August 17, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ari Lesmana Bawa Zepp KL Larut Dalam ‘Mangu’, Selit Deretan Cover Pilihan

Spread the love

Ari Lesmana bukan sekadar menghidangkan karya Fourtwnty ketika menjayakan MANGU di Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, 15 Ogos lalu malah menyelitkan beberapa lagu popular milik penyanyi lain yang memperlihatkan luasnya apresiasi muzik penyanyi itu.

Konsert anjuran Rockstage Entertainment itu berjaya menghimpunkan lebih 1800 fanatika Ari Lesmana dimana dia tidak sekadar membawa katalog lagu yang sudah sebati dengan dirinya, sebaliknya mengajak penonton menyelami sebuah perjalanan muzik yang merentas generasi, genre dan cerita.

Lebih menarik, repertoir yang dipilih bukan semuanya karya Fourtwnty.  Sebaliknya, Ari menyelitkan sejumlah lagu daripada pemuzik lain yang menunjukkan dia tidak hanya selesa bermain dalam lingkungan muziknya sendiri.

Pembukaan dengan What A Wonderful World sudah memberikan petunjuk bahawa malam itu bakal bergerak dalam arah yang berbeza.Lagu klasik yang sinonim dengan Louis Armstrong itu dipilih sebagai pembuka cukup bersahaja, tetapi mempunyai makna tersendiri dimana seolah-olah Ari mahu penonton memperlahankan rentak dan bersedia untuk menikmati perjalanan yang akan dibawanya.

Daripada klasik antarabangsa, Ari kemudian membawa penonton ke dunia muzik Indonesia menerusi Ada Titik-Titik di Ujung Doa, karya Sal Priadi.

Pilihan itu memperlihatkan selera muzik Ari yang cukup luas. Lagu Sal Priadi mempunyai karakter puitis dan introspektif, sekali gus sesuai dengan pendekatan Ari yang lebih gemar menyampaikan emosi secara bersahaja berbanding terlalu dramatik.

Antara pilihan yang paling menarik tentunya Menghitung Hari 2.  Bagi pendengar yang hanya mengenali lagu itu menerusi Fourtwnty, mungkin ramai menyangka ia sebahagian daripada katalog asal kumpulan berkenaan.

Hakikatnya, lagu itu ialah karya Anda Perdana, diterbitkan pada 2006 menerusi album Heart. Fourtwnty kemudiannya memperkenalkan semula lagu berkenaan kepada generasi pendengar yang lebih baharu menerusi versi mereka.

Justeru, apabila Ari memilih lagu ini dalam MANGU, ia bukan sekadar membawakan sebuah lagu yang popular.  Ia seakan-akan memberi penghormatan kepada akar muzik yang turut membentuk landskap indie Indonesia.

Lebih menarik, pilihan itu menunjukkan Ari memahami bahawa sesebuah lagu boleh mempunyai kehidupan kedua apabila ditafsir semula oleh generasi berbeza.

Kemudian hadir pula Pupus, karya legenda Dewa 19.  Di sinilah persembahan Ari memperlihatkan sisi yang lebih menarik.  Daripada muzik indie dan alternatif, dia beralih kepada karya sebuah kumpulan yang menjadi antara tonggak utama muzik popular Indonesia.

Namun, Pupus tidak terasa janggal dalam persembahan.  Sebaliknya, karakter vokal Ari yang tenang memberikan warna tersendiri terhadap lagu yang sinonim dengan emosi cinta bertepuk sebelah tangan itu.  Ia juga menjadi antara momen yang membuktikan bahawa lagu yang kuat tidak semestinya bergantung kepada genre asalnya.

Emosi kemudian semakin mendalam apabila Ari membawa Runtuh, lagu yang dipopularkan Feby Putri bersama Fiersa Besari.

Pilihan Runtuh memang kena dengan karakter persembahan Ari.  Tidak perlu vokal yang terlalu besar atau produksi yang berlebihan, kekuatan lagu itu terletak pada kejujuran emosi dan ruang yang diberikan kepada pendengar untuk menghayati maksudnya.

