June 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Dewa 19 – Cintaku Tertinggal Di Malaysia, Nostalgia Tak Pernah Pergi

Spread the love

Dewa 19 sulap Unifi Arena menjadi lautan emosi, cahaya dan kenangan bersama hampir 12,000 peminat

Kredit Foto: Bangsawan Pictures

Seakan ada magis yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata apabila ribuan peminat memenuhi setiap ruang di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 6 Jun lalu. Dari saat lampu arena mula dipadamkan sehingga nota terakhir bergema, malam itu bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah perayaan nostalgia yang menyatukan generasi menerusi karya-karya agung Dewa 19.

Di bawah limpahan tata cahaya yang memukau, pancaran laser yang membelah ruang gelap dan lautan lampu telefon bimbit yang berkelip bak gugusan bintang, hampir 12,000 peminat menjadi saksi sebuah malam yang sarat emosi menerusi konsert Dewa 19 – Cintaku Tertinggal Di Malaysia anjuran Icon Entertainment.

Ada yang membesar bersama kaset dan CD era 1990-an. Ada yang mengenali Dewa 19 melalui platform digital. Ada pasangan yang pernah menjadikan lagu-lagu kumpulan itu sebagai latar kepada kisah cinta mereka. Ada juga yang hadir bersama anak-anak, mewariskan kecintaan terhadap muzik yang sudah merentasi zaman.

Mereka bukan sekadar sebuah kumpulan muzik dari Indonesia. Mereka adalah sebahagian daripada landskap budaya popular Nusantara yang berjaya menyatukan pengalaman kolektif masyarakat menerusi lagu-lagu yang berbicara tentang cinta, kehilangan, pencarian dan harapan.

Seawal persembahan pembukaan oleh Padi Reborn, suasana sudah mula membara. Setiap dentuman dram, petikan gitar dan lontaran vokal disambut sorakan bergema daripada penonton yang tidak sabar menantikan kemunculan kumpulan legenda Indonesia itu.

Sebaik sahaja intro Sang Penghibur berkumandang, arena mula bergelora. Sobat Padi yang sudah memenuhi tempat duduk turut sama menyanyikan setiap bait lirik sebelum diteruskan dengan deretan lagu popular seperti Menanti Sebuah Jawaban, Patah, Angan Datang Malam Ini, Semua Tak Sama, Ego, Begitu Indah dan Hitam.

Lapan lagu itu bukan sahaja berjaya membangkitkan semangat penonton, malah mengubah Unifi Arena menjadi pesta singalong besar-besaran yang membuktikan karya Padi Reborn masih dekat di hati peminat Malaysia.

Namun, apabila visual gergasi di skrin LED mula menayangkan identiti Dewa 19 dan lampu pentas perlahan-lahan menerangi pentas utama, debaran ribuan peminat bertukar menjadi ledakan keterujaan yang menggegarkan seluruh arena.

Sorakan memuncak saat figura Ahmad Dhani melangkah ke pentas, disusuli barisan pemuzik yang selama lebih tiga dekad menjadi nadi kepada perjalanan sebuah nama besar dalam sejarah muzik Nusantara. Malam itu, pentas Dewa 19 bukan sekadar dihiasi susunan cahaya bertaraf antarabangsa, malah setiap lagu diperkaya dengan visual artistik yang bergerak seiring emosi karya yang dipersembahkan.

Ada ketika pentas dibanjiri rona merah menyala yang menggambarkan gelora cinta, kemudian bertukar kepada pancaran biru dan ungu yang menghadirkan nuansa syahdu, sebelum disulami semburan cahaya putih yang menyinari seluruh arena bagaikan menyatukan artis dan penonton dalam satu dimensi yang sama.

Tidak keterlaluan dikatakan, hampir setiap lagu yang dipersembahkan menerima respons luar biasa daripada peminat.  Malah, ada ketika suara penonton kedengaran lebih kuat berbanding sistem bunyi arena apabila ribuan mereka menyanyikan setiap bait lirik tanpa perlu dipimpin.

