September 22, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tok Ki: Menanam Getah, Menanam Sejarah

Spread the love

Monodrama Angkat Kisah Benar Mohd Isa Bin Pandak Mat Aris, Pelopor Pekebun Kecil Getah Yang Pernah Dipandang Sebelah Mata

GETAH suatu ketika dahulu bukan sekadar tanaman, sebaliknya menjadi sebahagian daripada denyut kehidupan masyarakat desa. Di sebalik setiap torehan dan susu putih yang menitis ke dalam mangkuk kecil, tersimpan kisah manusia yang mempertaruhkan tenaga, masa dan keyakinan untuk membina kehidupan lebih baik.

Namun, di sebalik sejarah panjang industri getah negara, ada nama yang mungkin semakin jauh daripada ingatan generasi hari ini.

Nama itu ialah Mohd Isa bin Pandak Mat Aris, atau lebih dikenali sebagai Tok Ki.  Kisah perjuangan Tok Ki kini diangkat ke pentas menerusi pementasan monodrama TOK KI yang bakal berlangsung pada 24, 25 dan 26 September ini, jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Dengan sumbangan masuk RM20, pementasan itu bukan sekadar mahu membawa penonton menelusuri nostalgia zaman getah, tetapi menghidupkan kembali kisah seorang anak kampung yang berani mencuba ketika usahanya dipandang sinis.

Pengarah merangkap Pengerusi Persatuan dan Produksi Teater TOK KI (PEMEKAR), Amran Nasrudin, berkata kisah tersebut bersumberkan cerita benar mengenai Mohd Isa yang pernah diangkat Allahyarham Syed Alwi menerusi karya ISA.

Karya berkenaan kemudiannya pernah diterbitkan untuk siaran TV3 sekitar 1984 atau 1985 di bawah arahan dan penerbitan Allahyarham Rohani Yusof.

Menurut Amran, hasrat untuk menghidupkan kisah itu dalam bentuk pementasan sudah berada dalam fikirannya sejak 2005.

“Justeru itu saya mengambil inisiatif untuk mementaskannya sejak tahun 2005 lagi hinggalah tahun ini dapat dipentaskan atas sokongan MOTAC.  Saya selaku pengarah dan pengerusi PEMEKAR menjemput semua hadir menonton teater ini bagi mengembalikan nostalgia getah negara ini bermula dari sini,” katanya.

TOK KI membawa penonton kembali ke era ketika Mohd Isa berusia sekitar 30-an dan bekerja bersama pekerja estet. Ketika itu, estet banyak menggunakan tenaga buruh India yang dibawa masuk British sebelum perubahan sistem buruh menyebabkan pekerja tempatan semakin sukar mendapat tempat.

Isa kemudian mengambil keputusan pulang ke kampung dan memulakan usaha menanam getah sendiri.  Dengan modal terbatas, bantuan sahabat serta sokongan isterinya, Long Safiah, beliau membuka sebidang tanah kecil dan menanam pokok getah.

Keputusan itu bukan sesuatu yang mudah.  Usahanya dipersoalkan, malah ada yang memperlekeh dan menganggap impiannya tidak lebih daripada angan-angan.Namun, Isa dan isterinya terus bekerja sehingga kebun kecil itu akhirnya membuahkan hasil.

Daripada sebuah kebun kecil, lahir pula inspirasi kepada masyarakat kampung untuk melihat tanaman getah sebagai sumber kehidupan.  Perjalanan itu bagaimanapun tidak sentiasa mudah apabila Isa berdepan turun naik harga getah, penyakit tanaman, peraturan kerajaan serta pelbagai kekangan yang dihadapi pekebun kecil.

Amran berkata, pementasan itu turut mengambil latar era sekitar 1910-an dan 1920-an, sekali gus menuntut penelitian terhadap bahasa, suasana dan realiti kehidupan pada zaman tersebut.

“Kalau perhatikan watak-watak itu memanglah watak yang orang kata sukar untuk dibawa. Saya tahu begitu sukar juga untuk kita membawa sebenar realiti kepada tahun 1910, 1920, iaitu 30 tahun sebelum merdeka.

“Pertama sekali, banyak yang kita kena jaga. Sebab itu dalam teater ini kita tidak mengutarakan sangat dari segi bahasa dan sebagainya.  Cuma bahasanya kita tahu loghat Kuala Kangsar, Perak. Kita tak boleh lari daripada itu,” katanya.

Bagi memastikan kisah berkenaan mempunyai asas sejarah yang kukuh, Amran turut menjalankan kajian selama kira-kira 10 tahun dengan merujuk bahan di Arkib Negara.

Watak Tok Ki pula diberikan kepada pelakon Fathil Dani, yang mengakui cabaran tersebut bukan kecil.   Walaupun berasal dari Perak, Fathil berkata kehidupannya lebih dekat dengan suasana pantai dan laut berbanding dunia pokok getah.

Namun, dia tetap menyahut cabaran Amran untuk menghidupkan watak berkenaan termasuk membawa loghat Kuala Kangsar.

“Sebenarnya loghat Perak ini banyak. Tak apa, bolehlah buat pasal kampung saya itu di Manjung, bahasanya macam Kuala Kangsar juga.  Cerita ini memang menarik kerana Tok Ki akhirnya merajuk dan tukar daripada getah kepada durian.

“Saya harap penonton datang berikan sokongan untuk pementasan ini nanti,” katanya.

Fathil memulakan kerjaya lakonan di bawah bimbingan penerima Anugerah Seniman Negara 2004, Allahyarham Rahman B.

TOK KI tidak berhenti pada kisah kejayaan seorang lelaki menanam getah. Lebih daripada itu, ia menyentuh persoalan bagaimana nama seorang manusia yang pernah menyumbang kepada perkembangan masyarakat pekebun kecil boleh semakin dilupakan selepas puluhan tahun berlalu.

Dalam pementasan ini, kisah Tok Ki bermula apabila beliau yang sudah berusia sekitar 100 tahun diraikan dalam sambutan 100 tahun getah. Seorang pegawai RISDA datang menemuinya dan daripada pertemuan itu, Tok Ki kembali membuka lembaran hidupnya kepada generasi muda serta cucu cicit yang berada bersamanya.

Cerita kemudian bergerak melalui imbasan masa daripada seorang anak kampung, pekerja, suami dan bapa, kepada insan yang memilih untuk membina kehidupan sendiri melalui tanah dan tanaman getah.

Di penghujung kisah, generasi muda dibawa kembali kepada nama Mohd Isa bin Pandak Mat Aris, sementara sebuah kerusi yang tertera namanya menjadi lambang bahawa sejarah seseorang mungkin tenggelam daripada ingatan, tetapi tidak seharusnya dilupakan.

Barisan pelakon lain yang turut menjayakan TOK KI ialah Shahriza Mahmud, A. Syaz, Qistina Liew, Amran Nasrudin, Zayrul-Iqwan Rosli, Shasha Masella, Nabil Fiqrie dan Shah Samurai.

Turut berlakon ialah Kathan Raj, Wong Sheng Meng, Bobie Challoo, Azuin Aziz, Jamaludin Husin serta pelakon kanak-kanak Zahraa’ Auni, Zakwan Aryan dan Zaira Alia.

TOK KI diarahkan dan diolah skripnya oleh Amran Nasrudin serta dianjurkan PEMEKAR.  Pementasan berlangsung pada 24, 25 dan 26 September 2026, jam 8.30 malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Sumbangan masuk ialah RM20 dan tempahan boleh dibuat menerusi tinyurl.com/tokki2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page