Bukan Sekadar Drama Madu, ‘Madu Atau Racun’ Bongkar Pengkhianatan Seorang Suami

Aliff Aziz, Uqasha Senrose dan Elisya Sandha bergandingan dalam naskhah iQIYI Original yang mempertaruhkan emosi, trauma serta kebangkitan dua wanita melawan manipulasi lelaki.
Selama ini drama poligami sering memaparkan dua isteri bermusuhan demi merebut kasih seorang lelaki. Namun, iQIYI Original Madu Atau Racun tampil memecahkan stereotaip itu apabila mengangkat kisah dua wanita yang akhirnya bersatu selepas menyedari mereka sebenarnya menjadi mangsa kepada lelaki yang sama.
Bakal menemui penonton bermula 14 Ogos ini, siri 12 episod arahan Eyra Rahman itu menjanjikan perjalanan emosi yang sarat dengan pengkhianatan, trauma, pengorbanan dan keberanian wanita bangkit mempertahankan maruah mereka.

Mengangkat tagline “Satu Rumah. Dua Isteri”, drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. itu membawa penonton menyelami kehidupan Azura dan Nikita yang pada mulanya saling membenci sebelum takdir memaksa mereka tinggal sebumbung.
Dalam keadaan penuh tekanan itu, kedua-duanya mula memahami penderitaan masing-masing sebelum menyedari bahawa musuh sebenar bukanlah wanita yang berkongsi suami, tetapi lelaki yang selama ini memperalatkan kehidupan mereka.
Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata, Madu Atau Racun dihasilkan bukan sekadar untuk mengangkat isu poligami, sebaliknya membuka ruang kepada penonton melihat sesuatu daripada sudut pandang yang lebih luas.
“Kami percaya sesebuah cerita yang baik bukan hanya menghiburkan, tetapi mampu mencetuskan perbualan dan mengajak penonton berfikir. Drama ini bukan sekadar berkisar tentang poligami, sebaliknya perjalanan dua wanita yang dipaksa berkongsi kehidupan sehingga akhirnya mengubah persepsi mereka terhadap satu sama lain.
“Jangan membuat kesimpulan terlalu awal kerana setiap episod akan membongkar rahsia baharu yang mampu mengubah tanggapan penonton terhadap setiap watak,” katanya.
Drama itu menampilkan Aliff Aziz sebagai Adli, seorang ahli perniagaan berpengaruh yang tamak dan mementingkan diri sendiri sehingga sanggup memperjudikan kebahagiaan dua wanita demi memenuhi kehendaknya.



Watak Azura pula dibawakan Uqasha Senrose sebagai isteri yang setia, penyabar dan sanggup berkorban demi rumah tangga walaupun terpaksa menelan hakikat dirinya masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kemunculan Nikita lakonan Elisya Sandha akhirnya mengubah seluruh kehidupan mereka apabila perkahwinan kedua Adli membuka lembaran baharu yang dipenuhi konflik dan dendam.
Bagi pengarah Eyra Rahman, walaupun tema rumah tangga, curang dan poligami sering dipaparkan dalam drama tempatan, setiap karya tetap mempunyai roh dan identitinya sendiri.
“Setiap pelakon membawa tafsiran yang berbeza terhadap watak mereka. Saya percaya di situlah lahirnya keunikan sesebuah naskhah,” katanya.
Eyra turut mempertahankan pemilihan Aliff sebagai teraju utama kerana percaya bakat dan profesionalisme pelakon itu mengatasi segala persepsi luar.
“Saya melihat sendiri bagaimana Aliff memberikan komitmen penuh terhadap wataknya. Dia seorang pelakon yang sangat berbakat, berdedikasi dan berdisiplin sepanjang penggambaran. Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya,” katanya.
Sementara itu, Elisya menganggap Nikita sebagai antara watak paling mencabar pernah dilakonkannya kerana karakter itu mempunyai pelbagai lapisan emosi.
“Bila baca skrip, saya terus tertarik. Nikita bukan sekadar watak jahat. Dia wanita yang penuh trauma dan emosi yang belum terungkai. Saya memang suka watak yang mencabar seperti ini,” katanya.
Dengan gabungan lakonan mantap, jalan cerita yang penuh kejutan serta sentuhan pengarahan Eyra Rahman, Madu Atau Racun bukan sekadar menyajikan konflik rumah tangga, malah mengangkat kisah tentang kekuatan wanita, persahabatan yang lahir daripada penderitaan dan keberanian melawan manipulasi.
Drama ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform iQIYI bermula 14 Ogos 2026, dengan episod baharu disiarkan setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.
