September 22, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Fipper Jejak 19 Negara, Jee Von Ukir Nama Di TOYM 2026

Spread the love

Jee Von bawa jenama selipar getah tempatan ke lebih 150 outlet, tekankan pertumbuhan perniagaan seiring agenda ESG

Daripada sepasang selipar getah buatan tempatan, jenama Fipper kini mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya mengembangkan rangkaian peruncitannya ke 19 negara dan wilayah dengan lebih 150 outlet.

Pencapaian itu bukan sekadar memperlihatkan kemampuan produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa, malah menjadi antara pencapaian yang mengukuhkan nama Ketua Pegawai Eksekutif Fipper Group, Choong Jee Von, sehingga beliau dinobatkan sebagai penerima Ten Outstanding Young Malaysians (TOYM) 2026 bagi kategori Pencapaian Perniagaan, Ekonomi dan/atau Keusahawanan.

Pengiktirafan berprestij itu merakamkan kepimpinan Jee Von dalam mengembangkan perniagaan, selain usahanya mengintegrasikan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), memacu pemodenan sektor pembuatan serta memperluas rangkaian pasaran Fipper di peringkat global.

Berlatarbelakangkan bidang Sains Aktuari dan memiliki kelayakan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Jee Von menerapkan pemikiran analitikal serta pendekatan berasaskan data dalam aspek pemasaran, operasi perniagaan dan pengendalian rangkaian peruncitan Fipper.

Hasil pendekatan itu menyaksikan Fipper terus berkembang dan memperkukuh kehadirannya di pasaran luar negara, membuktikan produk tempatan tidak semestinya terhad kepada pasaran domestik.

Lebih membanggakan, kejayaan tersebut turut hadir bersama pengiktirafan di negeri kelahirannya apabila Jee Von meraih Anugerah Khas Usahawan 2026 dan Johan Usahawan Belia 2026 anjuran Kerajaan Negeri Melaka pada April lalu.

Namun, bagi Jee Von, pertumbuhan perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka kewangan semata-mata.

Ketika berada di pentas TOYM 2026, beliau menegaskan bahawa pengembangan perniagaan pada skala besar perlu bergerak seiring dengan strategi ESG, termasuk usaha menjaga kelestarian alam sekitar serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Fipper komited menggunakan getah semula jadi yang lebih mesra alam sebagai alternatif kepada plastik sintetik, selain meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi projek ‘Fipper Sayang’ bagi membantu komuniti yang memerlukan.

Bagi Jee Von, kejayaan komersial hanya mempunyai nilai apabila ia turut disertai usaha mengangkat kehidupan masyarakat.

“Keberhasilan perniagaan tidak pernah diukur menerusi penunjuk kewangan semata-mata. Kejayaan komersial tidak membawa sebarang erti sekiranya kita tidak mengangkat dan membantu insan sesama lain,” katanya.

Menyentuh aspirasi generasi muda, Jee Von turut menyeru golongan berkenaan supaya berani menetapkan impian tanpa membiarkan batasan orang lain menentukan sejauh mana mereka mampu pergi.

“Kepada anak-anak muda di luar sana: jangan biarkan sesiapa membataskan impian anda. Jika sepasang selipar getah tempatan mampu mengelilingi dunia, impian anda juga tiada batasnya.

“Komitmen saya kekal teguh untuk terus membawa jenama kebanggaan Malaysia ini ke seluruh dunia demi negara yang tercinta,” katanya.

Anugerah JCI TOYM 2026 yang membawa tema ‘One Nation, One Vision’ dianjurkan JCI South Key di bawah JCI Malaysia bagi mengiktiraf 10 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 40 tahun berdasarkan pencapaian serta sumbangan dalam 10 kategori.

Selain Jee Von, penerima TOYM 2026 ialah Raja Angellie Stephen bagi kategori Hal Ehwal Politik, Perundangan dan/atau Kerajaan; Tan Jian Ping dan Viknesh Andiappan Murugappan bagi Pembangunan Saintifik dan/atau Teknologi.

Yap Shaw Wann dan Klaus Lim Chun pula menerima pengiktirafan bagi kategori Sumbangan kepada Kanak-Kanak, Keamanan Dunia dan/atau Hak Asasi Manusia, manakala Galvin Lee Kuan Sian diiktiraf dalam Kepimpinan dan/atau Pencapaian Akademik.

Turut menerima anugerah ialah Chai Nyuk Chuan bagi Kepimpinan Kemanusiaan dan/atau Sukarelawan, Vincent Khor Wei Sheng bagi Inovasi Perubatan serta Sam Tsen Mun Ket bagi Kepimpinan Moral dan/atau Alam Sekitar.

Bagi Jee Von, pengiktirafan TOYM 2026 bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi dorongan untuk meneruskan misi membawa Fipper sebagai jenama kebanggaan Malaysia ke lebih banyak pasaran dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page