“Saya Menangis Setiap Kali Merakamkan Lagu ‘Ibu Doa’ ” – Dato Khadijah Ibrahim

Kredit Foto: Papadin
26 tahun menyepi daripada rakaman solo, Dato’ Khadijah Ibrahim kembali dengan “Ibu Doa”, karya yang lahir daripada kasih seorang ibu.
“Saya menangis setiap kali merakamkan lagu ini… sebab saya teringat anak-anak.”
Pengakuan penuh emosi itu terbit daripada hati legenda seni suara negara, Dato’ Khadijah Ibrahim, ketika menceritakan perjalanan menghasilkan Ibu Doa, single solo terbaharu yang menandakan kepulangannya ke studio rakaman selepas 26 tahun.
Bagi penyanyi yang sudah lebih lima dekad mewarnai industri muzik tanah air, Ibu Doa bukan sekadar sebuah lagu baharu. Ia adalah cebisan kisah hidupnya sebagai seorang ibu, yang selama ini menyimpan seribu doa buat anak-anak tanpa pernah mengharapkan balasan.
Single berkenaan dilancarkan dalam satu majlis penuh bermakna di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, hari ini, sekali gus menamatkan penantian peminat yang sekian lama mengharapkan buah tangan baharu daripada penyanyi berusia 66 tahun itu.
Sepanjang lebih 50 tahun bergelar anak seni, Khadijah telah merakamkan 18 album dan lebih 180 lagu, sekali gus meletakkan namanya sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh di negara ini. Lagu-lagu seperti Doa Buat Kekasih, Kupendam Sebuah Duka dan deretan karya malar segarnya terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini.
Namun, di sebalik senyuman yang sentiasa menghiasi wajahnya, proses melahirkan Ibu Doa sebenarnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
Ketika rakaman dijalankan, Khadijah masih dalam proses pemulihan selepas diserang demam denggi selain berdepan masalah vertigo yang menjejaskan kekuatan vokalnya.

Rakaman yang pada awalnya disangka dapat disiapkan dalam tempoh singkat akhirnya memakan masa hampir 10 bulan, termasuk hampir dua bulan khusus untuk merakam semula vokal sehingga mencapai tahap yang diinginkan.
“Saya sangka rakaman kali ini akan berjalan seperti biasa. Tetapi selepas demam denggi dan vertigo, suara saya belum benar-benar pulih. Ada bahagian yang terpaksa diulang berkali-kali kerana saya mahu hasil terbaik untuk peminat.”
Lebih menyentuh hati, Khadijah mengakui setiap kali mikrofon dihidupkan, emosinya sukar dibendung.
“Lagu ini terlalu dekat dengan kehidupan saya. Setiap bait lirik mengingatkan saya kepada perjalanan membesarkan anak-anak. Saya tidak dapat menahan air mata kerana saya benar-benar menghayatinya. Sebagai ibu, kita mungkin tidak mampu memberikan segala-galanya, tetapi doa kita tidak pernah berhenti walaupun anak-anak sudah dewasa.” ujarnya ketika ditemui media di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur pada 5 Ogos lalu.
Kejujuran itulah yang akhirnya memberi roh kepada Ibu Doa, sebuah karya yang lahir daripada persahabatan panjang antara Khadijah dan komposer serta penulis liriknya, Baizura Tazri.
Hubungan mereka yang terjalin sejak kecil pernah menemukan kedua-duanya menerusi lagu raya Meriah Hanya Raya pada 2024 sebelum Baizura menghadiahkan sebuah lagu yang pada asalnya diberi judul Doa Ibu.
Bagaimanapun, Khadijah mencadangkan supaya tajuk itu ditukar kepada Ibu Doa, kerana percaya ia lebih indah, lebih puitis dan lebih dekat dengan mesej yang ingin disampaikan.
Baizura berkata, inspirasi menghasilkan lagu berkenaan lahir daripada kehidupannya sendiri sebagai seorang ibu kepada enam orang anak termasuk lima anak angkat.

“Saya tidak menulis lagu ini sebagai komposer semata-mata. Saya menulisnya sebagai seorang ibu. Saya percaya setiap ibu mempunyai doa yang sama, mahu melihat anak-anak berjaya, bahagia dan sentiasa berada dalam lindungan Allah. Apabila saya berbual panjang dengan Kak Khaty mengenai kehidupan kami sebagai ibu, saya sedar perasaan itu sangat serupa. Dari situlah lahirnya Ibu Doa.”
Menurut Baizura, beliau berharap lagu berkenaan bukan sekadar menjadi halwa telinga, sebaliknya mampu menghidupkan semula rasa kasih dan penghargaan terhadap ibu.
“Jika selepas mendengar lagu ini ada anak yang terus menghubungi ibu mereka atau pulang memeluk ibu masing-masing, saya rasa itulah kejayaan sebenar lagu ini. Selagi masih ada peluang, hargailah insan yang tidak pernah putus mendoakan kita.”
Diterbitkan oleh Jasmine Raj Production, Ibu Doa menerima sentuhan Pengarah Muzik Syam Swardy Daud dengan susunan string oleh Rustan Imam.

Karya itu turut dijayakan pemuzik berpengalaman seperti Daniel Saha, Kabung dan Johan John, manakala vokal latar disumbangkan Nana, Hajer dan Jupin.
Single berkenaan akan diedarkan oleh Sony Music Malaysia menerusi semua platform penstriman digital dalam masa terdekat. Video lirik rasmi kini sudah boleh ditonton di YouTube, manakala video muzik sedang dalam proses pembikinan.
Mengulas perancangan selepas ini, Khadijah berkata semangatnya untuk terus berkarya masih membara.
Beliau bakal meneruskan kerjasama bersama kumpulan Barambi bagi menghasilkan empat lagi lagu baharu yang akan dipersembahkan dalam segmen khas sempena konsertnya di Sabah pada 6 November depan. Selain itu, beliau turut merancang menghasilkan beberapa karya berbahasa Inggeris sebagai sebahagian daripada fasa baharu perjalanan seninya.
