November 17, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Julia Duclos titip mesej menerusi ‘Faham’

Spread the love

Single terbaharu sentuh pengalaman disalahertikan, mengajak pendengar berdamai dengan diri sendiri dan tidak terikat pada penilaian orang lain

Bukan semua orang akan memahami siapa diri kita yang sebenar, malah ada kalanya keikhlasan disalah tafsir sehingga mengundang penilaian yang tidak sepatutnya.

Hakikat itu menjadi inspirasi kepada penyanyi Julia Duclos menerusi single terbaharunya berjudul Faham, sebuah karya pop-rock yang menggabungkan elemen muzik awal 2000-an dengan sentuhan produksi moden.

Lagu berkenaan mengangkat pengalaman berdepan salah faham, tanggapan orang lain serta perjalanan mengenali dan menerima diri sendiri tanpa terlalu dibebani pandangan luar.

Menurut Julia, idea menghasilkan lagu itu tercetus daripada pengalaman peribadi apabila berdepan situasi dirinya tidak difahami, selain menyedari betapa mudahnya seseorang membuat penilaian tanpa mengetahui cerita sebenar.

“Saya mendapat inspirasi daripada perasaan tidak difahami dan betapa mudahnya orang membuat penilaian tentang kita sedangkan mereka tidak mengenali kita secara peribadi.

“Walaupun kita ikhlas dengan orang lain, kadangkala mereka tetap memahami diri kita dengan cara berbeza,” katanya.

Pemilihan judul Faham juga bukan sekadar satu perkataan biasa, sebaliknya membawa makna yang cukup dekat dengan kehidupan seharian.

Julia bersama rakan penulisnya memilih judul itu kerana ringkas, mudah difahami dan secara langsung menggambarkan keinginan seseorang untuk dimengerti.

Lagu itu dihasilkan menerusi sesi penulisan bersama Hezza-Ezzickry Helmy dan Wan Arif Iskandar yang menyaksikan Julia berkongsi pengalaman peribadinya sebelum mereka mencari pendekatan terbaik untuk menterjemahkan emosi berkenaan ke dalam lirik.

“Saya ceritakan beberapa pengalaman, kemudian kami mencari cara terbaik untuk menyampaikan apa yang ingin saya katakan. Mereka banyak membantu dan ia juga menjadi pengalaman yang mengeratkan hubungan kami,” katanya.

Diterbitkan Joseph Chua atau JOEK, Faham turut membawa mesej mengenai kepentingan menghargai kesendirian sebagai ruang untuk kembali mengenali diri sendiri.

Bagi Julia, bersendirian bukan bermakna seseorang itu gagal membina hubungan dengan orang lain, sebaliknya ia boleh menjadi pilihan untuk mendapatkan ketenangan, menetapkan batas dan melakukan muhasabah diri.

Malah, lagu itu turut mengingatkan bahawa menyayangi seseorang tidak bermakna kita perlu terus bertahan dalam hubungan yang tidak lagi memberi kebaikan kepada diri sendiri.

Ada waktunya, memaafkan dari jauh dan melepaskan sesuatu yang membebankan adalah langkah terbaik untuk meneruskan kehidupan.

Julia berharap Faham mampu menjadi teman kepada pendengar yang pernah melalui pengalaman serupa, selain membuatkan mereka sedar bahawa tidak semestinya semua orang perlu memahami diri kita untuk membolehkan kita terus melangkah.

“Kejujuran terhadap diri sendiri ialah antara perkara paling penting dalam hidup. Jangan mudah terpengaruh dengan pandangan orang lain, terutama jika mereka cuba meletakkan kita dalam satu kotak. Kita perlu terus mengenali diri sendiri kerana kitalah yang paling mengenali diri kita,” katanya.

Single Faham mula boleh didengarkan menerusi semua platform penstriman digital utama bermula 13 November 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page