April 21, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Dimanakah Kamu Sore Ini?” Sentuhan Rindu Atilia Yang Menusuk Jiwa

Spread the love

Selepas sekian lama tidak tampil dengan karya baharu yang benar-benar meruntun jiwa, penyanyi versatil Atilia Haron kembali mencuri perhatian menerusi single terbaharu berjudul Dimanakah Kamu Sore Ini? sebuah balada pop yang cukup lembut, namun sarat dengan emosi mendalam.

Masih mengekalkan identiti vokal yang tenang dan penuh jiwa, Atilia sekali lagi membuktikan dirinya bukan sekadar penyanyi, malah pengkarya yang bijak menzahirkan rasa melalui muzik.

Lagu ciptaan Atilia bersama komposer terkenal Jinx Chin itu membawa pendengar menyelami rasa rindu yang sunyi, kerinduan yang tidak terluah serta kenangan yang masih berbekas walaupun masa terus berlalu.

Dengan susunan muzik pop moden yang minimalis dan elegan, setiap bait lirik dalam lagu ini diberi ruang untuk ‘bernafas’, menjadikan mesej yang ingin disampaikan terasa lebih dekat dan menusuk ke hati.

Menariknya, judul Dimanakah Kamu Sore Ini? sendiri sudah cukup mengundang persoalan dan emosi. Kata “sore” yang membawa maksud senja digunakan sebagai simbol waktu peralihan antara siang dan malam, antara hadir dan kehilangan, antara menggenggam dan melepaskan.

Lagu ini berbicara tentang dua jiwa yang terpisah oleh jarak, namun masih dihubungkan oleh rasa yang tidak pernah benar-benar hilang.

Ia juga menyentuh persoalan yang sering dipendam ramai tentang seseorang yang pernah dekat di hati, tentang perbualan yang tidak sempat dilafazkan, dan tentang harapan bahawa di satu sudut dunia, insan itu masih mengingati perkara yang sama.

Tidak keterlaluan dikatakan, Dimanakah Kamu Sore Ini? adalah karya yang sesuai didengari ketika matahari mula terbenam, saat hati mula sunyi dan memori lama datang bertamu.

Kehadiran lagu ini sekali gus membuktikan Atilia masih relevan dengan sentuhan muzik matang dan berkualiti, jauh daripada arus komersial kosong.

Bagi peminat yang merindui karya berjiwa dan penuh rasa, single ini pastinya bakal menjadi peneman setia kala senja menjelma.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page