July 9, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert “Cinta Nostalgia” Bukti Cinta  Kris Dayanti Tidak Pernah Pudar Buat Malaysia

Spread the love

Tarikh 22 Jun lalu, sekali lagi sejarah di cipta Kris Dayanti di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) apabila beliau kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi konsert istimewa bertajuk “Cinta Nostalgia”. Lebih daripada sekadar persembahan, malam itu menjadi wadah kenangan, penghargaan seni, dan perayaan cinta dalam pelbagai bentuk terhadap muzik, keluarga, peminat dan warisan budaya.

Lebih 2,300 peminat hadir bukan hanya untuk menyaksikan penyanyi kesayangan mereka, Kris Dayanti, tetapi untuk merasakan semula memori-memori cinta, kehilangan dan harapan yang pernah diwakili oleh suara emasnya. Konsert “Cinta Nostalgia”, anjuran JBProduction, menandakan kembalinya KD ke Malaysia selepas hampir satu dekad, dan beliau tidak pulang dengan tangan kosong,  beliau membawa hati yang terbuka, suara yang matang dan jiwa seni yang tetap menyala.

Seawal jam 8.30 malam, suasana bertukar dramatik MimiFly yang muncul sebagai pembuka tirai bersama lagu Angkat’.  Tarian koreografi yang rancak, digabungkan dengan sistem audio berdefinisi tinggi dan pencahayaan dinamik, terus meletakkan dewan dalam mood bersedia seperti jantung yang menanti debar pertama cinta.

Kemunculan Kris Dayanti benar-benar mendebarkan, menggambarkan aura seorang ratu yang hadir bukan untuk memerintah, tetapi untuk merangkul setiap jiwa yang pernah disentuh lagunya. Lagu-lagu seperti “Mahadaya Cinta”, “Cinta”, “Yang Kumau” dan “Cobalah Untuk Setia” membuka persembahan, satu demi satu bagaikan bab dalam diari kehidupan.

Sistem audio yang digunakan malam itu memainkan peranan besar, suara KD tidak hanya didengar, ia terasa. Butiran desah nafas, lenggok suku kata, vibrato lembutnya semuanya jelas dan menusuk, seolah-olah setiap lagu disampaikan terus dari bibirnya ke jantung penonton.

Tatkala beliau menyanyikan “I’m Sorry Goodbye” dan “Doaku Harapanku”, seakan membawa khalayak sekaligus mewujudkan rasa sepi yang mendalam. Ramai yang dilihat menyeka air mata  bukan kerana sedih, tetapi kerana mengenang sesuatu yang pernah hilang, dan kini dihidupkan kembali dalam muzik.

Salah satu detik yang paling menggugah perasaan ialah ketika Dato’ Sri Siti Nurhaliza secara spontan muncul di pentas, menyanyikan “Cindai” bersama KD. Suasana bertukar magis apabila dua ikon dari dua negara, dua budaya, tetapi satu suara. Persembahan itu diraikan dengan sorakan panjang, dan kamera telefon berkelip-kelip seperti bintang menyaksikan pertemuan langit dan bumi.

Kemudian, lagu “Jika Kau Tak Datang” mempertemukan tiga generasi iaitu Kris Dayanti, Siti Nurhaliza dan MimiFly yang mencipta satu pernyataan bahawa muzik sentiasa hidup, dan suara wanita tetap relevan merentas dekad.

KD turut memperlihatkan sisi paling peribadinya dengan berkongsi pentas bersama anak perempuannya Amora, dan Aural serta cucu tercinta. Persembahan “You Are The Reason” dan “Timang Timang” bukan sahaja mencairkan hati, tetapi menyerlahkan hubungan kekeluargaan sebagai teras kehidupan dan seni beliau.

Khai Bahar menambahkan warna dengan lagu “Luluh” dan duet “Hati Ini Telah Dilukai”. Gabungan suara mereka membawa sentuhan kontemporari, namun tetap intim. Lagu-lagu seperti “Mencintaimu” dan “Semua Jadi Satu” membawa dewan ke kemuncak emosi, dengan pencahayaan dramatik.

Konsert ditutup dengan medley “Rembulan”, “Kamu Di Hatiku Selamanya” dan “Penasaran”, sambil penonton berdiri, menyanyi bersama mencipta detik padu yang merangkum kesetiaan dan cinta antara seorang penyanyi dan peminatnya.

Dengan iringan muzik agung oleh maestro Erwin Gutawa selaku Pengarah Muzik, setiap lagu disusun rapi bukan sekadar untuk didendangkan, tetapi untuk menghidupkan semula rasa. Konsert “Cinta Nostalgia” membuktikan bahawa KD bukan hanya masih relevan, beliau abadi dalam jiwa muzik Nusantara.

Malam itu, PICC bukan sekadar dewan konvensyen. Ia berubah menjadi rumah, tempat di mana cinta diluahkan dalam suara, air mata, lampu, dan getar nota.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page