Kemasan 20 Tahun Charly Berkarya Dalam Gaya Mini Orkestra
Oleh: Zizi Hashim
Seperti belum lama dia datang ke Malaysia untuk menjayakan konsert Reunion ST12. Rasa antusias yang berkobar-kobar ekoran telah menuai sukses dalam siri konsert awal tahun ini, memberikan semangat besar buat Charly VanHouten untuk datang lagi ke sini. Kali ini dengan dua konsep yang berbeza menurutnya, dari segi susunan lagu dan juga gaya muzik mini Orkestra. Sememangnya di Indonesia kini sedang demam trend Orkestra barangkali. Tidak dinafikan susunan muzik sebegitu kedengaran unik dan gah. Masih relevan meski sudah 2 dekad berkarya, menyaksikan Zepp KL pecah panggung pada 7 Oktober lalu.
Vokalis Setiaband ini punya nama cukup besar dengan koleksi lagu-lagu ciptaan nya yang begitu sedap didengar. Tidak hairanlah dengan hanya kelibat beliau seorang mampu membuat seluruh ruang menyanyi dan menari bersama. 15 buah lagu popular dipersembahkan, dengan barisan pemuzik orkestra dan artis-artis undangan yang melengkapkan malam 7 Oktober untuk diingat sampai bila-bila. Bonusnya Charly bukan sahaja seorang vokalis tetapi juga seorang komposer yang hebat. Dalam konsert berdurasi lebih 2 jam itu, Charly berjaya menggamat suasana dengan tepukan gemuruh setiapkali lagu-lagu popular nya berkumandang.
“Jangan Pernah Berubah” dimulai sebagai introduksi, tepat jam 8:30 malam. Sinonim dengan nama ST12, sudah tentu seleksi lagu-lagu lebih menjurus kepada lagu popular ST12. Hadirin juga mengharapkan yang sama dan turut sing-along ketika “Aku Masih Sayang”, “P.U.S.P.A”, “Aku Terjatuh” dan “Istana Bintang” dimainkan. Mahakarya Charly selama 20 tahun ini wajar diakui hebat dan menjadi siulan ramai. Terselit juga lagu-lagu cover dari artis Malaysia seperti “Gerimis Mengundang”, “Isabella”, “Kehilangan” dan “Bukan Ku Tak Sudi” yang menjadi kegemaran Charly. Tak ketinggalan sebuah lagu cover dari Nike Ardilla, “Bintang Kehidupan” duet bersama si anak sulung nya, Restu VanHouten. Berusia 18 tahun, Restu dilihat sebagai bakal menyambung kegemilangan bapanya suatu hari nanti.
Selain Restu, turut memperlihatkan slot duet bersama Poey Stings, Wanns Ahmad dan Ilham Band. Klip video perjalanan karier muzik Charly seawal usianya 16 tahun, bergabung bersama Pepeng (Gitar) ditayangkan di skrin layar lebar. Suasana di ruangan Zepp bertukar riuh apabila lagu rancak “Putri Iklan” di bawakan. Charly selesa menari bersama penari jemputan, membangkitkan rasa santai dimana hadirin turut bergoyang mengikutnya. Tidak lupa juga aura berhantu pada lagu “Asmara” yang dibawakan begitu mengesankan. Namun mood tiba-tiba berubah tona sedih apabila lagu yang dinanti-nanti “Saat Terakhir” meremangkan bulu roma. Begitu masuk dan in-character dengan iringan muzik Orkestra, lagu ini memberi pelbagai emosi dari setiap yang hadir. Gemersik dan syahdu sekali. Charly dalam setiap bicara dan bait lirik-lirik tidak pernah lupa menyelitkan bahawa “Malaysia sentiasa di hati” beliau. Tampak ketara begitu dekat sekali dia merasakan Malaysia di hatinya.
Menara Network selaku penganjur sekali lagi mencipta kejayaan menerbangkan Charly dan Setiaband meski pada malam itu terdapat begitu banyak sekali konsert di sana sini sekitar Kuala Lumpur. Karisma dan aura peribadi Charly terlihat jelas dengan pukulan 3,000 crowd memenuhi kapasiti Zepp KL. Kemuncak malam di akhiri dengan lagu “Cari Pacar Lagi” mengajak semua sama-sama berjoget riang sekaligus mencipta kenangan terindah malam itu. Puas, bahagia dan gembira jelas terpancar di setiap wajah. Janji Charly untuk meninggalkan memori indah dan rasa bahagia, ditunaikan.
Rangkaian tour jelajah ‘20 tahun Charly berkarya’ bakal diteruskan lagi di destinasi selanjutnya iaitu di Johor Bharu, Sabah dan Sarawak. Rencananya akan berakhir di Indonesia. Yang belum beli tiket masih sempat beli sekarang, jangan ketingalan!