Intan Maya Tampil Dengan “Layak Bahagia” – Simbol Kekuatan Wanita Selepas Luka

Menempa langkah pertama dalam industri muzik arus perdana, penyanyi baharu Intan Maya tampil memperkenalkan single sulungnya berjudul “Layak Bahagia”, sebuah karya penuh emosi yang menyentuh perjuangan seorang wanita bangkit selepas dikhianati cinta.
Intan Maya, bakat baharu di bawah naungan Suria Records (SRC), merupakan hasil pencarian dari platform TikTok, di mana bakatnya yang luar biasa dalam dunia busking menarik perhatian juri dan produser. Antara puluhan penyertaan, beliau terpilih atas kekuatan vokal lunak serta potensi besar untuk menyerlah sebagai penyanyi pelapis negara.
“Layak Bahagia” diterbitkan dengan kerjasama komposer dan penulis lirik prolifik Mas Dewangga, yang sebelum ini juga pernah menghasilkan karya untuk beberapa nama besar industri. Lagu ini bukan sekadar pengakuan luka, tetapi juga satu deklarasi kekuatan – menjadi suara kepada ramai wanita yang memilih untuk bangkit dan mencintai diri sendiri setelah dilukai.
“Lagu ini sangat dekat di hati saya. Ia menceritakan perjalanan emosi yang saya sendiri pernah lalui, dan saya percaya ramai wanita di luar sana akan dapat merasai mesej kekuatan di sebalik liriknya,” ujar Intan Maya.
Berusia 23 tahun dan merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Intan Maya sudah lama aktif dalam dunia muzik jalanan (busking) sebelum diberi peluang keemasan ini. Bagi beliau, pelancaran “Layak Bahagia” merupakan permulaan kepada perjalanan yang lebih besar dalam kerjaya muziknya.
Single ini kini boleh dimuat turun di iTunes dan distrim menerusi pelbagai platform digital seperti Apple Music, Spotify, YouTube Music dan Deezer. Peminat muzik tempatan juga boleh mendengarkan “Layak Bahagia” di stesen radio kegemaran mereka.
Dengan semangat dan bakat yang dimilikinya, Intan Maya bukan sekadar hadir untuk mencuba nasib, tetapi bersedia untuk mencipta nama dan menyentuh jiwa pendengar dengan karya yang jujur dan tulus.