95 Peratus Tiket Konsert Hijjaz Rindu Sumayyah ‘Licin’

Tinggal Lima Peratus Tiket, Hijjaz Tampil Dengan 32 Lagu Bersama Lebih 40 Pemuzik Orkestra Istana Budaya
Belum pun melabuhkan tirai persembahan, Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah sudah mencatat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 95 peratus tiket untuk dua malam persembahan telah terjual.
Hanya berbaki sekitar lima peratus tiket, konsert yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 16 dan 17 Oktober ini sekali gus membuktikan karya nasyid dan lagu Islamik berkualiti masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat.
Lebih istimewa, sambutan berkenaan hadir ketika Hijjaz bersiap untuk mencipta pengalaman baharu dalam perjalanan tiga dekad mereka apabila bakal mempersembahkan 32 lagu dengan iringan lebih 40 pemuzik Orkestra Istana Budaya.
Penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad, berkata peluang beraksi bersama barisan pemuzik profesional dalam skala sebegitu besar memberikan keterujaan tersendiri kepada kumpulan berkenaan.
Katanya, Hijjaz selama ini lebih sinonim dengan persembahan vokal serta iringan muzik minus one, justeru pengalaman bergabung dengan orkestra menjadi sesuatu yang cukup dinantikan.
“Selama ini persembahan Hijjaz lebih tertumpu kepada vokal dengan bantuan minus one. Jadi apabila mendapat peluang untuk tampil dengan orkestra, ia menjadi pengalaman baharu yang sangat kami nantikan.
“Kalau sebelum ini kami pernah tampil dengan kira-kira 10 pemuzik, kali ini lebih 40 pemuzik akan mengiringi persembahan. Saya sendiri tidak dapat membayangkan sepenuhnya bagaimana bunyi lagu-lagu Hijjaz apabila digabungkan dengan kekuatan sebuah orkestra besar.
“Itulah yang membuatkan kami semakin teruja dan berharap penonton juga dapat merasai pengalaman istimewa ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah di Istana Budaya, petang tadi.
Bagi memastikan persembahan Rindu Sumayyah tampil dengan susunan muzik yang mantap, Hijjaz turut diperkuatkan barisan pemuzik berpengalaman diketuai Ujang Exists selaku pemain dram dan pengarah muzik.
Barisan pemuzik lain terdiri daripada Aznan dan Along (gitar), Robot (bass), Mustakim dan Firdaus (keyboard), Awe (perkusi), Mohar (flute), manakala Fuad KO dan pasukannya menggalas tugas sebagai vokal latar.
Gabungan barisan pemuzik berkenaan bersama lebih 40 pemuzik orkestra dijangka memberikan dimensi baharu kepada karya-karya Hijjaz yang selama ini dekat dengan jiwa peminat nasyid.
Menurut Munif, pemilihan 32 lagu untuk dipersembahkan juga bukan tugas mudah memandangkan Hijjaz mempunyai ratusan karya sepanjang tiga dekad perjalanan seni mereka.

Katanya, lebih 30 lagu dipertimbangkan pada peringkat awal sebelum senarai akhir disusun berdasarkan populariti, nilai nostalgia, sambutan peminat serta kesesuaian dengan konsep persembahan.
“Kami bahagikan lagu kepada beberapa kategori seperti hit song, second hit song dan third hit song. Daripada situ kami pilih karya yang paling kuat dan sesuai untuk dibawa ke pentas.
“Bukan bermakna lagu yang tidak terpilih tidak disukai peminat, tetapi kita perlu membuat pilihan kerana tidak mungkin semua lagu dapat dimasukkan dalam satu persembahan,” katanya.
Persembahan selama dua malam itu dijangka dibahagikan kepada kira-kira empat segmen, membawa penonton menyusuri perjalanan muzik Hijjaz menerusi lagu popular, nostalgia serta karya yang mempunyai nilai sentimental.
Konsert itu bukan sekadar meraikan ulang tahun penubuhan kumpulan, sebaliknya menjadi penghargaan terhadap tiga dekad perjalanan seni, dakwah, persahabatan dan perjuangan Hijjaz dalam industri nasyid tanah air.

Lebih menarik, Hijjaz turut membawa bersama generasi yang pernah mendapat inspirasi daripada perjalanan mereka antaranya Inteam, UNIC, Mestica dan Aeman, selain penampilan istimewa anak-anak Hijjaz.
Pengarah Program, Hazamin Inteam, berkata pemilihan Istana Budaya sebagai lokasi konsert mempunyai nilai tersendiri kerana perjalanan tiga dekad Hijjaz wajar diraikan menerusi sebuah produksi berskala besar.
“Rindu Sumayyah bukan semata-mata konsert nostalgia. Ia penghargaan terhadap perjalanan, karya, persahabatan, perjuangan dan legasi Hijjaz selama tiga dekad.

“Antara legasi terbesar Hijjaz ialah mereka bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi turut membuka jalan dan membimbing generasi selepas mereka. Sebahagian daripada generasi itu akan berada bersama-sama di atas pentas,” katanya.
Mengulas sambutan tiket, Hazamin berkata baki kira-kira lima peratus untuk dua malam persembahan menjadi petunjuk bahawa nasyid dan lagu Islamik berkualiti masih mempunyai pengikut tersendiri.
“Bagi kami, sambutan ini bukan sekadar angka jualan tiket, tetapi mesej bahawa nasyid dan lagu Islamik berkualiti masih mempunyai tempat yang kuat dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Selain persembahan dalam panggung, pemegang tiket turut berpeluang menikmati Souq Rindu Sumayyah di ruang lobi Istana Budaya, termasuk Galeri Hijjaz yang menghimpunkan memorabilia serta koleksi perjalanan kumpulan berkenaan sepanjang tiga dekad.

Turut diadakan mini showcase Nasheed GenZ bagi memberi ruang kepada bakat baharu nasyid, selain pengisian bersama Ustaz ZulRamli, Pengerusi Noble.
“Di dalam panggung, kita meraikan 30 tahun perjalanan Hijjaz. Di ruang Souq pula, kita mahu melihat ke hadapan dan memberi ruang kepada generasi baharu.
“Kalau Hijjaz sudah membawa perjuangan ini selama 30 tahun, kita juga perlu memikirkan siapa yang akan membawanya untuk 30 tahun akan datang,” katanya.
Bagi peminat yang tidak berkesempatan hadir ke Istana Budaya, konsert itu turut boleh dinikmati menerusi tayangan Video-On-Demand (VOD) di IKIMHub mulai 31 Oktober 2026.
Konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah dianjurkan Inteam Records dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Istana Budaya serta Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Tiket yang masih berbaki boleh didapati menerusi MyTicketEmpire.com.
