July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Stacy Cipta Sejarah Di Sicc Dengan Konsert “Aku Stacy”

Spread the love

3,000 Peminat Gegar Kota Kinabalu Dalam Konsert Solo Mega Pertama Stacy Di Sabah

Penyanyi tersohor kelahiran Sabah, Stacy Anam, mencipta sejarah tersendiri apabila lebih 3,000 peminat membanjiri Sabah International Convention Centre (SICC) bagi menyaksikan konsert solo mega pertamanya di tanah kelahiran bertajuk “Aku Stacy (Menggegar Kota U)”, pada 22 Jun lalu.

Dianjurkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment dengan kerjasama U Mobile, konsert berdurasi hampir tiga jam itu menampilkan Stacy dalam prestasi terbaik mempersembahkan lebih 20 lagu yang merentasi 17 tahun perjalanan seninya, dalam produksi pentas bertaraf antarabangsa yang digarap penuh teliti.

“Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert,” kata Stacy dengan penuh emosi.

Konsert dibuka dengan lagu bertenaga “Pakai Buang”, disusuli rangkaian lagu hits seperti “Cakap Ke Tangan”, “Gilalah”, “Not For Sale”, “Bosan”, dan “Menyala”. Penonton turut terpegun menyaksikan aksi dramatik Stacy ‘terbang’ di udara ketika menyanyikan “Khayal”.

Segmen balada seperti “Kisah Dongeng” dan “Pelangi Senja” pula membawa penonton ke dimensi lebih emosional, diikuti dengan penampilan istimewa lagu “Asmaradana” yang dibawakan penuh elegan dengan elemen budaya Sabah.

Puncak malam menyaksikan Stacy menutup persembahan dengan lagu ikonik “Aku Stacy”, simbol permulaan kerjayanya sejak menjuarai Akademi Fantasia musim keenam pada 2008.

Konsert turut mempersembahkan detik romantik apabila Stacy berduet dengan suaminya, Akim Ahmad, menerusi “Die With A Smile”, “Aku, Kau & Muzik”, serta “Ritma & Rima”, sebelum Akim memukau solo dengan “Rampas”.

“Ini adalah pelaburan terbesar Rhythm & Rhyme setakat ini, dan Alhamdulillah, ianya membuahkan hasil di luar jangkaan,” ujar Akim dalam sidang media selepas konsert.

Turut memeriahkan pentas adalah artis undangan seperti Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia, manakala Atu Zero tampil dengan elemen komedi spontan yang mencuit hati.

Pentas malam itu turut mencipta rekod baharu apabila Stacy menggayakan 10 busana berbeza hasil rekaan pereka fesyen tempatan – menjadikannya artis Malaysia pertama dengan jumlah pertukaran kostum sebanyak itu dalam satu konsert.

Dalam sidang media penuh emosi, Stacy turut berkongsi rasa rindu terhadap arwah abangnya, Chaq, yang disifatkan sebagai individu pertama yang membuka jalannya dalam industri hiburan.

“Dialah insan yang membawa saya ke industri ini. Di atas pentas malam ini, saya dapat rasakan kehadirannya,” luah Stacy sebak.

Sebagai penutup, Stacy memberi bayangan bahawa konsert ini bakal dibawa ke Semenanjung dalam masa terdekat:

“Kalau Sabah boleh gegarkan SICC, saya yakin Kuala Lumpur pun boleh kita gegarkan sama-sama nanti!”

Konsert “Aku Stacy (Menggegar Kota U)” bukan sekadar persembahan muzik – ia adalah manifestasi kecintaan Stacy terhadap negeri kelahirannya, terhadap seni muzik, dan terhadap para peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.

Dibawakan oleh U Mobile, disokong oleh Gempak selaku rakan media rasmi dan Hotel Promenade sebagai rakan hotel rasmi, konsert ini memperkukuh kedudukan Stacy bukan sekadar sebagai penghibur tetapi sebagai ikon seni tanah air.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page