NADA Identity Bawa 1,000 Wanita Johor Bergerak Bersama

Hanya RM15, wanita sertai tiga aktiviti kecergasan dalam usaha perluas komuniti ke 13 negeri
Bukan sekadar berkumpul, lebih 1,000 wanita di Johor ‘turun padang’ dalam satu gerakan kecergasan yang menghimpunkan mereka untuk bergerak, berpeluh dan saling memberi semangat.
Lebih menarik, hanya dengan RM15, peserta berpeluang menyertai tiga aktiviti kecergasan menerusi inisiatif NADA Identity yang buat pertama kali membawa komuniti wanitanya keluar dari Lembah Klang.
Kemunculan di Johor itu menjadi langkah sulung NADA Identity dalam usaha memperluaskan komuniti kecergasan wanita ke 13 negeri di seluruh Malaysia.
Dengan jumlah penyertaan yang mencecah lebih 1,000 wanita, aktivasi berkenaan bukan sekadar acara kecergasan, sebaliknya menjadi ruang untuk wanita berkumpul, berhubung dan membina jaringan komuniti menerusi gaya hidup aktif.
Diasaskan selebriti media sosial, Nurin Afiqah, NADA Identity tampil sebagai jenama pakaian aktif sopan (modest performance activewear) yang menggabungkan kesopanan, keselesaan, gaya dan prestasi.

Bagi Nurin, kecergasan bukan semata-mata berkaitan penampilan fizikal, sebaliknya turut berkait rapat dengan keyakinan diri dan komuniti yang saling menyokong.
“Bagi NADA, kecergasan bukan sekadar tentang penampilan fizikal. Ia juga tentang keyakinan diri, keselesaan dan komuniti yang kita bina bersama.
“Kami mahu wanita mempunyai lebih banyak pilihan pakaian yang membuatkan mereka rasa selesa, yakin dan bebas bergerak, tanpa perlu memilih antara kesopanan, gaya dan prestasi,” katanya.
NADA Identity sebelum ini aktif membina komuniti kecergasan wanita menerusi pelbagai aktiviti di Lembah Klang. Namun, pengembangan ke Johor membawa misi itu ke tahap baharu apabila lebih ramai wanita di luar Lembah Klang diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada komuniti berkenaan.

Pada masa sama, NADA Identity dilahirkan daripada keperluan menyediakan pilihan pakaian aktif yang lebih memenuhi kehendak wanita, khususnya dari segi litupan, keselesaan dan kebebasan bergerak ketika melakukan aktiviti fizikal.
Rekaannya memberi lebih litupan pada bahagian tubuh yang sering menjadi kebimbangan wanita ketika bersukan, sambil memastikan pemakai kekal selesa dan bebas bergerak.


Tidak hanya menitikberatkan aspek kesopanan, NADA Identity turut memberi perhatian kepada prestasi pakaian untuk aktiviti kecergasan berintensiti tinggi.
Antara teknologi yang diterapkan dalam koleksi terpilih termasuk ciri anti-bau (anti-odour) dan perlindungan UV UPF50, selain fabrik yang direka bagi menyokong keperluan wanita aktif.
Bagi NADA Identity, perkembangan komuniti itu bukan sekadar soal menambah jumlah peserta, sebaliknya usaha mewujudkan ruang yang membolehkan lebih ramai wanita bergerak aktif mengikut keselesaan dan keperluan masing-masing.
Daripada sebuah komuniti di Lembah Klang, NADA Identity kini membawa gerakan itu ke negeri lain, dengan Johor menjadi permulaan kepada perjalanan lebih besar ke seluruh Malaysia.
