Khadam ‘Mengganas’ Di Pawagam, Kutip RM1.2 Juta Dan Jadi Filem Tempatan Nombor Satu
Demam Khadam kini semakin sukar dibendung apabila filem seram tempatan itu berjaya mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM1.2 juta dalam tempoh awal tayangannya sekali gus muncul sebagai filem tempatan nombor satu di Malaysia ketika ini.
Kejayaan luar biasa itu membuktikan naskhah seram tempatan masih mempunyai tempat istimewa di hati penonton, malah mampu berdiri sama tinggi dan bersaing dengan filem-filem antarabangsa yang turut memenuhi pawagam ketika ini.
Lebih membanggakan, Khadam bukan sekadar mencuri perhatian kerana elemen seram yang mendebarkan, malah diperkatakan ramai kerana kualiti pembikinannya yang disifatkan berada pada tahap tersendiri.
Sejak mula ditayangkan, media sosial dibanjiri pelbagai reaksi positif daripada penonton yang rata-ratanya memuji jalan cerita, sinematografi serta aspek teknikal filem berkenaan.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada pengguna Threads, @nvst1 yang menyifatkan filem itu sebagai “Beautifully Crafted”, manakala @my_zurah pula berpendapat sudah tiba masanya industri filem Melayu mempunyai karya seram berkualiti seperti Khadam.
Seorang lagi pengguna, @mohdjayzuan menyifatkan Khadam sebagai sebuah karya yang bukan sahaja cemerlang sebagai filem Malaysia, malah mampu berdiri sebagai sebuah filem yang hebat secara keseluruhannya.
Turut mendapat perhatian ialah ulasan @budicitawan yang mengakui beliau terkejut bukan kerana faktor seram semata-mata, tetapi kerana ketelitian pasukan produksi dalam menghasilkan setiap aspek filem berkenaan.
“Yang mengejutkan saya bukan kerana ia menakutkan. Itu memang dijangka untuk sebuah filem seram. Apa yang lebih mengagumkan ialah perhatian yang diberikan terhadap setiap aspek pembikinan filem ini,” katanya.
Gelombang pujian terhadap Khadam tidak terhenti di media sosial apabila beberapa nama besar industri seni tanah air turut tampil memberikan penghargaan terhadap karya terbabit.
Pengarah terkenal, Erma Fatima, menyifatkan Khadam sebagai sebuah naskhah yang “cukup rasa”, manakala pelakon veteran Sofea Jane pula mengakui kerinduannya terhadap karya dengan penulisan berkualiti akhirnya terubat menerusi filem berkenaan.
“Rindu buat penulisan yang baik terubat dengan Khadam,” katanya.
Pihak penerbit dalam kenyataan mereka melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diberikan penonton dan menyifatkan kejayaan kutipan RM1.2 juta itu sebagai hadiah paling bermakna buat seluruh pasukan produksi.
Dengan sokongan berterusan daripada penonton serta promosi dari mulut ke mulut yang semakin rancak di media sosial, Khadam dijangka terus mencatat peningkatan kutipan sepanjang minggu ini.
Bagi mereka yang masih belum menyaksikannya, Khadam menjanjikan pengalaman seram yang bukan sahaja membuat penonton terkejut di kerusi pawagam, malah meninggalkan pelbagai persoalan yang terus menghantui fikiran selepas tayangan berakhir.
Melihat kepada sambutan yang diterima setakat ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Khadam sedang berada di landasan tepat untuk menjadi antara filem seram tempatan paling berjaya tahun ini.
