ALIFE Sokong Ambisi Hannah Yeoh Jadikan KL Hab Konsert Asia Tenggara

Lebih 450 konsert dianjurkan di seluruh negara pada 2025, industri acara langsung sumbang hampir RM1.72 bilion kepada ekonomi
Malaysia tidak lagi boleh melihat penganjuran konsert antarabangsa sekadar sebagai acara hiburan, sebaliknya perlu menjadikannya pemangkin kepada pembangunan industri kreatif dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Malaysian Association for Arts, Live Festivals, Concerts and Events (ALIFE) menyambut baik serta menyokong aspirasi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk menjadikan Kuala Lumpur lebih kompetitif dalam merebut penganjuran konsert antarabangsa sekali gus muncul sebagai antara destinasi hiburan langsung utama di Asia Tenggara.
Menurut ALIFE, aspirasi itu hadir pada masa yang tepat ketika industri hiburan langsung Malaysia semakin berkembang.
Lebih 450 konsert dianjurkan di seluruh negara sepanjang 2025, manakala industri acara langsung menyumbang hampir RM1.72 bilion kepada ekonomi.
Malah, aliran konsert antarabangsa bagi 2026 dilihat semakin kukuh apabila lebih banyak jelajah stadium dan arena utama memasukkan Kuala Lumpur dalam laluan persembahan mereka di Asia.

Pengerusi ALIFE, Dato’ Alan Foo berkata, peluang yang tersedia kini bukan sekadar menarik lebih banyak konsert ke ibu negara, sebaliknya membina Kuala Lumpur sebagai bandar yang benar-benar bersedia menerima produksi berskala antarabangsa.
“ALIFE mengalu-alukan aspirasi YB Hannah Yeoh dan menyokong sepenuhnya hala tuju yang digariskan. Ia meletakkan tahap cita-cita yang tepat untuk Kuala Lumpur.
“Malaysia sudah mempunyai promoter berpengalaman, syarikat produksi, venue, kru teknikal, pengendali tiket dan pembekal yang mampu menjayakan produksi antarabangsa berskala besar.
“Langkah seterusnya adalah membina ekosistem yang menyokong keupayaan itu supaya kelulusan, venue, pengangkutan, keselamatan, pelancongan dan operasi bandar dapat bergerak secara bersepadu,” katanya.
Menurut Alan, jika perkara itu dapat dilaksanakan secara konsisten, Kuala Lumpur bukan sahaja mampu menarik lebih banyak konsert, malah berpotensi menjadi antara bandar yang secara semula jadi dipertimbangkan pasukan jelajah antarabangsa ketika merancang laluan Asia Tenggara.
Dalam pada itu, ALIFE berpandangan Malaysia wajar melihat Singapura sebagai penanda aras serantau, namun tidak perlu menjadikan setiap penganjuran konsert antarabangsa sebagai persaingan antara kedua-dua bandar.
Sebaliknya, kewujudan rangkaian jelajah Asia Tenggara yang lebih kukuh mampu memberi manfaat kepada seluruh rantau.
Jelajah antarabangsa menjadi lebih berdaya maju apabila artis dan promoter dapat menyusun laluan persembahan secara cekap membabitkan Kuala Lumpur, Singapura, Bangkok, Jakarta serta bandar utama lain.
Justeru, cabaran Malaysia adalah memastikan Kuala Lumpur menjadi sebahagian daripada perancangan jelajah itu secara konsisten, bukannya sekadar pilihan sekali-sekala.
Malaysia turut mempunyai kelebihan tersendiri menerusi pasaran domestik yang besar, kos operasi dan pelancongan yang kompetitif, hubungan serantau yang baik, kapasiti stadium yang besar serta khalayak daripada pelbagai pasaran termasuk Barat, Korea, China, Jepun, India dan Indonesia.
Timbalan Pengerusi ALIFE, Brian Johnson Lowe berkata, tumpuan selepas ini perlu beralih daripada memburu konsert secara individu kepada usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi yang mudah dan diyakini untuk dipilih.
