Aina Abdul Jadi Senjata Rahsia, The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun Janji Pecah Perut & Pecah Emosi
Kredit Foto: Maestro Riduan
Kehadiran penyanyi berkarisma, Aina Abdul sebagai artis jemputan khas konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun nyata mengejutkan ramai apabila namanya diumumkan sebagai antara tarikan utama malam penuh nostalgia itu.
Pemilihan Aina dilihat sebagai langkah berani penganjur dalam menyuntik elemen segar kepada persembahan kumpulan komedi legenda berkenaan yang bakal berlangsung pada 25 April ini di Idea Live Arena.
Menurut Ali Idris Mohamed,selaku wakil Dreamscape Event dan Kapla Entertainment kehadiran Aina bukan sekadar gimik, sebaliknya dirancang bagi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton termasuk kemungkinan membawakan lagu popular Zapin Usik Mengusik dalam versi baharu.

“Kami mahukan sesuatu yang luar biasa. Aina ada aura tersendiri dan kami percaya dia mampu memberi kejutan besar kepada peminat Senario,” katanya ketika ditemui media sewaktu sesi latihan yang di adakan di Shoreline Space, Setapak pada 21 April lalu.
Keputusan tidak menampilkan penyanyi asal lagu itu, Heyda Hafeey, pula dibuat kerana penganjur tidak mahu mengitar semula konsep lama yang pernah dipersembahkan sebelum ini.
Heyda pernah merakamkan semula lagu berkenaan bersama Lan Solo tanpa penglibatan Senario dan pernah muncul dalam sesi busking ketika promosi konsert terdahulu.
“Penonton datang dengan harapan tinggi. Jadi kami mahu hadirkan kelainan, bukan ulang benda sama,” jelasnya.
Biarpun dikenali dengan elemen komedi spontan yang sering mencetuskan gelak tawa, penganjur memaklumkan persembahan kali ini akan dikawal rapi menerusi sistem masa khas. Langkah itu diambil bagi memastikan konsert tamat sekitar jam 11.30 malam dan tidak berdepan isu kelewatan seperti persembahan sebelum ini.

“Kali ini setiap segmen ada masa ditetapkan. Kami mahu penonton puas, tetapi perjalanan acara juga perlu lancar,” katanya.
Sambutan terhadap konsert berkenaan juga cukup memberangsangkan apabila 85 peratus tiket sudah terjual setakat ini.
Penganjur bagaimanapun masih berharap akan berlaku pembelian saat akhir memandangkan trend biasa peminat tempatan yang gemar membeli tiket pada minggu akhir.

Sementara itu, Azlee berkata sesi latihan kini berjalan lancar dengan fokus diberikan kepada membina semula keserasian antara anggota Senario.
Katanya, konsert itu dijangka menampilkan 22 segmen persembahan termasuk medley dengan lebih 30 lagu secara keseluruhan.
Lebih menyentuh jiwa, Azlee mendedahkan konsert berkenaan turut akan mengenang pemergian anggota Senario, Allahyarham Hamdan.
“Momen itu pasti cukup emosional buat kami dan peminat yang mengikuti perjalanan Senario sejak awal,” katanya.
Barisan Senario yang bakal beraksi terdiri daripada Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Ahmad, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya.
Bagi Saiful Apek pula, konsert itu bukan sekadar menampilkan elemen jenaka dan nostalgia, tetapi turut menekankan disiplin latihan serta mutu vokal supaya peminat berpuas hati dengan keseluruhan persembahan.
Lan Pet Pet pula menyatakan bahawa konsert berkenaan turut menjadi ruang mempertemukan semula generasi peminat lama yang kini sudah berkeluarga, selain memperkenalkan Senario kepada generasi baharu.

Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun dianjurkan Dreamscape Events dengan kerjasama Kapla Entertainment.
Konsert The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun akan menampilkan persembahan nyanyian dan lawak jenaka dengan iringan tujuh pemuzik serta tiga pemain horn dan akordion, manakala susunan muzik baharu yang lebih segar akan diketuai Chaan & The Leman Band selaku pengarah muzik.
Tiket berharga RM138 hingga RM488 akan dijual menerusi www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io
Selepas 30 tahun mencipta fenomena dalam dunia hiburan, konsert ini dijangka menjadi malam paling bersejarah buat Senario dan peminat setia mereka.