Di Zepp KL, pendekatan Ari terhadap lagu itu menjadikan suasana lebih intim.  Penonton bukan sekadar mendengar, tetapi seolah-olah turut dibawa masuk ke dalam cerita yang disampaikan.

Kehadiran ENAU pula memberikan satu lagi lapisan kepada persembahan.  Sebagai penampilan istimewa, ENAU membawa karakter muzik yang tersendiri, sekali gus menjadikan MANGU tidak terasa seperti persembahan seorang penyanyi sahaja.

Kolaborasi itu memperlihatkan kesinambungan antara muzik indie Indonesia dan Malaysia, terutama dari segi penulisan lagu yang lebih dekat dengan kehidupan seharian.

Sementara itu, DJ Firza pula memberikan dimensi berbeza menerusi elemen elektronik.  Gabungan bunyi elektronik dengan karakter vokal Ari menghasilkan suasana yang lebih moden, terutama ketika persembahan bergerak ke bahagian yang lebih rancak.

Jika ENAU menguatkan sisi organik persembahan, DJ Firza pula membuka ruang kepada eksperimen bunyi.  Dua elemen itu menjadikan MANGU lebih dinamik.

Selepas mengembara menerusi karya pemuzik lain, Ari kembali kepada wilayah yang paling dekat dengannya.  Dimana dia melontarkan  Hitam Putih, Pagi Yang Gelap (cover daripada Hujan), Everything You Are, Negara Lucu, Zona Nyaman dan Aku Tenang menjadi antara karya yang mengembalikan penonton kepada dunia Fourtwnty.

Di sinilah sorakan penonton semakin mudah dijangka.  Lagu-lagu berkenaan bukan lagi sekadar lagu tetapi ia sudah menjadi sebahagian daripada pengalaman hidup pendengar.

Terutama Zona Nyaman dan Aku Tenang, dua karya yang mempunyai identiti kuat dan cukup sinonim dengan karakter Fourtwnty.  Ari tidak perlu memaksa penonton untuk menyanyi bersama, mereka sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Persembahan terus bergerak menerusi Angin Kencang, sebelum Ari membawa penonton kepada Fana Merah Jambu.  Pada tahap ini, suasana Zepp KL terasa semakin akrab.  Jika pada awalnya penonton datang untuk menyaksikan Ari Lesmana, semakin lama mereka seolah-olah menjadi sebahagian daripada persembahan itu sendiri.

Kemudian hadir Nina, diikuti Bersamaku Akan Sedikit Susah dan Aku Harus Pergi.  Namun, segala perjalanan itu akhirnya menuju kepada lagu Mangu.  Pemilihan Mangu sebagai titik penting konsert sememangnya tepat.

Lagu itu bukan sekadar menjadi bahan nyanyian, tetapi terasa seperti kesimpulan kepada keseluruhan perjalanan yang dibina sejak awal malam.  Daripada keresahan, cinta, kehilangan, penerimaan dan harapan semuanya bercantum di situ.

Satu lagi pilihan yang cukup mencuri perhatian ialah Cincin, lagu milik Hindia.  Pemilihan Cincin sekali lagi menunjukkan Ari tidak terikat kepada satu era atau nama tertentu.

Hindia mewakili generasi muzik Indonesia yang lebih baharu, manakala Louis Armstrong, Dewa 19 dan Anda Perdana pula mewakili spektrum muzik daripada era yang berbeza.  Kesemua pilihan itu akhirnya bertemu dalam satu pentas dan itulah antara kekuatan terbesar MANGU.

Apa yang menjadikan persembahan Ari Lesmana di Zepp KL menarik bukan kerana jumlah lagu popular semata-mata sebaliknya, ia terletak pada cara dia memilih lagu.

Ari tidak cuba membuktikan dirinya sebagai penyanyi dengan vokal paling lantang.  Dia juga tidak memerlukan gimik besar untuk menguasai pentas, sebaliknya, dia membiarkan lagu, lirik, suasana dan emosi bekerja untuk dirinya.

Dan apabila muzik berhenti, yang tinggal bukan sekadar ingatan terhadap sebuah konsert tetapi rasa yang mungkin membuatkan penonton termenung seketika ketika meninggalkan Zepp KL.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page