“Fasa seterusnya tidak boleh sekadar mengejar persembahan satu demi satu. Kita perlu menjadikan Kuala Lumpur secara strukturnya mudah untuk dipilih.
“Jelajah antarabangsa dirancang berbulan-bulan dan ada kalanya bertahun-tahun lebih awal. Promoter perlu mengetahui tempoh kelulusan, pilihan venue, persekitaran operasi, kemampuan pembekal tempatan dan sokongan bandar sebelum jelajah tiba di Asia Tenggara.
“Keyakinan dan kepastian itulah yang akan menukar musim konsert yang berjaya kepada pasaran yang mampan,” katanya.
ALIFE turut menegaskan kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah artis antarabangsa yang membuat persembahan di Malaysia semata-mata.
Konsert berskala besar memberi limpahan ekonomi kepada hotel, syarikat penerbangan, restoran, peruncitan, pengangkutan dan sektor pelancongan.
Pada masa sama, ia membuka peluang pekerjaan kepada syarikat produksi tempatan, petugas keselamatan, kru teknikal, pengendali tiket, pekerja bebas, vendor dan pengusaha venue.
Lebih penting, perkembangan itu berpotensi memperkukuh promoter tempatan, meningkatkan kepakaran teknikal serta membuka ruang lebih besar kepada artis dan harta intelek Malaysia menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.
Atas dasar itu, ALIFE mahu konsep pelancongan konsert diterjemahkan kepada pembangunan industri.
Antara cadangan utama yang diketengahkan ialah mempercepatkan pembangunan Online One-Stop Centre bagi konsert dan festival berskala besar.
Platform berkenaan dicadang menjadi gerbang digital bersepadu yang membolehkan promoter mengemukakan dokumen, menjejaki proses kelulusan antara agensi, membuat bayaran berkaitan serta mendapatkan permit dan kelulusan melalui satu proses yang diselaraskan.
ALIFE juga mencadangkan pelan kesiapsiagaan acara utama peringkat bandar yang merangkumi pengurusan pengangkutan dan jalan raya, waktu operasi pengangkutan awam, kawasan e-hailing dan penurunan penumpang, laluan pejalan kaki, kawalan orang ramai, tindak balas kecemasan, sokongan perubatan, keselamatan serta komunikasi dengan penduduk dan premis perniagaan sekitar.
Pendekatan itu dilihat penting kerana konsert mega bukan hanya membabitkan operasi di dalam venue, sebaliknya memberi kesan kepada keseluruhan kawasan bandar.
ALIFE turut menggesa supaya insentif kerajaan bagi acara antarabangsa menggalakkan penggunaan dan pembangunan kepakaran tempatan menerusi perolehan tempatan, peluang pekerjaan, latihan serta pemindahan ilmu.
Dengan cara itu, penganjuran konsert antarabangsa bukan sekadar menghasilkan aktiviti ekonomi jangka pendek, sebaliknya meninggalkan legasi dalam bentuk kemahiran, perniagaan dan kapasiti industri tempatan yang lebih kukuh.
Alan berkata, ukuran kejayaan sebenar perlu dilihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Kita harus mengalu-alukan setiap artis antarabangsa yang memilih Malaysia, tetapi ukuran kejayaan akhirnya mesti lebih besar daripada jumlah konsert yang kita anjurkan.
“Lima atau 10 tahun dari sekarang, Malaysia sepatutnya mempunyai promoter yang lebih kukuh, venue yang lebih baik, kru tempatan yang lebih berpengalaman, artis tempatan yang lebih berjaya, perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi dan industri hiburan langsung yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Itulah peluang yang ada di hadapan kita,” katanya.
ALIFE turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Hannah Yeoh, kerajaan serta pemain industri bagi merealisasikan aspirasi itu dan menjadikan pertumbuhan sektor konsert sebagai kelebihan jangka panjang kepada Malaysia.
