Cheng Lei Curi Hati Peminat Malaysia

Belajar Bahasa Melayu, baca mesej peminat dan terima penghargaan sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI
Bukan sekadar tampan di layar, pelakon China, Cheng Lei (丞磊) membuktikan dirinya mampu mencuri perhatian peminat Malaysia menerusi sisi santai dan mencuit hati ketika membuat kemunculan sulung di negara ini.
Duta Global Antarabangsa iQIYI itu bertemu peminat menerusi iQIYI STARSHIP 2026 yang berlangsung di Sunway Velocity Mall baru-baru ini, dalam sebuah petang yang sarat dengan keterujaan dan momen istimewa.
Kehadiran Cheng Lei disambut meriah peminat tempatan yang bukan sahaja berpeluang melihat figura kesayangan mereka secara dekat, malah menyaksikan sisi peribadinya yang lebih bersahaja berbanding watak-watak serius yang sering dibawakan di layar.

Antara detik paling mencuri perhatian apabila Cheng Lei cuba mempelajari beberapa ungkapan Bahasa Melayu sebelum menggunakannya secara spontan di atas pentas.
Aksinya itu mengundang sorakan dan gelak tawa peminat, sekali gus mencipta suasana lebih mesra dan dekat dengan budaya tempatan.
Tidak berhenti di situ, suasana berubah menjadi lebih emosional apabila Cheng Lei membaca mesej yang ditulis peminat dan menonton video khas yang dihasilkan untuknya.
Momen itu memperlihatkan hubungan dua hala antara bintang dan peminat yang bukan sekadar terikat menerusi drama, sebaliknya terbina melalui sokongan serta penghargaan yang diberikan secara langsung.
Kemuncak acara terbuka kepada umum itu menyaksikan Presiden iQIYI International, Yang Xianghua, menyampaikan anugerah penghargaan kepada Cheng Lei sebagai tanda pengiktirafan atas peranannya sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI.

Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata kemunculan Cheng Lei di Malaysia membuktikan pasaran tempatan terus memainkan peranan penting dalam perkembangan hiburan China di rantau ini.
“Membawa iQIYI STARSHIP ke Malaysia buat kali kedua pada tahun ini mencerminkan kekuatan pasaran Malaysia serta peningkatan minat dan penglibatan peminat tempatan terhadap hiburan dari China.
“Selepas kemunculan artis seperti Luo Zheng, Chen Zheyuan dan Esther Yu sebelum ini, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Cheng Lei dan mendekatkannya dengan peminat Malaysia.
“Menerusi promosi drama, acara bersama peminat dan pengalaman eksklusif, iQIYI STARSHIP membolehkan kami membawa pengalaman hiburan melangkaui skrin, di samping mengeratkan hubungan antara artis China dan penonton tempatan,” katanya.
Populariti Cheng Lei dalam kalangan penonton antarabangsa terus berkembang menerusi deretan drama China yang mendapat perhatian luas.
Antara karya yang mengukuhkan namanya ialah How Dare You!? (成何体统) menerusi watak Xiahou Dan, seorang ‘maharaja yang berpindah dunia’ yang mempunyai sisi keperibadian penuh kontras.
Watak berkenaan mendapat perhatian penonton iQIYI International dan menjadi antara karya yang memperluaskan lagi pengaruh Cheng Lei di peringkat antarabangsa.
Selain itu, beliau turut membintangi Legend of the Female General (锦月如歌) dan Shadow Love (与晋长安). Peminat kini turut menantikan kemunculan drama terbaharunya, Leading Stars (许你星河千里).

Bagi Cheng Lei, pengalaman bertemu peminat Malaysia secara bersemuka memberikan makna tersendiri dalam perjalanan seninya.
“Ini merupakan kali pertama saya menyertai iQIYI STARSHIP di Malaysia dan saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua peminat di sini.
“Sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan melihat sendiri keterujaan semua orang menjadikan kunjungan kali ini lebih bermakna dan sukar dilupakan.
“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan dan berharap dapat kembali ke Malaysia pada masa akan datang,” katanya.
Selepas acara terbuka kepada umum berakhir, Cheng Lei meneruskan interaksi bersama media Malaysia dan serantau menerusi sesi sidang media khas.
Dalam sesi itu, beliau berkongsi pandangan mengenai Malaysia, termasuk pengalaman menikmati makanan tempatan serta pandangannya terhadap sambutan peminat di negara ini.

Tidak ketinggalan, Cheng Lei turut bercerita mengenai perjalanan kariernya sebagai pelakon, termasuk cabaran dan proses kreatif yang dilalui dalam menghidupkan watak berbeza di layar.
Kehadiran Cheng Lei menerusi iQIYI STARSHIP 2026 sekali gus membuka ruang lebih dekat antara bintang drama China itu dengan peminat Malaysia, selain mengukuhkan peranan platform berkenaan dalam membawa kandungan dan barisan artis China lebih dekat kepada penonton serantau.