Daripada Dewi, Pupus, Arjuna, Risalah Hati, Sedang Ingin Bercinta sehinggalah Roman Picisan, setiap lagu menjadi kapsul masa yang membawa penonton mengembara kembali ke zaman remaja, cinta pertama dan pelbagai kenangan yang pernah menghiasi kehidupan mereka.

Apa yang menjadikan malam itu lebih istimewa adalah kehadiran tiga vokalis yang pernah mewarnai perjalanan Dewa 19 iaitu Ari Lasso, Ello dan Virzha. Masing-masing tampil dengan karakter tersendiri, namun berkongsi satu misi yang sama menghidupkan semula roh lagu-lagu Dewa 19 di hadapan peminat Malaysia.

Virzha misalnya berjaya menghangatkan suasana dengan tenaga luar biasanya, manakala Ello tampil penuh karisma menerusi vokal mantap yang menguasai pentas. Kehadiran Ari Lasso pula ibarat melengkapkan sebuah cerita yang sudah lama terpahat dalam sejarah Dewa 19.

Namun di sebalik kemeriahan itu, malam berkenaan turut diselubungi sedikit rasa kecewa apabila pemain dram legenda Dewa 19, Tyo Nugros, gagal hadir akibat masalah berkaitan imigresen di Indonesia.

Berita itu diumumkan menerusi rakaman video yang ditayangkan kepada penonton, sekali gus mengundang keluhan dan nada hampa daripada sebahagian peminat yang mengharapkan kehadirannya. Namun, seperti mana semangat sebuah kumpulan besar yang sentiasa bangkit dalam apa jua keadaan, kekosongan itu segera diisi dengan kemunculan Al Ghazali.

Anak sulung Ahmad Dhani itu tampil mengendalikan posisi dram dengan penuh yakin dan berjaya mempamerkan kematangan yang mengagumkan meskipun memikul tanggungjawab besar menggantikan seorang legenda.

Sepanjang hampir tiga jam persembahan, energi yang terpancar dari pentas tidak pernah surut.  Setiap transisi lagu disusun kemas. Setiap permainan instrumen diberikan ruang untuk menyerlah. Setiap pencahayaan pula dirancang dengan teliti bagi memastikan setiap detik mempunyai naratif visual tersendiri.

Kemunculan penyanyi antarabangsa Javier Parisi menerusi lagu Flowers In The Desert dan Imagine pula menambahkan lagi dimensi berbeza kepada keseluruhan persembahan.

Namun, seperti sebuah filem epik yang menunggu babak penutup paling sempurna, kemuncak sebenar malam itu hadir apabila Ari Lasso, Ello dan Virzha berdiri bersama di atas satu pentas.

Saat lagu Separuh Nafas bergema, seluruh arena berubah menjadi lautan manusia yang bernyanyi seiring irama.  Ribuan cahaya telefon bimbit berayun perlahan mengikut rentak lagu, mencipta panorama yang cukup mempesonakan. Dari atas pentas, pemandangan itu pastinya kelihatan seperti hamparan bintang yang tidak berpenghujung.

Ketika itulah jelas terlihat hubungan istimewa yang terjalin antara Dewa 19 dan fanatika mereka yang dikenali sebagai Baladewa dan Baladewi nyata bukan lagi sekadar hubungan artis dan penonton.  Ia adalah hubungan yang dibina oleh repetoir yang menemani kehidupan, menjadi teman ketika jatuh bangun, serta menjadi saksi kepada perjalanan masa selama lebih tiga dekad.

Meskipun terdapat beberapa gangguan teknikal kecil sepanjang konsert berlangsung, ia sedikit pun tidak menjejaskan keterujaan peminat yang hadir.

Dewa 19 tidak sekadar meninggalkan sebuah konsert yang berjaya.  Mereka meninggalkan kenangan.  Seperti judul konsert itu sendiri, mungkin ada cinta yang tertinggal di Malaysia.  Tetapi yang pasti, hampir 12,000 Baladewa dan Baladewi mahupun Sobat Padi pulang dengan hati yang penuh.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page