HELO DOKTOR Turun Padang Dekati Masyarakat

Bermula di Publika November ini, jelajah seluruh negara sepanjang 2027 perkasa kesedaran kesihatan dan perkenal kepakaran perubatan Malaysia
Tidak lagi sekadar berkongsi ilmu kesihatan menerusi kaca televisyen, program bual bicara popular TV3, Helo Doktor kini turun padang mendekati masyarakat menerusi inisiatif Helo Doktor Tour by MHTC yang bakal menjelajah seluruh negara.
Menerusi kerjasama Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), TV3 dan Tourism Malaysia, inisiatif itu bukan sahaja membuka ruang kepada orang ramai mendapatkan maklumat kesihatan secara lebih dekat, malah memberi peluang mengenali kepakaran serta kemudahan perubatan yang ditawarkan hospital ahli MHTC.
Jelajah berkenaan dilancarkan di Balai Berita Bangsar pada 29 Oktober lalu, dengan kehadiran wakil ketiga-tiga organisasi terbabit serta pengacara Helo Doktor, Anim Ezati Rizki dan Nadia Azmi.

Inisiatif itu turut menjadi sebahagian daripada usaha menyokong kempen Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT2026) yang mengangkat tema ‘Healing Meets Hospitality’ dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan.
Sebagai permulaan, Helo Doktor Tour by MHTC akan mengadakan program rintis di Publika, Kuala Lumpur, November ini sebelum diperluaskan menerusi siri jelajah setiap suku tahun sepanjang 2027.
Jelajah itu bakal merangkumi beberapa lokasi di seluruh negara termasuk kawasan utara, selatan, timur dan barat Semenanjung Malaysia, selain Sabah dan Sarawak.

Menariknya, pengunjung bukan sekadar berpeluang mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan hospital, malah boleh berinteraksi secara langsung dengan pakar perubatan menerusi sesi perkongsian dan aktiviti kesihatan.
Malah, pemeriksaan serta saringan kesihatan percuma turut disediakan bagi memberi peluang kepada masyarakat mengetahui tahap kesihatan masing-masing dan mendapatkan pendedahan awal mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.
Selain aktiviti secara fizikal, inisiatif itu turut diperluaskan menerusi empat episod khas Helo Doktor yang akan disiarkan di TV3.
Episod berkenaan bakal menampilkan wakil pengurusan MHTC bersama hospital ahlinya dengan mengetengahkan pelbagai topik kesihatan semasa, kepakaran rawatan serta kemudahan perubatan moden yang tersedia di Malaysia.
Kandungan berkenaan juga akan diperluaskan menerusi platform digital bagi memastikan perkongsian ilmu kesihatan dapat diakses lebih ramai penonton tanpa terbatas kepada siaran televisyen.
Lebih daripada sekadar program kesedaran, Helo Doktor Tour by MHTC dilihat sebagai platform berterusan yang menggabungkan kepakaran perubatan, penyiaran dan pelancongan bagi memperluas akses masyarakat kepada maklumat kesihatan yang tepat serta sahih.
Pada masa sama, kerjasama itu diharap dapat meningkatkan keyakinan terhadap mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan negara, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk terus berkembang sebagai Destinasi Penjagaan Kesihatan Pilihan (Preferred Healthcare Destination).
Untuk mengetahui perkembangan lanjut Helo Doktor Tour, orang ramai boleh mengikuti saluran rasmi @TV3Malaysia menerusi Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok serta platform digital rasmi MHTC.
