, amanah, kesetiaan, persaudaraan, pengorbanan dan keberanian menjadi antara nilai yang cuba diketengahkan.
Menariknya, Raja Azrey bukan sahaja bertindak sebagai penulis dan pengarah, malah turut menggalas tugas sebagai pengarah muzik serta menggubah lagu untuk pementasan berkenaan.
Beliau berkata, naskhah Dol Said sebenarnya sudah lama berada dalam simpanannya dan pernah diangkat menerusi bentuk monodrama pada 2014. Namun, kali ini beliau memilih pendekatan muzikal bagi memberikan nafas baharu kepada kisah tokoh sejarah itu dan mendekatkannya dengan generasi masa kini.
Antara daya tarikan terbesar produksi ialah kemunculan Nasir Bilal Khan sebagai Dol Said Tua, sekali gus menandakan kepulangannya ke pentas teater selepas sekian lama tidak terbabit dalam pementasan.
Beliau digandingkan dengan pereka terkenal A. Aris Kadir yang membawakan watak Dol Said Muda. Barisan pelakon lain terdiri daripada Ani Maiyuni sebagai Isteri Dol Said, Lando Zawawi (Gabenor Ibbetson), Man Raja Lawak (Yamtuan Ali Rembau), Wan Raja (Captain Wyllie), Riez Radzi (Syed Syaaban), Ucop Zaidey (Penghulu Linggi), Hairie Mohamad (Panglima Naning), Hery Sejagat (Panglima Naning) dan Najip Rahim (Pembesar Rembau).
Produksi turut menampilkan ensemble daripada PERKASE TARI, manakala gerak tari diarahkan oleh pereka tari Aznizar Abd Ghani.
Bagi Raja Azrey, kekuatan naskhah tidak bergantung kepada seorang pelakon semata-mata, sebaliknya lahir daripada gabungan pengalaman dan karakter setiap pelakon.

“Saya sangat menghargai kesediaan Nasir Bilal Khan untuk kembali ke pentas. Beliau membawa pengalaman dan jiwa seorang pelakon yang sangat besar. Apabila digabungkan dengan pelakon-pelakon lain, saya percaya setiap watak akan memberikan warna tersendiri kepada perjalanan cerita ini,” katanya.
Untuk rekod, Dol Said: Pahlawan Naning membawa kisah ketika Dol Said menolak tuntutan British untuk mengenakan cukai serta menguasai Naning. Bersama para panglima, pembesar serta sekutu dari Rembau dan Linggi, beliau bangkit mempertahankan tanah pusaka.
Dengan keberanian dan strategi, pejuang Naning berjaya menewaskan serangan awal British. Namun, kemenangan itu tidak bertahan lama. British kembali dengan kekuatan lebih besar dan menggunakan pelbagai helah untuk memecahkan kesatuan antara Naning dengan sekutunya.
Rembau akhirnya berdepan dilema antara persahabatan dan keselamatan rakyatnya, menyebabkan Dol Said terpaksa berdiri hampir sendirian. Pertempuran terakhir tercetus dan para pejuang Naning gugur satu demi satu sehingga Dol Said akhirnya ditangkap dan diusir dari bumi Naning.
Namun, kekalahan di medan perang tidak bermakna kekalahan terhadap prinsip yang dipertahankan.
Tanah mungkin dapat dirampas, tetapi maruah tidak pernah dapat ditawan. Ungkapan itu menjadi antara roh utama naskhah yang mahu membawa penonton melihat Dol Said bukan hanya sebagai seorang pahlawan, tetapi manusia yang terpaksa membuat keputusan besar ketika berdepan tekanan kuasa dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Raja Azrey mengakui menghasilkan karya berasaskan sejarah bukan sesuatu yang mudah kerana produksi perlu mencari keseimbangan antara fakta sejarah dengan keperluan dramatik pentas.
Malah, proses latihan turut berdepan cabaran apabila sebahagian besar persiapan dilakukan di Kuala Lumpur sedangkan pementasan berlangsung di Melaka. Namun, cabaran itu tidak mematahkan semangat produksi untuk memastikan karya berkenaan dapat dipersembahkan.
Produksi menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). JKKN Melaka pula menjadi rakan strategik, manakala MaTiC menyediakan ruang latihan sepanjang tempoh persediaan dan latihan produksi.
Penghargaan turut diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atas sokongan terhadap usaha mengangkat karya seni dan sejarah tempatan.
Menurut produksi, sokongan daripada agensi kerajaan, institusi seni dan pihak berkaitan amat penting untuk memastikan karya berteraskan sejarah dan budaya tempatan terus mempunyai ruang untuk dihasilkan.
Melalui pementasan ini, Raja Azrey berharap penonton daripada pelbagai generasi dapat melihat sejarah Naning dari perspektif yang lebih dekat dan manusiawi.
Bukan sekadar peperangan antara Naning dengan British, tetapi persoalan lebih besar mengenai keberanian mempertahankan tanah, kesetiaan terhadap masyarakat dan harga yang perlu dibayar apabila seseorang memilih untuk tidak tunduk.
“Harapan saya mudah. Selepas menonton teater ini, penonton bukan sahaja mengingati nama Dol Said, tetapi mereka pulang dengan rasa ingin tahu untuk mengenali sejarah Naning dengan lebih mendalam,” katanya.
Peminat boleh mendapatkan tiket yang terdapat dalam dua kategori iaitu Tiket Gold: RM50 + hadiah dan Open Seat: RM25. Untuk tempahan tiket: 017-848 0907 / 013-262 0324
