June 8, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Adi Priyo Buka Lembaran Baharu Dengan “Semua Dulu”

Spread the love

Selepas lebih dua dekad mewarnai dunia muzik, Adi Priyo kini melangkah ke fasa baharu yang lebih peribadi menerusi single solo terbaharunya, Semua Dulu.

Selepas 21 tahun bergelar anak seni dan mencipta nama sebagai vokalis utama kumpulan 6ixthsense, beliau kini tampil dengan karya solo yang membawa sisi lebih matang serta dekat dengan perjalanan hidupnya sendiri.

Walaupun sibuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa, komposer dan penggiat muzik sepenuh masa, semangat Adi untuk terus berkarya tidak pernah luntur. Baginya, tahun ini membuka ruang untuk meneroka potensi baharu sebagai penyanyi solo dan membuktikan bahawa perjalanan seni masih jauh untuk diterokai.

Sebagai buah tangan terbaharu buat peminat, Adi mempertaruhkan Semua Dulu, sebuah lagu ciptaan sepenuhnya oleh beliau sendiri. Karya ini hadir sebagai tanda penghargaan kepada para pendengar yang setia menyokong perjalanan seninya sejak awal pembabitan dalam industri muzik.

Lebih istimewa, lagu ini juga menjadi kemunculan semula Adi selepas hampir dua tahun tidak tampil dengan sebarang single solo.

Menurut Adi, Semua Dulu mengangkat kisah sebuah perpisahan yang berlaku apabila dua insan tidak lagi sehaluan dalam meneruskan perjalanan cinta mereka. Kata-kata manis yang pernah menjadi penawar akhirnya bertukar menjadi kenangan yang menyakitkan.

Lagu ini menggambarkan bagaimana kesunyian selepas perpisahan mampu menjadikan setiap memori terasa lebih pedih. Janji-janji yang pernah diungkapkan ketika bersama kini bertukar menjadi luka yang sukar sembuh.

“Kadang-kadang orang yang pernah menjadi segala-galanya dalam hidup kita akhirnya berubah menjadi seseorang yang terasa asing. Itulah emosi yang saya cuba sampaikan menerusi lagu ini,” katanya.

Dengan melodi yang menyentuh jiwa dan lirik yang sarat emosi, Semua Dulu menyelami perasaan ramai yang pernah merasai manisnya cinta pada permulaan, namun terpaksa menerima pahitnya perpisahan di penghujung cerita.

Dari sudut produksi, lagu ini dirakamkan oleh Amir Sulaiman dengan bantuan Hafeez Aledrus selaku penerbit. Adi sendiri bertindak sebagai penyusun muzik (music arranger), manakala keseluruhan proses pembikinan lagu mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disempurnakan.

“Antara cabaran terbesar ketika menyiapkan lagu ini ialah masalah kesihatan yang saya hadapi semasa proses rakaman berlangsung. Namun syukur, dengan sokongan semua pihak, akhirnya lagu ini berjaya disiapkan seperti yang dirancang,” katanya.

Selain versi audio, muzik video rasmi Semua Dulu yang diterbitkan oleh NAR Music turut hadir dengan konsep yang cukup istimewa dan menyentuh emosi.

Menariknya, video muzik tersebut menampilkan beberapa individu yang mempunyai hubungan secara langsung dan tidak langsung dengan kehidupan Adi Priyo. Mereka berkongsi kisah suka duka, jatuh bangun serta pengalaman hidup masing-masing, sekali gus menjadikan visual lagu ini lebih dekat dengan realiti kehidupan sebenar.

Pihak NAR Music berharap Semua Dulu dapat menyentuh hati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya peminat setia Adi Priyo yang sentiasa menantikan karya-karya baharu daripada penyanyi itu.

Malah, lagu ini turut memperlihatkan sisi sebenar Adi sebagai seorang pengkarya yang sentiasa jujur dalam menyampaikan emosi menerusi muzik.

Semua Dulu kini boleh didengari di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Joox, Apple Music, Deezer dan YouTube.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan muzik video rasmi lagu tersebut, ia boleh ditonton menerusi saluran YouTube NAR Music yang mula ditayangkan pada 5 Jun 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page