WAVE AV Experience 2026 Tampil Lebih Gah, Bukan Sekadar Untuk Kaki Audio

Acara Tiga Hari Di Royale Chulan Damansara Hotel Dari 25 Hingga 27 September Ini Menghimpunkan Lebih 50 Pempamer Dan 150 Jenama Antarabangsa Dalam Pengalaman Audio, Visual Serta Teknologi Terkini.
Penggemar teknologi, muzik dan dunia audio visual (AV) bakal disajikan pengalaman lebih mengujakan menerusi WAVE AV Experience 2026 yang kembali untuk edisi kedua, kali ini dengan lokasi baharu serta lebih banyak kandungan untuk diterokai.
Acara selama tiga hari itu akan berlangsung di Royale Chulan Damansara Hotel, dari 25 hingga 27 September 2026, dan paling menarik, pengunjung boleh hadir secara percuma.
Dianjurkan Gryphon Production Sdn Bhd, WAVE AV Experience 2026 bukan sekadar pameran produk audio atau acara untuk golongan audiophile, sebaliknya membawa konsep pengalaman teknologi yang menggabungkan audio, visual, inovasi dan gaya hidup.
Selepas kejayaan penganjuran Northern International AV Show 2026 di Pulau Pinang, pihak penganjur dilihat mahu meningkatkan lagi skala WAVE AV Experience dengan mengetengahkan lebih banyak teknologi serta pengalaman interaktif.
Pengarah Gryphon Production Sdn Bhd, Wilson Teoh, berkata WAVE AV Experience 2026 membawa pendekatan berbeza dengan memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi boleh meningkatkan kualiti kehidupan seharian.
“WAVE AV Experience Show 2026 bukan hanya mengenai audio, tetapi bagaimana teknologi boleh meningkatkan gaya hidup anda.
“Kami mahu memberi inspirasi kepada pengunjung untuk menerima inovasi yang mampu mengubah kediaman dan kehidupan seharian mereka,” katanya.





Tahun ini, WAVE AV Experience dijangka menghimpunkan lebih 50 pempamer, termasuk penyertaan dari Taiwan dan Singapura.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang melihat serta mencuba produk daripada lebih 150 jenama antarabangsa yang merangkumi pelbagai kategori teknologi pengguna.
Jika sebelum ini acara AV sering dikaitkan dengan sistem hi-fi mahal, pembesar suara dan pawagam rumah, WAVE AV Experience 2026 mahu mengubah persepsi itu.




Antara tarikan utama termasuk teknologi audio terkini, headphone, sistem home theater, CD dan vinil, selain segmen elektronik pengguna yang diperluaskan.
Pengunjung juga boleh meneroka pelbagai gajet dan inovasi yang direka untuk disepadukan dengan kehidupan moden.
Bagi mereka yang tidak begitu arif mengenai spesifikasi teknikal seperti watt, impedans, DAC atau sistem pembesar suara, tidak perlu risau.
WAVE AV Experience 2026 direka untuk dinikmati semua lapisan pengunjung. Acara itu menawarkan gabungan muzik, seni visual dan pameran interaktif yang membolehkan pengunjung melihat sendiri bagaimana teknologi audio dan visual mampu menghasilkan pengalaman lebih imersif.
Malah, pengunjung berpeluang menikmati demonstrasi teknologi AV terkini, meneroka pemasangan interaktif serta bertemu pemain industri, inovator dan pencipta kandungan dari dalam dan luar negara.
Selain pameran, pelbagai ceramah berkaitan audio visual turut dijadualkan bagi menambah pengetahuan pengunjung, manakala persembahan menarik bakal memeriahkan suasana sepanjang tiga hari acara.
Pihak penganjur menjangkakan antara 4,500 hingga 5,000 pengunjung akan hadir sepanjang berlangsungnya WAVE AV Experience 2026.
Dengan kemasukan percuma, acara itu dilihat sebagai peluang kepada orang ramai untuk mengenali perkembangan teknologi AV dan elektronik pengguna tanpa perlu mengeluarkan kos untuk tiket.
WAVE AV Experience 2026 juga meneruskan usaha Gryphon Production dalam menghasilkan acara yang menggabungkan kreativiti, inovasi dan pengalaman pengunjung.
Justeru, sama ada anda kaki muzik, peminat teknologi, penggemar filem, pencinta gajet atau sekadar mahu melihat sendiri perkembangan teknologi terkini, WAVE AV Experience 2026 menjanjikan sesuatu untuk diterokai.
WAVE AV Experience 2026 berlangsung pada 25 hingga 27 September 2026 di Royale Chulan Damansara Hotel dan paling menarik adalah kemasukan percuma.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman rasmi WAVE AV Experience.
