November 22, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Suria FM Dimeriahkan oleh 50 Pemandu Lori dalam Jelajah Kuasa 2

Spread the love

Kira-kira 50 pemandu lori hadir membuat kejutan sebagai sokongan kepada stesen radio Suria FM sempena Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire yang berlangsung di perkarangan AEON Kota Bharu baru-baru ini.

Lebih menarik, kesemua pemandu lori itu membawa lori masing-masing yang dihias dengan lampu berwarna-warni, menarik perhatian pengunjung yang hadir.

Wakil pemandu, Nik Ahmad, menyatakan bahawa kehadiran mereka adalah sebagai pendengar setia Suria FM, terutamanya program Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin. “Kami semua memang pendengar Suria FM, terutama Suria Cinta serta peminat DJ Lin. Jadi, apabila kami tahu ada jelajah ini, kami terus menghubungi pihak Yaya Empire untuk hadir sebagai sokongan. Syukur dapat berjumpa sendiri dengan DJ Lin dan Puan Yaya yang sangat merendah diri dan menyambut kami dengan baik,” katanya.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid, atau mesra disapa DJ Lin, menyatakan rasa terharunya apabila dimaklumkan mengenai kehadiran kumpulan pemandu lori itu. “Tak sangka mereka sanggup hadir dengan membawa lori yang dihias cantik dan memeriahkan jelajah di Kota Bharu kali ini, yang pertama diadakan. Kami di Suria FM juga terharu dengan sokongan yang diberikan. Mereka mengakui memang memutarkan Suria FM setiap kali memandu lori ke destinasi yang dituju,” katanya.

DJ Lin juga menambah bahawa Suria Kuasa 2 Yaya Empire di negeri Cik Siti Wan Kembang adalah istimewa kerana diadakan serentak bersempena Hari Sukan Negara. Menurut data dari pihak AEON Kota Bharu, kehadiran pengunjung mencecah hampir 50,000 orang bagi kedua-dua hari jelajah yang diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Kami bersyukur dengan jumlah kehadiran dan sokongan pengunjung yang sangat meriah, lebih-lebih lagi sempena Hari Sukan Negara dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan (JBSK). Setiap acara yang dianjurkan mendapat sambutan termasuk persembahan konsert pada hari kedua yang dimeriahkan dengan persembahan artis dan dikir barat,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa, yang mesra disapa Kak Ya, berkongsi bahawa beliau menjadi ‘buruan’ pengedar produk kecantikan sejak Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire berlangsung. “Setiap hari, saya menerima permintaan pengedar dari seluruh negara untuk tambahan stok kerana jualan yang memberangsangkan. Terima kasih DJ Lin dan Suria FM kerana membantu jualan dan jenama kami sejak sertai jelajah ini. Alhamdulillah, jualan keseluruhan mencecah lebih enam angka dan kami berjaya mendapat lebih 100 usahawan baharu produk Yaya Empire sepanjang jelajah diadakan,” katanya.

Antara artis yang memeriahkan Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu ialah Poey Sting, Baggio Damasutra, Afieq Shazwan, Floor 88, dan Sri Budi Jati. Pelbagai aktiviti juga diatur termasuk pertandingan sepak bola antara penyampai Suria FM, JBSK, Yaya Empire, dan AEON, persembahan silat, dan pertandingan nyanyian lagu Dialek Kelantan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria di suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia:
Instagram: suriamalaysia | Facebook: @SuriaMalaysia | TikTok: @suriamalaysia | YouTube: SuriaTV | X: @suria_malaysia

Gunakan #JelajahSuriaKuasa2 #suriamalaysia #segalanyahiburan #yayaempire #yayaempireperfume untuk sebarang interaksi berkaitan jelajah ini di laman sosial.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page