Nastia ‘Berdua’, Tetap Janji Gegaran Luar Biasa

Biar hanya tampil berdua, kumpulan Nastia tetap mahu memastikan Nastia Project: Soul Journey menjadi sebuah persembahan yang meninggalkan kesan mendalam buat peminat apabila bakal menggegarkan Zepp Kuala Lumpur pada 16 Oktober depan.
Selepas lebih sedekad mewarnai industri muzik tanah air, vokalis Nastia, Leo Azman bersama pemain dram, Rudy Iskandar bakal meneruskan perjalanan projek istimewa itu tanpa dua lagi anggota kumpulan berkenaan, Zac Zainal Abidin (keyboard) dan Jaeng (bass).
Konsert berkenaan dianjurkan Miracle Touch Creative House dengan kerjasama SN SMART NIKKO, yang menjanjikan sebuah pengalaman muzik berbeza menerusi konsep Soul Journey yang mengangkat kisah kehidupan, harapan, kehilangan dan cinta.

Lebih menarik, Nastia turut menggandingkan dua nama yang cukup sinonim dengan karya penuh jiwa, Fynn Jamal dan Amir Jahari, sekali gus menjadikan pentas Zepp Kuala Lumpur sebagai medan pertemuan tiga identiti muzik berbeza.
Leo atau nama sebenarnya, Nur Azman Azhari berkata, pada awalnya dia dan Rudy berharap dapat tampil dalam formasi lengkap empat anggota, namun keadaan tidak mengizinkan.
“Kalau boleh saya dan Rudy nak tampil berempat untuk projek ini tetapi mereka tak setuju, jadi kami teruskan berdua sahaja.

“Mereka masih dalam band Nastia. Cuma untuk projek ini mereka tak sertai. Tapi doa-doakanlah, mana tahu kami kembali bersatu untuk projek ini nanti, insya-Allah,” katanya ketika ditemui sewaktu sidang media yang telah berlangsung di St Giles Boulevard Hotel Kuala Lumpur pada 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun, Leo dan Rudy tidak mahu perubahan formasi itu menjejaskan fokus mereka untuk menjadikan Nastia Project: Soul Journey sebagai sebuah persembahan yang istimewa.
Malah, konsep konsert itu sendiri dibina berasaskan perjalanan emosi, dengan setiap lagu membawa kisah dan kenangan yang dekat dengan kehidupan peminat.
Peminat bakal disajikan dengan seleksi lagu popular Nastia menerusi susunan muzik baharu, selain elemen visual serta produksi pentas yang dirangka khas bagi membawa penonton menyelami dunia Soul Journey.
Kehadiran Fynn Jamal dan Amir Jahari pula dijangka memberikan dimensi berbeza kepada persembahan, khususnya menerusi karakter muzik dan penyampaian kedua-dua penyanyi berkenaan yang cukup dekat dengan elemen emosi.
Menurut pihak penganjur, konsert itu bukan sekadar mahu menghidangkan persembahan muzik, sebaliknya menjadi satu bentuk penghargaan kepada peminat yang terus menyokong Nastia sejak awal perjalanan seni mereka.

“Soul Journey bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah perjalanan yang menghubungkan muzik dengan jiwa. Setiap lagu membawa kisah, setiap melodi menyimpan kenangan, dan setiap penonton akan menjadi sebahagian daripada perjalanan itu.”ujar Khoo Boon Chong, Pengarah Urusan Smart Nikko.
Kenyataan itu cukup menggambarkan hala tuju konsert yang mahu membawa penonton bukan sekadar mendengar lagu, tetapi turut merasai cerita dan emosi di sebalik setiap persembahan.
Bagi Leo pula, pentas Nastia Project: Soul Journey menjadi peluang untuk dia dan Rudy meneruskan legasi kumpulan berkenaan, selain membuktikan bahawa kekuatan sesebuah persembahan tidak semestinya bergantung kepada jumlah anggota di atas pentas.
Walaupun Nastia hanya tampil berdua untuk projek ini, harapan untuk melihat empat anggota kembali bersama masih terbuka.
Malah, pengakuan Leo mengenai impiannya untuk melihat Nastia kembali beraksi dalam formasi lengkap memberi sedikit sinar kepada peminat yang berharap penyatuan semula itu dapat direalisasikan suatu hari nanti.
Namun, buat masa ini, perhatian mereka tertumpu kepada satu malam istimewa di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket Nastia Project: Soul Journey boleh didapati menerusi platform rasmi Ticket2U, dengan peminat disaran mendapatkan tiket lebih awal berikutan kapasiti venue yang terhad.
