Malika Bawa 15 Artis Jelajah Tujuh Universiti

Barisan penyanyi termasuk Nabila Razali, Ryenald Guntabid, Najmi Niery dan Elica Paujin sertai Singgah Kampus Tour 2026 dari 2 November hingga 5 Disember
Membuka ruang lebih luas kepada penggiat muzik tempatan untuk mendekati generasi pendengar baharu, Malika Entertainment & Management tampil dengan inisiatif Singgah Kampus Tour 2026 yang bakal menjelajah tujuh universiti terpilih di seluruh negara.
Menghimpunkan gabungan penyanyi yang sudah menempa nama dan bakat baharu, jelajah berkenaan bukan sekadar membawa persembahan muzik ke pentas institusi pengajian tinggi, sebaliknya menjadi platform memperkenalkan karya serta memperluas jaringan peminat dalam kalangan mahasiswa.



Antara artis yang terbabit ialah Nabila Razali, Ryenald Guntabid, Najmi Niery, Anwar Amzah, Adzrin, Elica Paujin, Fiq7, Arghpiez, Zamir Harith, Apit Tearra, Ashraf Samad, Farah G dan Gretchene Quirina.
Berlangsung dari 2 November hingga 5 Disember ini, jelajah berkenaan bakal singgah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Pengarah Projek Singgah Kampus Tour 2026, Anne Mukhtar yang mewakili Malika Entertainment & Management berkata, penganjuran itu bertujuan membuka peluang lebih luas kepada artis tempatan, khususnya mereka yang sebelum ini tidak berpeluang menyertai program jelajah kampus.
Menurutnya, berbekalkan pengalaman bekerja dengan beberapa label rakaman terkemuka di Malaysia serta mengendalikan acara jelajah seumpamanya, beliau melihat keperluan untuk mewujudkan platform yang lebih terbuka dan inklusif kepada penggiat muzik tempatan.
Katanya, program jelajah kampus lazimnya memberi tumpuan kepada artis di bawah naungan label penganjur atau mereka yang mempunyai kerjasama dengan pihak tertentu, sekali gus mengehadkan peluang sebahagian artis lain untuk turut serta.



Justeru, menerusi Singgah Kampus Tour 2026, pihaknya mahu memberikan ruang kepada lebih ramai artis memperkenalkan karya, mengetengahkan identiti muzik serta membina hubungan lebih dekat dengan kelompok mahasiswa.
“Melalui interaksi secara langsung, artis berpeluang mendekati mahasiswa dalam suasana lebih santai, manakala setiap persinggahan turut membuka ruang untuk menghasilkan kandungan digital yang dapat memperluas capaian jelajah ini melangkaui lokasi persembahan.
“Gabungan pengalaman secara langsung dan penglibatan digital ini bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan antara artis dengan peminat, malah membantu memperkenalkan karya serta identiti muzik mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Dalam landskap industri muzik yang semakin dipengaruhi platform penstriman digital dan media sosial, hubungan langsung antara artis dengan peminat dilihat masih mempunyai nilai tersendiri dalam membina kesetiaan pendengar.
Sehubungan itu, Singgah Kampus Tour 2026 turut memberi penekanan kepada penghasilan kandungan digital sepanjang jelajah berlangsung bagi memastikan pengaruh dan capaian program tidak terhenti selepas setiap persembahan berakhir.
Pendekatan itu juga membuka peluang kepada mahasiswa mengenali artis dengan lebih dekat, sekali gus memberi ruang kepada penyanyi terbabit memperkenalkan personaliti, karya dan perjalanan muzik masing-masing kepada khalayak baharu.
Selain itu, penganjuran berkenaan turut membuka ruang kerjasama strategik antara Malika Entertainment & Management dengan pihak universiti, persatuan mahasiswa serta media kampus.
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti promosi dan perkongsian kandungan digital berpotensi memperluas jangkauan jelajah, selain mewujudkan peluang kerjasama yang menggabungkan muzik, hiburan, kreativiti dan pemasaran.
Bagi Malika Entertainment & Management, Singgah Kampus Tour 2026 menjadi antara usaha meneroka pendekatan promosi muzik yang lebih relevan dengan perubahan landskap industri, di samping membina asas kerjasama yang berpotensi dikembangkan kepada projek muzik pada masa hadapan.
