Hael Husaini ‘Selesa’ Korbankan Cinta

Single terbaharu mengangkat kisah pengorbanan cinta tidak kesampaian, muzik video tampilkan Anna Jobling, manakala ROUND Festival menanti di Korea Selatan
Bukan semua cinta berakhir dengan memiliki, malah ada kalanya kebahagiaan insan tersayang terpaksa dibayar dengan air mata sendiri.
Menyelami sisi pahit percintaan itu, penyanyi dan komposer, Hael Husaini kembali dengan single terbaharu berjudul Selesa, sebuah karya yang mengangkat kisah kesetiaan, pengorbanan tidak dihargai dan keperitan melepaskan seseorang yang dicintai demi kebahagiaannya bersama insan lain.
Dicipta bersama Iqie Hugh, Selesa membawa pendengar menyelami kisah individu yang sanggup melakukan apa sahaja demi insan tersayang, namun akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa segala pengorbanan dilakukan tidak menjanjikan kebahagiaan buat dirinya.
Lebih memilukan, individu itu bukan sahaja perlu merelakan insan dicintai memilih orang lain, malah turut menjadi sebahagian daripada perjalanan yang menemukan mereka dengan kebahagiaan baharu.
Bagi Hael, Selesa bukan sekadar lagu mengenai kekecewaan cinta, sebaliknya refleksi kepada realiti kehidupan yang mungkin pernah dilalui ramai individu.
“Bagi saya, Selesa ialah sebuah lagu yang sangat dekat dengan realiti kehidupan. Ada masanya, kita terlalu menyayangi seseorang sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk melihat dia bahagia, walaupun akhirnya kita sendiri yang terluka.
“Apa yang lebih menyakitkan apabila kita terpaksa membantu orang yang kita sayang untuk bahagia dengan orang lain, sedangkan kita tahu kebahagiaan itu bukan lagi milik kita.
“Saya berharap lagu ini dapat mewakili perasaan mereka yang pernah melalui pengalaman sebegini dan menjadi teman kepada mereka yang sedang belajar untuk melepaskan,” katanya.
Keistimewaan Selesa turut diperkukuh menerusi muzik video rasmi yang menjalani penggambaran eksklusif di Jakarta, Indonesia, dengan menampilkan pelakon popular Malaysia, Anna Jobling bersama dua pelakon sinetron Indonesia, Antoni Blanco Junior dan Mahdy Reza.
Muzik video arahan Prialangga itu menggabungkan bakat lakonan Malaysia dan Indonesia bagi menghidupkan penceritaan visual yang seiring dengan tema cinta, pengorbanan serta perasaan yang tidak terluah.
Selepas tampil menerusi Garah, kolaborasi bersama Mimi Fly, Selesa menjadi kesinambungan perjalanan muzik Hael bersama Iqie Hugh.
Menariknya, lagu itu turut dipilih sebagai runut bunyi utama drama bersiri tempatan, Suamiku Anak Emak yang menampilkan Emma Maembong, Keith Foo dan Izzue Islam.
Pemilihan berkenaan dijangka memberikan dimensi emosi tambahan kepada drama itu, sekali gus membantu penonton menghayati konflik serta perjalanan watak yang dipaparkan.
Dalam perkembangan lain, Hael bakal membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa apabila dijadualkan membuat persembahan di ROUND Festival di Korea Selatan pada 8 November ini.
Peluang itu disifatkan sebagai pengalaman cukup bermakna buat penyanyi dan penulis lagu berkenaan, apatah lagi ia membuka ruang untuk memperkenalkan karya serta identiti muzik tempatan kepada khalayak antarabangsa.
“Sudah tentu saya sangat teruja dan bersyukur kerana diberi peluang untuk membuat persembahan di ROUND Festival di Korea.
“Bagi saya, ini merupakan satu pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi juga sebagai wakil yang membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
“Persiapan sedang dilakukan dari segi vokal, susunan persembahan dan pemilihan lagu supaya saya dapat memberikan persembahan yang terbaik kepada penonton di sana.
“Saya berharap dapat berkongsi muzik dan identiti seni saya dengan peminat baharu, di samping membawa pulang pengalaman yang berharga daripada festival ini,” katanya.
Selain ROUND Festival, Hael turut dijadualkan membuat kemunculan di Wish 107.5 Bus yang berlangsung di Namdong Gymnasium, Incheon, Korea Selatan, sekali gus memperluas peluangnya mendekati pendengar baharu di negara itu.
Penyertaan dalam kedua-dua acara berkenaan bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan karya Hael, malah membuka ruang memperkukuh hubungan muzik antara Malaysia dan Korea Selatan.
Sementara itu, single Selesa mula boleh distrim pada 30 Oktober 2026 menerusi semua platform penstriman digital, manakala muzik video rasminya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Rocketfuel Entertainment.
