FROM POP TO METAL Vol. 9: Muzik Indie Rentas Laut China Selatan

Lima Bandar Jadi Medan Temu Pemuzik, Generasi Muda Dan Komuniti Muzik Dari Semenanjung Hingga Borneo
Dari Ipoh ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan akhirnya Kuching, perjalanan FROM POP TO METAL VOL. 9 MALAYSIA TOUR bukan sekadar menjelajah lima bandar, sebaliknya membuka mata terhadap wajah sebenar scene muzik tempatan yang terus bernyawa.
Lebih menarik, dua persinggahan terakhir di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak menjadi kemuncak perjalanan apabila penganjur berpeluang menyelami sendiri perkembangan muzik bebas di Borneo.
Di sebalik pentas kecil, ruang persembahan dan gig yang mungkin tidak mendapat perhatian arus perdana, tersimpan deretan band yang mempunyai identiti, bunyi dan kelompok peminat sendiri.

Malah, kewujudan pemuzik muda dalam kalangan belasan tahun antara perkara paling mencuri perhatian. Mereka bukan sekadar datang sebagai penonton, sebaliknya sudah berani memegang instrumen, menubuhkan band dan mencari identiti muzik sendiri.
Situasi itu membuktikan scene muzik di Sabah dan Sarawak masih subur melahirkan generasi baharu. Di Kota Kinabalu, FROM POP TO METAL VOL. 9 menampilkan Boil, Letters2her, OSH!, Chugs On Deck, Krassuxan, The Alif dan Stand Instead.


Perjalanan kemudian diteruskan ke Kuching apabila Saturday Heroes, Kolbenfaust, Heroine, Exhale My Ozone, Shavenkids, Sinus Tachycardia dan Ogoshi Rebels berkongsi pentas di Appleseeds Studio menerusi program WAK Festival 2026.
Bagi penganjur, pengalaman di Borneo memberi satu kesedaran penting ternyata masih banyak bakat tempatan yang belum ditemui pendengar di negeri lain. Tidak dinafikan scene muzik memerlukan acara untuk terus hidup, namun terlalu banyak gig yang hanya berebut kelompok penonton sama juga bukan jalan terbaik.
Sebaliknya, penganjuran yang lebih tersusun, pemilihan venue bersesuaian, komunikasi antara penganjur serta kerjasama komuniti mampu membina ekosistem muzik yang lebih sihat. Dalam dunia kreatif, persaingan tidak dapat dielakkan. Namun, persaingan tidak seharusnya menjadi tembok yang memisahkan komuniti.



Sebaliknya, kerjasama boleh menjadi jambatan untuk membuka lebih banyak peluang kepada band baharu. Lebih penting, perjalanan ke Borneo turut membuktikan hubungan antara scene muzik di Malaysia bukan sehala.
Artis dari Semenanjung datang ke Sabah dan Sarawak bukan sekadar untuk membuat persembahan. Mereka datang untuk belajar, bertukar pengalaman dan mengenali scene yang mungkin sebelum ini hanya didengar melalui cerita.
Begitu juga band Borneo yang kini mempunyai peluang untuk dilihat oleh komuniti muzik dari Semenanjung. Pertukaran seperti inilah yang menjadikan FROM POP TO METAL VOL. 9 lebih daripada sekadar siri persembahan. Ia menjadi satu perjalanan menemukan komuniti.
Dengan sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui MyCreative Ventures di bawah Dana Pemasaran Domestik, projek ini membawa karya serta artis tempatan merentasi negeri untuk bertemu pasaran baharu dan membina hubungan antara komuniti muzik.

Daripada lima persinggahan itu, satu perkara semakin jelas iaitu muzik tempatan tidak pernah ketandusan cerita. Masih ada band yang belum dikenali, masih ada pemuzik muda yang sedang mencari rentak sendiri, masih ada venue yang sanggup membuka pintu dan masih ada penonton yang mahu datang, mendengar serta memberi peluang kepada muzik baharu.
Mungkin selama ini kita terlalu sibuk melihat peluang di luar negara sehingga terlupa melihat apa yang ada di halaman sendiri kerana kadangkala, penemuan paling menarik bukan berada jauh.
Perjalanan FROM POP TO METAL VOL. 9 akhirnya berakhir di Kuching, namun apa yang ditinggalkan jauh lebih besar daripada sekadar deretan persembahan. Ia meninggalkan jaringan baharu, kenalan baharu dan kesedaran bahawa scene muzik Malaysia boleh bergerak lebih jauh jika komuniti memilih untuk bergerak bersama.
