July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

ELITE Rayakan Tiga Dekad Karier Menerusi Konsert ‘ELITE LIVE ‘25”

Spread the love

Tiket Konsert Akan dijual Pada Khamis, 26 Jun 2025, bermula jam 2 Petang

Foto Kredit: Subky Hj Bebit

Girl band sensasi era 90-an, ELITE, bakal melakar sejarah tersendiri apabila tampil buat julung kalinya dalam sebuah konsert berskala besar, ELITE LIVE ’25, pada 20 September 2025 bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Dianjurkan oleh Icon Entertainment, konsert ini menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan kumpulan yang dianggotai oleh Linda Rafar, Shasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza. Ini juga merupakan kemunculan semula ELITE secara penuh selepas lebih dua dekad menyepi dari pentas utama.

Nama-nama seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G. kekal menjadi siulan peminat walaupun sekian lama hanya dinikmati melalui platform digital. Namun kini, peminat berpeluang menyaksikan sendiri magis ELITE secara langsung satu pengalaman yang pernah eksklusif buat generasi 90-an.

Kehadiran ELITE dalam segmen khas Konsert genKRU baru-baru ini menjadi petanda awal kebangkitan kumpulan ini. Sambutan luar biasa daripada penonton serta permintaan tinggi daripada peminat telah menjadi antara pencetus kepada konsert penuh mereka.

Menurut Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, penganjuran ELITE LIVE ’25 bukanlah sekadar mengisi kalendar konsert yang semakin padat, tetapi sebuah misi untuk mengangkat semula legasi muzik tempatan yang ikonik.

“Penganjuran ini bukan dibuat secara sambil lewa. Ia melalui pelbagai fasa perancangan dan penelitian demi memastikan standard tinggi yang sinonim dengan Icon Entertainment dikekalkan,” jelas Iman Tang ketika ditemui media sewaktu pelancaran konsert tersebut di Kuala Lumpur pada 23 Jun lalu.

“Kami percaya karya-karya ELITE yang dicipta sejak tahun 90-an bukan sahaja masih relevan, tetapi layak diraikan dalam skala yang besar. Ini adalah momen penting, bukan hanya buat mereka sebagai kumpulan, tetapi buat industri muzik tempatan secara keseluruhan.”

Bagi anggota ELITE sendiri, peluang ini datang bersama debaran tersendiri setelah sekian lama membawa haluan masing-masing.

“Kami akui gusar pada awalnya kerana sudah lama tidak membuat persembahan berskala besar. Namun, keyakinan dan semangat yang ditunjukkan oleh pihak Icon Entertainment telah meyakinkan kami untuk merealisasikan ELITE LIVE ’25,” ujar Linda mewakili kumpulan.

“Kami mahu berpesta bukan hanya dengan peminat lama, tetapi juga generasi baru yang mungkin baru mengenali muzik kami.”

Tiket bagi menyaksikan ELITE LIVE ’25 akan mula dijual pada Khamis, 26 Jun 2025, bermula jam 2 petang di www.ticket2u.com.my/elite. Beberapa kategori tiket disediakan, termasuk:G.I.G (RM1,088) – Termasuk sesi Meet & Greet serta jamuan ringan, Manisnya Senyumanmu (RM588), Catwalk (RM268) dan Tamparan Wanita (RM268)

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini — meraikan tiga dekad ELITE dengan semangat penuh nostalgia dan pesona yang tak pernah pudar.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page