Gegaran Warisan Tetap Menggegarkan dan ‘Panas’

Kredit Foto: PaPaDin
Hujan Lebat, Jalan Dinaiki Air Dan Pertindihan Acara Bukan Penghalang Rockers Serta Metallers Membakar Warisan Hall Dengan Sokongan Tidak Berbelah Bahagi
Angka mungkin sekadar sekitar 200 orang, namun gegarannya terasa jauh lebih besar. Itulah gambaran Showcase Gegaran Warisan anjuran Mentari Merah Entertainment di Warisan Hall, Sijangkang pada 18 Julai lalu apabila hujan lebat sejak tengah hari, beberapa kawasan yang dinaiki air serta pertindihan acara rock lain ‘gagal’ mematahkan semangat rockers dan metallers untuk terus berdiri di hadapan pentas menyokong pemuzik tempatan.
Walaupun jumlah kehadiran tidak mencapai sasaran, suasana di dalam dewan langsung tidak hambar. Sebaliknya, sorakan, nyanyian dan aksi headbang yang bergema dari awal hingga ke penghujung persembahan membuktikan komuniti rock dan metal tempatan masih utuh dengan semangat setiakawan yang sukar digugat.
Penganjuran Konsert Rockestra di Panggung Anniversary pada hari yang sama dipercayai menjadi antara faktor yang mempengaruhi jumlah kehadiran apabila peminat terpaksa membahagikan pilihan. Namun, mereka yang hadir ke Warisan Hall membuktikan bahawa sokongan terhadap muzik rock tempatan tidak pernah mengenal erti berbelah bahagi.

Showcase membuka tirainya dengan persembahan penuh bertenaga daripada Sniperz yang membakar pentas menerusi lagu Nafsu Dunia, Sendat Ketat (MAY), Penat, Metal Zulaika, Singa Taring Palsu ( MAY), Nana, Lidah Bercabang dan diakhiri dengan Ikrar Perwira (Rusty Blade). Sejak lagu pertama bergema, penonton sudah memenuhi ruang hadapan pentas sambil menyanyi dan menghayunkan tangan mengikut rentak muzik.

Momentum itu diteruskan oleh F.O.R yang tampil mantap menerusi Di Ufuk Timur, Bara Api, Layar, Woi Apa Lu Bikin, Gebang Melangit, Rock N Roll dan Bayu. Persembahan mereka berjaya memastikan adrenalin penonton terus memuncak tanpa memberi ruang untuk suasana menjadi suram.

Kemunculan legenda rock tanah air, Amir SYJ Sofea, menjadi antara detik paling dinantikan. Aura yang dimiliki figura berkenaan jelas memberi dimensi berbeza apabila beliau menghiburkan peminat menerusi Teruskan, Garis Di Persimpangan dan Orang Timur yang menyaksikan duet beliau bersama fanatikanya iaitu Tuah. Penonton turut menyanyikan setiap lirik, membuktikan karya beliau masih kekal dekat di hati pencinta rock tempatan.

Kemuncak malam diserahkan kepada ikon thrash metal tanah air, Punisher, yang menutup persembahan mereka dengan penuh garang menerusi Thru’ The Eye of Glass, Gout, Black Friday, Black September, Wrath of The Machines, Disciples of The Earth dan Justice For The Fallen. Persembahan bertenaga mereka menyaksikan peminat terus memenuhi ruang hadapan pentas dengan aksi headbang dan sorakan yang tidak pernah surut.

Namun, klimaks sebenar Showcase Gegaran Warisan hadir sebaik sahaja set Punisher berakhir apabila semua pemuzik yang menjayakan acara itu kembali memenuhi pentas untuk menyampaikan lagu malar segar Hati Syaitan, karya ikonik SYJ. Sniperz, F.O.R, Amir SYJ Sofea dan anggota Punisher bergabung dalam satu persembahan istimewa yang menutup tirai showcase dengan penuh simbolik.

Suasana di Warisan Hall bertukar menjadi lautan suara apabila hampir semua peminat yang hadir menyanyikan setiap rangkap lagu itu beramai-ramai sambil mengangkat tangan dan mengibarkan isyarat ‘rock’. Momen penuh nostalgia itu bukan sahaja menjadi penutup sempurna buat Showcase Gegaran Warisan, malah membuktikan bahawa walaupun hanya sekitar 100 peminat hadir, semangat yang terhasil malam itu cukup besar sehingga terasa seperti sebuah konsert berskala jauh lebih besar.

Wakil penganjur Mentari Merah Entertainment, Mohamad Noor Mustapha, mengakui sedikit kecewa apabila jumlah kehadiran tidak seperti yang diharapkan, namun tetap berbangga melihat kesungguhan peminat yang sanggup meredah hujan dan jalan yang dinaiki air demi menjayakan showcase berkenaan.
“Sudah tentu kami mengharapkan kehadiran yang lebih ramai. Faktor cuaca dan penganjuran acara rock lain pada hari yang sama mungkin memberi sedikit kesan. Namun, apa yang saya saksikan malam ini benar-benar menyentuh hati.
“Walaupun hanya sekitar 200 orang hadir, mereka datang dengan semangat yang luar biasa. Dari awal hingga akhir mereka tidak berhenti menyanyi, headbang dan memberikan sokongan kepada setiap band yang membuat persembahan.

“Saya juga cukup bangga kerana semua band memberikan persembahan seolah-olah mereka bermain di hadapan ribuan penonton. Tiada siapa yang bermain sambil lewa. Sniperz, F.O.R, Amir SYJ Sofea dan Punisher semuanya memberikan komitmen penuh demi menghargai peminat yang hadir.
“Kami mungkin sedikit kecewa dengan jumlah kehadiran, tetapi kami langsung tidak patah semangat. Malah, sokongan yang ditunjukkan malam ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus menganjurkan lebih banyak showcase dan konsert seperti Gegaran Warisan pada masa akan datang. Kami percaya komuniti rock dan metal tempatan masih kuat dan akan terus berkembang jika diberi ruang serta platform yang berterusan,” katanya.
Bagi Mentari Merah Entertainment, malam itu bukan soal berapa ramai yang hadir, sebaliknya siapa yang sanggup hadir. Semangat yang dipamerkan sudah cukup membuktikan muzik rock dan metal tempatan masih mempunyai denyut nadi yang kuat.
Gegaran Warisan akhirnya meninggalkan satu mesej yang jelas dimana hujan boleh membasahi bumi, jadual konsert boleh bertembung, tetapi semangat rockers dan metallers tidak pernah mudah luntur. Selagi ada pentas untuk berkarya dan peminat yang setia berdiri di hadapannya, muzik rock tempatan akan terus menggegarkan.
