Arul Rasheed Pertaruh Kisah Cinta Pandang Pertama Dalam “Gadis Kebaya Ungu”
Selepas setahun menyepi daripada dunia rakaman, penyanyi dan pempengaruh media sosial terkenal, Arul Rasheed, kembali menghangatkan industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharunya berjudul Gadis Kebaya Ungu.
Lagu ini merupakan single ketujuh sepanjang perjalanan seni Arul sejak memulakan kerjaya nyanyiannya pada tahun 2024. Nama Arul mula mendapat perhatian ramai menerusi lagu hit Jagakan Dia, yang menjadi titik permulaan kepada penglibatannya dalam industri muzik tanah air.
Walaupun sibuk menguruskan kerjaya sebagai pempengaruh TikTok dan usahawan, Arul tidak pernah melupakan minat mendalamnya terhadap bidang nyanyian. Malah, beliau melihat tahun 2026 sebagai satu peluang untuk membuka lembaran baharu dan melangkah lebih jauh dalam dunia seni.
“Gadis Kebaya Ungu adalah hadiah buat semua yang sentiasa menyokong saya sepanjang perjalanan sebagai pempengaruh dan penyanyi. Saya berharap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar serta mengubat kerinduan peminat yang menantikan karya baharu daripada saya,” ujar Arul yang pernah menjadi finalis kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37.
Single berkenaan merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer muda berbakat, Aiman Sidek, yang sebelum ini turut mencipta lagu pertama Arul, Jagakan Dia. Menurut Aiman, Gadis Kebaya Ungu mengisahkan seorang jejaka yang jatuh cinta pandang pertama terhadap seorang gadis dan berusaha memikatnya untuk dijadikan suri hati.

“Lagu ini menggunakan bahasa yang mudah difahami dan dekat dengan kehidupan pendengar. Ia tidak bermain dengan bahasa yang terlalu puitis, sebaliknya menyampaikan kisah cinta yang ringkas tetapi penuh makna,” jelas Aiman.
Proses rakaman lagu tersebut dijalankan oleh Amir Sulaiman dengan bantuan Hafeez Aledrus selaku produser, manakala susunan muzik disempurnakan oleh Adi. Keseluruhan proses penerbitan lagu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.
Berkongsi pengalaman sepanjang proses rakaman, Arul mengakui beliau berasa sangat teruja kerana dapat kembali bekerjasama dengan Aiman Sidek, individu yang pernah mencipta lagu yang memperkenalkan namanya kepada peminat.
“Alhamdulillah, tidak banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang menyiapkan lagu ini. Bermula daripada proses penyusunan muzik, pemilihan pemuzik hinggalah ke produksi video muzik, semuanya berjalan lancar dan saya bersyukur dapat menyiapkannya dengan sempurna,” katanya.
Lebih menarik, muzik video rasmi Gadis Kebaya Ungu yang diterbitkan oleh NAR Music turut menampilkan kemunculan istimewa beberapa pempengaruh yang mempunyai hubungan rapat dengan Arul. Mereka berkongsi kisah suka duka kehidupan masing-masing, sekali gus memberikan dimensi emosi yang lebih mendalam kepada karya tersebut.
Pihak NAR Music berharap pelancaran single ini bukan sahaja dapat diterima oleh peminat setia Arul Rasheed, malah mampu memperkenalkan sisi sebenar beliau sebagai seorang penyanyi yang memiliki potensi besar dalam industri muzik tempatan.
Gadis Kebaya Ungu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, Deezer dan YouTube.
Muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube NAR Music.
