‘Antologi Sakit Otak’ Lahirkan Sisi Lebih Matang The Alif

Album Kedua Kumpulan Indie Rock Tampil Dengan Sembilan Karya Sarat Kritikan Sosial, Emosi Dan Realiti Kehidupan
Selepas dua tahun konsisten memperkenalkan karya baharu, kumpulan indie rock, The Alif akhirnya tampil dengan album studio kedua berjudul Antologi Sakit Otak, sebuah naskhah yang menjadi manifestasi kematangan mereka dari segi penulisan lirik, susunan muzik dan penyampaian cerita.
Diterbitkan secara bebas, album yang mula menemui peminat di semua platform penstriman digital sejak 17 Julai lalu itu menghimpunkan sembilan lagu yang membawa pelbagai tema, daripada kritikan sosial, kehilangan, kesihatan mental, hubungan sesama manusia hinggalah kepada pencarian makna kehidupan.
Menggabungkan elemen Britpop, alternative rock dan indie yang menjadi identiti kumpulan itu sejak penubuhannya, Antologi Sakit Otak turut memperlihatkan keberanian The Alif bereksperimen dengan idea serta naratif yang lebih mendalam.

Lagu pembukaan, Kritikan Sosial, menjadi pintu masuk kepada keseluruhan perjalanan album apabila disulami petikan ucapan revolusioner Che Guevara ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Susunan muzik yang dramatik dan mesej yang tajam menjadikan lagu itu sebagai pengenalan kepada tema besar yang ingin disampaikan sepanjang album.
Momentum album diteruskan menerusi Ya Ya Ya, sebuah karya yang menyindir budaya masyarakat moden yang semakin bergantung kepada perhatian serta pengiktirafan di media sosial.
Dengan lirik sinis dan susunan muzik yang rancak, lagu itu terlebih dahulu mencuri perhatian pendengar apabila dilancarkan sebagai single sehingga berjaya merekodkan lebih 3,000 penstriman di Spotify.
Turut melengkapkan album ialah Melankolik, Obsessive Love Disorder, Bunga Rindu, Antologi Sakit Otak, Substansi, The Story dan Lebaran Yang Hiba.
Setiap lagu membawa identiti serta mesej tersendiri, menjadikan album ini bukan sekadar himpunan karya muzik, sebaliknya sebuah penceritaan yang dekat dengan pengalaman hidup masyarakat hari ini.

Bagi meraikan pelancaran album berkenaan, The Alif turut menganjurkan Antologi Sakit Otak – Album Listening Session, sebuah sesi eksklusif yang menghimpunkan peminat, rakan media dan penggiat industri muzik.
Menerusi sesi itu, tetamu berpeluang mendengar keseluruhan album buat kali pertama selain menyelami kisah di sebalik proses kreatif dan pembikinan setiap lagu yang dihasilkan.
Dianggotai oleh King (vokal), Aizzul Fikri (gitar, keyboard dan strings), Megat Amiruddin (bass) serta Shah Chacha (dram), The Alif terus memperkukuhkan identiti mereka sebagai antara kumpulan indie tempatan yang berani mengangkat isu sosial dan emosi menerusi pendekatan muzik yang segar.
Dengan pelancaran Antologi Sakit Otak, The Alif dilihat bukan sahaja meneruskan evolusi muzik mereka, malah membuktikan karya indie tempatan masih mampu tampil berani, relevan dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat masa kini.
