EXISTS Memento Mori 2.0: 35 Tahun Belum Cukup Untuk Satu Malam

Masih banyak lagu, cerita dan kenangan yang belum selesai — Exists kembali membuka lembaran baharu di Unifi Arena pada 8 November ini
TIGA puluh lima tahun bukan tempoh singkat buat sebuah kumpulan muzik bertahan dalam industri yang sentiasa berubah.
Namun bagi Exists, perjalanan lebih tiga dekad itu bukan sekadar angka atau pencapaian yang boleh dibanggakan, sebaliknya sarat dengan cerita, pengorbanan, perubahan zaman, jatuh bangun dan paling penting, kenangan yang terukir bersama peminat.
Justeru, selepas mengubat kerinduan ribuan peminat menerusi Exists Memento Mori pada 1 Ogos lalu, Exists kembali dengan kesinambungan lebih besar menerusi Exists Memento Mori 2.0.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu bakal berlangsung pada 8 November 2026, jam 8.30 malam di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bagi penganjur, keputusan meneruskan Memento Mori 2.0 bukan semata-mata kerana sambutan terhadap edisi pertama, tetapi melihat sendiri bagaimana peminat masih ‘demam’ dan belum mampu ‘move on’ selepas menyaksikan persembahan Exists.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, berkata tempoh 35 tahun yang dilalui Exists terlalu panjang untuk dirangkumkan hanya dalam satu malam.
“35 tahun tidak cukup satu malam. Baik daripada rendisi lagu yang ada dalam album Exists ataupun mendengar keluhan serta memori baik yang diluahkan peminat di pelbagai platform media sosial selepas hadir menjadi saksi.
“Memento Mori 2.0 juga sebenarnya menjadi peluang buat peminat yang tidak dapat hadir ke edisi pertama pada 1 Ogos lalu.
“Dan tentu sahaja Memento Mori 2.0 bukan ulangan. Ia tidak dilakukan hanya untuk mencari keuntungan tetapi berdasarkan riwayat 35 tahun Exists yang memang tidak cukup diceritakan hanya pada satu malam,” katanya.

Menurut Iman, Memento Mori 2.0 bakal memberikan pengalaman berbeza berbanding edisi pertama, malah lebih banyak karya popular Exists akan dipersembahkan.
Katanya, kekuatan Exists bukan hanya terletak pada usia 35 tahun mereka, tetapi hubungan emosi peminat dengan lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan masing-masing.
“Kami percaya orang membeli tiket bukan semata-mata kerana Exists sudah 35 tahun, tetapi kerana mereka mahu mendengar lagu yang mempunyai cerita dalam hidup mereka secara langsung.
“Memento Mori 2.0 memberi pengalaman yang berbeza daripada edisi pertama, dengan lebih banyak karya hits dipersembahkan.
“Itu yang membuatkan kami yakin peminat yang sudah datang akan mahu kembali dan mereka yang terlepas tidak mahu mengulangi perkara sama,” katanya.
Hakikatnya, apabila menyebut Exists, terlalu banyak lagu yang mampu mencetuskan memori. Ada yang mengingatkan kepada zaman sekolah, cinta pertama, persahabatan dan kenangan yang mungkin sudah bertahun-tahun berlalu.

Sebab itu apabila lagu berkenaan dinyanyikan secara langsung, ia bukan sekadar hiburan tetapi seperti membawa peminat kembali ke satu zaman yang pernah mereka lalui.
Bagi Exists pula, Memento Mori 2.0 mempunyai alasan yang cukup mudah. Mewakili Exists, Along berkata perjalanan 35 tahun terlalu panjang untuk diceritakan hanya dalam satu malam.

“35 tahun terlalu panjang untuk diceritakan dalam satu malam. Memento Mori 2.0 hadir kerana masih banyak cerita Exists yang belum selesai,” katanya.
Exists yang lahir di Johor Bahru ketika anggota kumpulan masih di bangku sekolah dan meniti alam remaja, kini sudah menjadi antara nama penting dalam sejarah muzik popular tempatan. Daripada zaman kaset dan CD kepada era digital, Exists menyaksikan sendiri perubahan industri muzik dari dekat.
Namun selepas 35 tahun, mereka masih mampu berdiri di pentas dan mengumpulkan peminat daripada pelbagai generasi. Itulah yang mahu diraikan menerusi Memento Mori 2.0.
Bukan sekadar mengenang masa lalu tetapi membawa semula lagu, cerita dan emosi yang menjadikan Exists dekat dengan hati peminat.
Lebih menarik, penganjur turut mahu peminat menjadi sebahagian daripada suasana nostalgia itu. Mereka yang hadir digalakkan berpenampilan penuh warna-warni, neon dan color-block ala penghujung 1980-an serta 1990-an.
Konsep berkenaan dijangka menjadikan Unifi Arena lebih berwarna apabila ribuan peminat hadir dengan fesyen yang mengingatkan kembali era kegemilangan Exists.
Jadi, bukan hanya Exists yang perlu ‘kembali’ ke zaman tersebut, peminat juga diajak sama-sama menghidupkan suasana yang pernah mewarnai perjalanan muzik mereka.
Bagi peminat yang sudah tidak sabar menantikan Memento Mori 2.0, jualan tiket dibuka Selasa, 18 Ogos, jam 3 petang menerusi platform Ticket2U.

Harga tiket ditawarkan mengikut kategori berikut: RM228 – Kapal Terbang Kertas, RM288 – Masih Terserlah Ayumu, RM328 – Dirantai Digelangi Rindu, RM388 – Rindu Serindu Rindunya, RM428 – Jangan Gentar, RM488 – Janji Padamu dan RM5,000 – Mengintai Dari Tirai Kamar / Sofa Couple termasuk light snacks & beverages
