August 11, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Istana Budaya Kembali Menggegar Pentas Seni

Spread the love

Selepas lebih dua tahun ditutup, IB kembali dengan wajah baharu hasil naik taraf RM80 juta, tampilkan barisan program tempatan dan antarabangsa serta sasar kukuhkan kedudukan sebagai Panggung Nasional

Kredit Foto: Istana Budaya

Selepas lebih dua tahun tirainya tertutup, Istana Budaya (IB) kembali menghidupkan pentas seni negara dengan wajah baharu, fasiliti yang dipertingkatkan dan barisan program yang lebih berani sepanjang 2026.

Penutupan IB sejak Januari 2024 bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan dan naik taraf bumbung kini berakhir apabila institusi berkenaan bersedia menerima semula penggiat seni, produksi tempatan dan antarabangsa serta peminat seni persembahan.

Transformasi menerusi peruntukan RM80 juta itu bukan sekadar memperbaharui prasarana fizikal, malah memperkukuh ekosistem teknologi pentas bagi memenuhi tuntutan produksi moden dan perkembangan inovasi dalam industri kreatif.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) IB, Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin berkata, pembukaan semula itu menjadi detik bersejarah buat seluruh warga IB selepas lebih dua tahun menanti untuk kembali mengoperasikan lokasi seni persembahan bertaraf antarabangsa itu.

“Hari ini satu detik bersejarah dan amat bermakna buat seluruh warga IB apabila kami bersedia membuka semula tirai sebagai lokasi seni persembahan bertaraf antarabangsa untuk penggiat seni sama ada tempatan ataupun luar negara.

“Pembukaan semula ini bukan sekadar menandakan kembalinya operasi bangunan ikonik di ibu kota, tetapi melambangkan kesiapsiagaan institusi yang sentiasa berevolusi bagi memenuhi keperluan industri seni persembahan yang semakin dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Program IB 2026 di Istana Budaya, pada 10 Ogos lalu yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Bagi Shaharuddin, kebangkitan semula Panggung Sari sebagai Panggung Nasional Malaysia bukan sekadar mengembalikan fungsi sebuah bangunan ikonik, malah menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh agenda seni dan budaya negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Katanya, kerajaan mahu IB menjadi lebih daripada sekadar venue persembahan bertaraf dunia, sebaliknya mampu menjadi hab seni yang berdaya saing serta memberikan pulangan ekonomi kepada institusi dan industri kreatif.

“Setakat bertaraf dunia itu masih tidak mencukupi. Kita mahu apa-apa program yang dibuat di Istana Budaya ini mampu memberi pulangan yang amat lumayan kepada Istana Budaya itu sendiri.

“Program-program yang dibuat juga kita mahu berkualiti antarabangsa dan dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi supaya memberi pulangan yang lumayan kepada para penganjur kemudian hari,” katanya.

Menurut Shaharuddin, kerajaan memperuntukkan RM80 juta bagi menaik taraf fasiliti IB sebagai sebahagian usaha memastikan institusi itu terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Katanya, kemudahan yang lebih baik perlu disusuli program berkualiti tinggi supaya IB mampu menarik lebih banyak produksi besar dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif.

Pembukaan semula itu turut diserikan dengan peluncuran lima program terbitan IB selain rangkaian persembahan oleh syarikat dan produksi luar sepanjang tahun ini.

Antara program yang dijadualkan ialah Nuansa Urban Rohani 2026, Laman Santai Seni Budaya: Pesona Malaysia, NSO bersama Aubrey Suwito “Pop & Simfoni” serta Teater Muzikal Pengembaraan Sang Kancil.

Panggung Sari pula bakal menjadi pentas kepada beberapa produksi berskala besar termasuk Teater Muzikal Mansur & Liu, Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad, Festival Filem Malaysia Ke-35, Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5 dan Teater Legenda Puteri Santubong.

Kehadiran semula deretan program berkenaan dijangka mengembalikan denyut seni di Panggung Sari, selain membuka lebih banyak ruang kepada penggiat seni tempatan untuk berkarya dan mempertemukan penonton dengan produksi antarabangsa.

Pada masa sama, IB mahu memanfaatkan kemudahan baharu itu bagi memperluas peranannya sebagai pusat seni persembahan yang bukan sahaja menjadi kebanggaan negara, malah mampu menarik pelancong menerusi kandungan seni dan budaya berkualiti tinggi.

Shaharuddin berkata, fasiliti yang lebih baik serta pengisian program berkualiti mampu menjadikan IB pemangkin pembangunan industri kreatif, selain menyokong Kempen Melawat Malaysia 2026 dan 2027.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page