Konsert Revolusi Radja 25 Tahun Satukan Nostalgia dan Revolusi EDM
Nathalie Holscher bakal cetus fenomena apabila lagu-lagu ikonik Radja diberi nafas baharu menerusi tribute DJ eksklusif di Stadium Hoki Bukit Jalil
Kumpulan rock popular Indonesia, Radja bakal kembali menggegarkan Malaysia menerusi Konsert Revolusi Radja 25 Tahun yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 11 Julai 2026 dalam sebuah persembahan istimewa yang bukan sahaja sarat nostalgia, malah tampil dengan elemen moden dan lebih segar.
Konsert anjuran DHYAH PROD7CTION bersama INFINITY LOVE CREATIVE VENTURES itu bakal meraikan perjalanan 25 tahun Radja dalam industri muzik Nusantara sambil membawa peminat menyusuri semula era kegemilangan awal 2000-an yang pernah menjadikan kumpulan tersebut antara fenomena terbesar serantau.
Namun kali ini, apa yang membezakan Konsert Revolusi Radja 25 Tahun daripada persembahan mereka sebelum ini adalah kemunculan segmen tribute EDM eksklusif yang dijangka menjadi antara momen paling mencuri perhatian sepanjang malam konsert.
DJ wanita popular Indonesia, Nathalie Holscher disahkan bakal tampil membuat persembahan khas dengan membawa lagu-lagu hit Radja dalam susunan muzik elektronik yang lebih moden, bertenaga dan penuh atmosfera festival.
Kemunculan Nathalie bukan sekadar gimik persembahan, sebaliknya dilihat sebagai simbol bagaimana karya-karya Radja terus relevan merentas generasi dan genre muzik semasa.
Lagu-lagu seperti Cinderella, Jujur dan Manusia Biasa dijangka diberi sentuhan baharu menerusi gabungan elemen EDM, remix festival dan beat elektronik tanpa menghilangkan identiti asal yang menjadikan lagu-lagu tersebut dekat di hati peminat selama lebih dua dekad.
Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris berkata, konsep tribute DJ tersebut diwujudkan bagi memberi pengalaman persembahan yang lebih segar kepada penonton tanpa mengorbankan elemen nostalgia yang menjadi kekuatan utama Radja.
“Setakat ini DJ wanita dari Indonesia yang sudah mengesahkan penglibatannya di dalam konsert ini adalah Nathalie Holscher dan beliau merupakan antara DJ yang sedang meningkat naik di republik itu.
“Walaupun diberikan pembaharuan dari segi susunan muzik, identiti asal serta kekuatan emosi setiap karya tetap dikekalkan supaya penonton masih dapat merasai jiwa sebenar lagu-lagu Radja,” katanya.
Tambah beliau, konsert tersebut bukan sekadar menghimpunkan peminat lama Radja, tetapi turut cuba menarik generasi muda yang lebih dekat dengan budaya muzik elektronik dan festival masa kini.
Selain segmen tribute DJ, peminat juga bakal disajikan dengan persembahan penuh daripada Radja menerusi deretan lagu popular seperti Benci Bilang Cinta, Takkan Melupakanmu, Jangan Sakiti Aku dan Aku Ada Karena Kau Ada.

Konsert ini turut menjadi medan istimewa buat peminat menyaksikan semula barisan anggota utama Radja iaitu Ian Kasela, Moldy, Adit dan Seno Aji yang pernah mencipta fenomena besar di rantau Nusantara sekitar awal 2000-an.
Menurut Ian Kasela, Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam sejarah perjalanan seni Radja kerana sambutan peminat di negara ini tidak pernah berubah sejak dahulu.
“Konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi perjalanan emosi yang meraikan 25 tahun muzik, kenangan dan cinta daripada peminat kami di Malaysia dan seluruh Nusantara.
“Kami mahu jadikan malam ini sesuatu yang lebih besar, lebih dekat dan lebih bermakna untuk semua yang membesar bersama lagu-lagu Radja,” katanya.
Dengan gabungan elemen nostalgia, persembahan rock balada ikonik dan sentuhan EDM moden, Konsert Revolusi Radja 25 Tahun dijangka menjadi antara konsert Indonesia paling unik dan dinanti-nantikan tahun depan.
Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan kategori harga akan diumumkan menerusi MOVETIX AirAsia dalam masa terdekat.
