Konsert ‘Sifu’ Sarat Energi, Padat Nilai Estetika
Bagai telah dijanjikan sebelum ini, Datuk M.Nasir akan membawa khalayak menjejalah ke alam fantasi Gendang Pati yang sarat dengan kejutan ternyata di aplikasikan beliau menerusi Konsert Gendang Pati yang berlangsung di Dewan Pleneri, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 18 November lalu.
Konsert Gendang Pati yang memperkasakan alat muzik gendang sebagai instrumen utama itu ternyata sarat energi, aura dan padat dengan tema kemanusiaan malah kadangkala ‘bikin’ penonton ketawa dengan jenaka spontan seorang sifu yang berjaya memukau lebih 2,800 penonton.
Terminologi konsert bermula dengan paparan video ‘Pheonix Bangkit’ yang sudah cukup untuk menterjemahkan kepada hadirin bahawa pengembaraan ‘sang burung’ bakal bermula bersama wirama sang gendang serta instrumen moden yang melatari persembahan. Semakin Nyata terus menghangatkan suasana apatah lagi dengan ‘aura’ M.Nasir yang tampil berbusana hijau memberikan amanat tersendiri.
“Apa khabar semua?, betul ni tak menyesal ke tak pergi ke konsert Aina Abdul. Saya pun dah siapkan pakaian ni”, sapa M.Nasir kepada khalayak.
” Jangan berasa terasing. Saya akan bawa anda ke Pulau Kencana,” sambung beliau lantas menyambung persembahan dengan lagu Inang Pulau Kencana.
Konsert diteruskan dengan lagu Secangkir Kopi Semanis Puan yang sarat dengan elemen genre muzik sunda dan jawa yang kemudiannya disusuli dengan lagu Bila Rumi Menari.
Penonton yang sedari awal duduk di bangku masing-masing terus di kejutkan dengan lagu Tanya Sama Hud Hud yang secara otomatiknya membawa khlayak berdiri, bernyanyi bersama lagu yang seakan sudah sebati dengan diri.
Inilah ‘kebebasan’ menyaksikan sebuah konsert yang bukan sahaja menikmati, menghayati tetapi lebih menghargai sebuah karya yang dipentaskan dengan acuan serta resepi agar ianya mudah dihadam oleh penonton serta diterjemahkan dengan nuansa sendiri.
Penampilan ‘aktor’ yang menghidupkan lagu Langgam Pak Dogo sewajarnya diberi pujian, inilah keistimewaan konsert Gendang Pati yang seakan memberi warna kepada persembahan. Apatah lagi bersama dinamika identiti nusantara yang di tekankan jelas menjadikan ianya cukup luar biasa.
Khalayak sekali lagi ‘dibawa’ menjelajah ke Brazil menerusi persembahan instrumen ‘pandeiro’ yang disenyawakan oleh Awe dan Ramli dengan nuasa rap versi ‘dialek kelantan’ yang memperkuatkan lagi nilai estetika Konsert Gendang Pati.
Lebih istimewa adalah persembahan Bagaikan Sakti apabila menampilkan kumpulan koir terdiri daripada 25 orang murid dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet, Ipoh, Perak iaitu Sam Tet Voices. Kumpulan ini pernah mencipta kejayaan pada World Choir Games 2023. Lagu ini turut menjadi OST filem ‘Puteri Gunung Ledang’.
“Saya tertarik dengan persembahan mereka setelah menyaksikan persembahan mereka di Terengganu dalam sebuah pertandingan ‘koir’, dimana mereka telah menjadi juara”, jelas Datuk M. Nasir.
Tidak terhenti disitu, segmen lagu-lagu popular yang dihasilkan oleh M.Nasir untuk artis-artis tempatan juga cukup memberi impak kepada penonton yang nyata cukup terbuai dengan lirikal puitis yang sekaligus ‘membawa’ khalayak pulang ke tahun 80an. Antara lagu-lagu yang menjadi pilihan adalah Gadisku (search), Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi (Alleycats), Kabut Serangkai Mawar (Zaiton Sameon), Tiara (Kris), Fantasia Bulan Madu (Search), Hukum Karma (Wings) dan Pawana (Search).
Terdahulu, M. Nasr menghiburkan penonton dengan lagu-lagu seperti Dah Lagu Tu, Melawan Arus, Kias Fansuri, Raikan Cinta, Hijap Kekasih serta Sentuhan Listrikmu, Mustika dan Suatu Masa yang disampaikan secara medley.
Tanpa lagu-lagu seperti Apokalips dan Mentera Semerah Padi yang boleh diklasifikasikan sebagai lagu ‘wajib’ sudah pasti tiada serinya. Inilah ‘encore’ yang menjadikan panggung kembali bergema dengan lontaran vokal yang beriringan bersama M.Nasir.
“Terima kasih kepada hadirin yang saya sayangi. Ada masa kita gembira, ada masa kita merenung dan memang malam ini, kita buat untuk bergembira. Jadi, terima kasih kepada semua yang terbabit.
Bagaimanapun, dalam bergembira, maestro muzik ini tidak melupakan kesengsaraan yang dihadapi penduduk Gaza dengan menghadiahkan lagu Masirah.
M Nasir berkata, lagu itu diilhamkan daripada kejadian sebenar pejuang Palestin, Muhammad Al Durrah berdepan anggota tentera Israel. Lagu yang difahamkan ditulis pada lebih 20 tahun lalu itu menjadi dendangan penutup konsert anjuran MND Sports & Events dan diterbitkan oleh Roman Abadi Sdn Bhd.
Selain lagu, konsert turut membabitkan bacaan doa qunut nazilah serta bacaan puisi ‘Thaurah Palestin’ karya Datuk Dr Usman Awang yang telah di deklamasikan oleh Amerul Affendi sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin di penghujung konsert.
“Terima kasih kerana datang ke konsert kami dan bantu jana ekonomi Melayu.”ujar beliau usai menamatkan persembahan.
Empat dekad dalam bidang muzik, M Nasir tetap menampilkan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang tiga jam konsert yang turut di barisi oleh 16 pemuzik hebat iaitu pengarah muzik dan pemain gitar, Nan Alias, Rafi Mohd (gitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud (keyboard), Eddie Slam dan Ujang Exists (dram) serta penyanyi latar, Eja, Widy, Yuaz dan Awe.
Ia dilengkapkan lagi dengan penampilan pemain perkusi, Paang, Mat Din, Che Long dan Anas. Selain dibantu oleh Awe selaku pemain perkusi, rebab, serunai dan penyanyi jemputan.