May 11, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Auntea Jenny Raih Pensijilan Halal, Sasar 100 Cawangan Menjelang 2026

Spread the love

Jenama minuman teh segar popular, Auntea Jenny, terus mengorak langkah agresif di pasaran tempatan apabila 12 cawangannya kini secara rasmi menerima pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengumuman itu dibuat dalam satu majlis khas yang berlangsung pada 10 Mei lalu dan turut disaksikan Pengarah Eksekutif JAKIM, YBrs Ustaz Muhyiddin Aziz @ Saari, selain kehadiran Ahli Parlimen Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan selebriti popular Bella Astillah.

Pensijilan berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem operasi serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap jenama antarabangsa itu yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar minuman teh premium di negara ini.

Menurut pihak pengurusan, pensijilan itu membabitkan beberapa cawangan utama di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Melaka.

Malah, usaha pensijilan akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan piawaian operasi dan pengurusan kualiti dapat diselaraskan di seluruh rangkaian cawangan mereka di Malaysia.

Setakat ini, Auntea Jenny memiliki hampir 50 cawangan di seluruh negara dan mensasarkan untuk mencapai lebih 100 cawangan menjelang penghujung tahun 2026.

Perkembangan itu turut disokong penambahbaikan dalam aspek latihan kakitangan, sistem operasi digital serta strategi pemilihan lokasi yang lebih tersusun.

Dalam majlis sama, Auntea Jenny turut mengumumkan pengiktirafan diterima daripada ASEAN Records dan ASIA Records menerusi pencapaian “Mango Pomelo Sago Paling Laris daripada Rangkaian Minuman Teh Segar”.

Pengiktirafan itu diberikan selepas minuman ikonik berkenaan merekodkan jualan sebanyak 85,951,586 cawan sepanjang tahun 2025, selain mempunyai 11,494 cawangan di empat negara setakat Disember tahun lalu.

Pada masa sama, Auntea Jenny turut melancarkan aplikasi mudah alih rasmi Malaysia bagi memperluaskan pengalaman digital pelanggan menerusi sistem ganjaran keahlian, promosi eksklusif dan pembelian lebih mudah.

Pengurus Besar Auntea Jenny Malaysia, Ng Ching Wai berkata, pensijilan Halal itu membuktikan komitmen jenama berkenaan dalam mengekalkan standard kualiti antarabangsa sambil memenuhi keperluan pasaran tempatan.

“Dengan lebih 10,000 cawangan di seluruh dunia, kami sentiasa berpegang kepada prinsip ‘Buah Sebenar, Teh Sebenar, Kualiti Sebenar’.

“Di Malaysia, kami mengimbangi piawaian global dengan inovasi tempatan. Pensijilan Halal ini adalah bukti sistem kualiti kami serta penghormatan terhadap pengguna di negara ini,” katanya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page