October 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

IDOL RADIO Gegar KL, Tiga Kumpulan K-Pop Kuasai Pentas

Spread the love

WHIB, 82MAJOR Dan KISS OF LIFE Tampil Bertenaga, Ismail Izzani Cetus Kejutan Dengan Nyanyian Lagu Korea

Teks Oleh :  Faiz

Inspire Live Arena mencipta detik istimewa apabila buat pertama kalinya menjadi venue konsert menerusi penganjuran IDOL RADIO LIVE IN KUALA LUMPUR, pada 3 Oktober lalu.  Lebih menarik, pentas sulung itu terus diserikan tiga kumpulan K-pop popular, WHIB, 82MAJOR dan KISS OF LIFE, yang silih berganti menghidupkan suasana menerusi persembahan bertenaga, koreografi dinamik dan interaksi rapat bersama peminat.

Sejak lampu pentas dinyalakan, ruang berkenaan bertukar menjadi lautan sorakan apabila peminat tidak henti-henti melaungkan nama idola masing-masing, selain menghidupkan suasana menerusi fan chant dan light stick.

WHIB membuka tirai persembahan dengan penampilan penuh gaya dalam sut hitam, biarpun terpaksa beraksi tanpa anggota HASEUNG yang tidak dapat hadir selepas disahkan mengalami pneumothorax dan dinasihatkan berehat bagi menjalani rawatan serta pemulihan.

Ketiadaan HASEUNG bagaimanapun tidak mematahkan semangat enam anggota lain untuk memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu seperti WHO’S THE NEXT, ROCK THE NATION dan ELEVATE, selain mengimbau permulaan karier dengan lagu debut mereka, BANG!

Kunjungan itu cukup bermakna buat WHIB kerana menjadi penampilan pertama mereka di Malaysia sejak membuat debut pada 2023. Keterujaan bertemu peminat Malaysia yang dikenali sebagai AnD juga jelas terpancar apabila UGeon berkongsi keinginannya mencuba makanan tempatan, khususnya sate.

Sambutan hangat diterima membuatkan anggota WHIB mengakui mereka tidak akan melupakan pengalaman berkenaan dan berharap dapat kembali ke Malaysia dalam keadaan lebih baik.

Selepas WHIB, giliran 82MAJOR pula mencuri perhatian apabila kembali ke Malaysia hanya lima bulan selepas kunjungan terdahulu.

Enam anggota kumpulan itu turut mencuba bertutur dalam bahasa Melayu ketika memperkenalkan diri, dengan ketua kumpulan, Cho Seong-il, membuka bicara menerusi sapaan, “Apa khabar, Malaysia?”

Mereka kemudian menghangatkan pentas menerusi TROPHY dan TAKEOVER, selain mempersembahkan lagu terbaharu, Like Fire, yang dilancarkan pada September lalu. 82MAJOR turut mengajak peminat memainkan peranan menghidupkan suasana apabila Yoon Ye-chan melaungkan, “Malaysia mantap! 82DE mantap! IDOL RADIO mantap!”

Nam Seong-mo pula menggunakan frasa yang baharu dipelajarinya, “Jerit kuat-kuat”, sebelum mereka menutup segmen dengan ungkapan “Sayang korang” dan “Jumpa lagi”.

Bagaimanapun, kemuncak malam menjadi milik KISS OF LIFE yang tampil sebagai persembahan penutup dengan tenaga dan karisma tersendiri.  Selepas membuat kunjungan pertama ke Malaysia menerusi siri jelajah dunia pada April 2025, kumpulan itu kembali untuk penampilan kedua di negara ini.

Lebih istimewa, ketua kumpulan JULIE dan vokalis BELLE turut diberi tanggungjawab sebagai hos istimewa sebelum mengejutkan peminat menerusi persembahan duet Kiss Me More.  Empat anggota KISS OF LIFE kemudiannya kembali menguasai pentas menerusi SWEAT, Igloo, Lips Hips Kiss dan Sticky.

Peminat pula terus berdiri dan menyambut setiap persembahan dengan sorakan gemuruh hingga JULIE menyifatkan suasana malam itu seolah-olah mereka sedang mengadakan konsert sendiri.

Anggota kumpulan berkenaan turut beberapa kali membuat isyarat hati kepada penonton sambil melaungkan, “We love Malaysia”, manakala anggota termuda, HANEUL, menyatakan harapan untuk kembali lagi sebelum menutup persembahan dengan ucapan, “We love you”.

Turut mencuri perhatian ialah penyanyi Gen Z tempatan, Ismail Izzani, yang tampil sebagai artis jemputan khas.

Ismail menghiburkan penonton menerusi Luar Biasa, One On One dan Bidadari, selain berkongsi pengalaman apabila lagu nyanyiannya pernah dibawakan kumpulan Korea Selatan, ZEROBASEONE (ZB1), ketika konsert mereka di Malaysia sebelum ini.

Lebih mencuit perhatian apabila Ismail secara spontan menyanyikan petikan lagu Eyes, Nose, Lips nyanyian Taeyang dalam bahasa Korea.  Sebutannya yang baik mengundang sorakan penonton, sekali gus melengkapkan malam penuh warna itu.

Namun, di sebalik kemeriahan persembahan, IDOL RADIO LIVE IN KUALA LUMPUR turut membawa makna lebih besar apabila menjadi konsert pertama yang berlangsung di Inspire Live Arena.

Sebagai venue baharu, penganjuran acara itu menjadi ujian awal terhadap keupayaan ruang berkenaan dalam mengendalikan persembahan muzik secara langsung, termasuk aspek bunyi, pencahayaan, susun atur pentas, pandangan penonton dan aliran pergerakan pengunjung.

Menariknya, jarak antara pentas dengan penonton yang relatif dekat memberikan kelebihan tersendiri untuk acara berkonsepkan idol.  Peminat berpeluang melihat ekspresi serta pergerakan penghibur dengan lebih jelas, manakala artis pula lebih mudah membina hubungan dua hala bersama penonton.

Keadaan itu menjadikan sorakan, fan chant, gerakan tangan dan light stick sebahagian daripada persembahan, bukan sekadar reaksi penonton.

Walaupun masih terdapat ruang untuk aspek teknikal dan produksi diperhalusi pada penganjuran akan datang, konsert sulung ini sudah cukup untuk menunjukkan potensi Inspire Live Arena sebagai satu lagi lokasi pilihan bagi acara muzik secara langsung.

Daripada WHIB yang membuat kunjungan pertama, 82MAJOR yang kembali menemui peminat hingga KISS OF LIFE yang menutup acara dengan penuh bertenaga, IDOL RADIO LIVE IN KUALA LUMPUR bukan sekadar menghadirkan barisan bintang K-pop.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page