Jackson Wang Tak Lupa Jasa, ‘Thank You’ Buat Mereka Yang Sentiasa Di Belakangnya

Single terbaharu bukan sekadar karya baharu, sebaliknya luahan penghargaan Jackson Wang kepada peminat dan insan yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan kariernya.
Di sebalik gemerlap pentas dunia, kejayaan dan sorakan ribuan peminat, Jackson Wang tidak pernah lupa kepada mereka yang berada di belakang perjalanan panjangnya.
Justeru, bintang kelahiran Hong Kong itu memilih cara paling dekat dengan jiwanya untuk menyampaikan penghargaan berkenaan menerusi single terbaharunya, Thank You.
Dilancarkan pada 21 September, lagu berkenaan bukan sekadar menandakan kemunculan terbaharu Jackson selepas rilisan solonya pada 2025, malah menjadi sebuah karya yang cukup peribadi buat dirinya.
Thank You menjadi ungkapan terima kasih kepada peminat dan semua insan yang sentiasa memberikan sokongan dalam setiap fasa kehidupannya, daripada perjalanan sebagai atlet sehinggalah membina nama sebagai penyanyi di pentas antarabangsa.
Lebih istimewa, lagu itu turut membuka lembaran baharu dalam kerjaya Jackson apabila menjadi rilisan pertamanya bersama agensi pengurusan Roc Nation.
Pengasas Roc Nation, Jay-Z, turut menyambut kehadiran Jackson ke dalam keluarga berkenaan.
“Kami sangat senang menyambut Jackson Wang ke dalam keluarga Roc Nation. Dia adalah artis luar biasa dengan semangat yang sangat istimewa, dan kami tidak sabar melihat apa yang akan dia lakukan seterusnya,” katanya.
Namun, jika lagu itu menjadi suara penghargaan Jackson, video muziknya pula menjadi gambaran perjalanan yang membentuk dirinya.
Bekerjasama dengan pengarah Ojun Kwon, Jackson menghasilkan video muzik yang dirakam menggunakan iPhone 18 Pro dengan pendekatan visual hitam putih.
Konsep itu digunakan untuk menggambarkan pelbagai fasa dalam kehidupan dan perjalanan kariernya, selain memberi penghormatan kepada insan yang sentiasa berada di belakangnya.
Jackson turut memastikan peminat menjadi sebahagian daripada kisah tersebut. Dia membuka peluang kepada peminat dari seluruh dunia untuk menyertai penggambaran video muzik berkenaan sebelum 30 individu dipilih daripada ratusan pendaftar dari 80 negara.

Peminat terpilih kemudian hadir dalam proses penggambaran bersama Jackson dan diminta mengenakan pakaian yang mewakili pelbagai fasa kehidupannya.
Kesemua elemen itu akhirnya disatukan menjadi sebuah refleksi peribadi mengenai perjalanan Jackson sehingga ke tahapnya hari ini.
Sebelum dikenali sebagai penyanyi dan penghibur global, Jackson merupakan atlet anggar Junior Olympic. Pengalaman sebagai atlet membentuk disiplin dan ketekunan yang kemudian dibawanya ke dalam dunia muzik. Dia memulakan perjalanan solo menerusi Papillon pada 2017 sebelum melancarkan album sulung, MIRRORS, pada 2019.
Album berkenaan mencipta sejarah sebagai album pertama daripada solois China yang berjaya memasuki carta Billboard 200.
Jackson kemudian mengembangkan kerjayanya menerusi pelbagai karya dan kolaborasi rentas genre bersama nama antarabangsa seperti Ciara, Swae Lee, Major Lazer, Galantis, Gucci Mane, Joji dan GoldLink.
Pada 2022, dia melancarkan MAGIC MAN yang membawanya ke jelajah dunia solo pertama merangkumi 24 bandar di empat benua.
Dia juga mencipta sejarah sebagai solois China pertama yang tampil di pentas utama Coachella sebelum kembali membuat persembahan di festival berkenaan selama tiga tahun berturut-turut.
Album ketiganya, MAGICMAN 2, yang dilancarkan pada 2025 pula debut di kedudukan ke-13 Billboard 200 dan membawa Jackson ke kelompok 15 teratas Billboard Artist 100.
Album itu kemudiannya diteruskan dengan MAGICMAN 2 World Tour, termasuk persembahan di Kia Forum, Los Angeles dan Barclays Center, Brooklyn.
Selepas meneruskan jelajah di Amerika Utara dan Amerika Latin pada musim bunga lalu, Jackson dijadual meneruskan MAGICMAN 2 World Tour di China bermula Oktober ini.

Di luar muzik, Jackson turut mengembangkan sisi kreatif dan keusahawanannya menerusi kerjasama dengan jenama global seperti Louis Vuitton, Cartier, Armani, Nike dan Air Jordan.
Dia juga mengasaskan TEAM WANG Records serta TEAM WANG Design. Namun, di sebalik segala pencapaian itu, Thank You memperlihatkan sisi Jackson yang memilih untuk tidak melupakan akar perjalanan.
Daripada gelanggang anggar kepada pentas muzik dunia, daripada seorang atlet muda kepada artis global, setiap fasa meninggalkan cerita tersendiri.
