June 16, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

RM1 Pun Boleh Bida! Karnival Peluang Kedua Tampil Kelainan Dengan Artis Popular

Spread the love

Kredit Foto:  PapaDin

Siapa kata program berkaitan kebankrapan hanya sarat dengan urusan dokumentasi dan kaunter perkhidmatan?

Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi penganjuran Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026, yang bukan sahaja menawarkan pelbagai perkhidmatan dan konsultasi kepada orang ramai, malah turut diserikan dengan persembahan artis popular tanah air serta jualan dan lelongan barangan pada harga serendah RM1.

Karnival berskala nasional itu akan memulakan jelajahnya di Zon Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Jun ini sebelum bergerak ke beberapa negeri lain termasuk Johor, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sehingga Disember depan.

Lebih menarik, pengunjung bakal dihiburkan dengan persembahan barisan artis terkenal seperti Ewal & Rody Kristal, Zul Handy Black, Azlan The Typewriter, The Rayhan serta beberapa lagi artis jemputan yang akan memeriahkan siri jelajah berkenaan.

Gabungan elemen hiburan dan pendidikan atau edutainment itu dilihat sebagai usaha MDI untuk mendekati masyarakat secara lebih santai sambil menyampaikan mesej penting mengenai peluang pelepasan kebankrapan dan pemulihan kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata seseorang yang pernah diisytiharkan bankrap tidak seharusnya terus dibelenggu stigma atau dihukum sepanjang hayat akibat kesilapan kewangan yang pernah berlaku.

Katanya, Dasar Peluang Kedua diwujudkan bagi memberi ruang kepada individu yang layak untuk mendapatkan pelepasan kebankrapan dan membina semula kehidupan mereka.

“Dasar ini memberi peluang kepada individu untuk kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan ekonomi negara.

“Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi dianjurkan bagi mendekatkan maklumat serta perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dalam suasana yang lebih mesra dan terbuka,” katanya ketika merasmikan pelancaran karnival berkenaan di Lobi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), pada 15 Jun lalu.

Menurut Azalina, karnival itu bukan sekadar memberi penerangan mengenai proses pelepasan kebankrapan, sebaliknya bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap individu yang pernah berdepan kegagalan kewangan.

“Apabila seseorang diberi peluang untuk memulakan semula kehidupan, manfaatnya bukan sahaja kepada individu terbabit, malah kepada keluarga, komuniti dan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Selain khidmat nasihat dan konsultasi berkaitan kebankrapan, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran agensi kerajaan, sesi penerangan khas, cabutan bertuah dan demonstrasi lelongan awam secara langsung.

Paling mencuri perhatian apabila sebuah platform e-dagang dijangka menawarkan pelbagai barangan tidak dituntut untuk dijual pada harga permulaan serendah RM1, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri pengalaman menyertai proses lelongan sebenar.

Inisiatif itu juga membuka ruang kepada orang ramai untuk memahami bagaimana aset dan barangan tertentu diuruskan serta dilupuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Dengan gabungan persembahan artis popular, pelbagai aktiviti kekeluargaan, khidmat nasihat percuma dan peluang mendapatkan barangan pada harga luar biasa murah, Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 dijangka menjadi antara program turun padang kerajaan paling unik tahun ini.

Lebih penting, ia membawa mesej bahawa kegagalan kewangan bukanlah noktah kehidupan, sebaliknya satu pengalaman yang boleh dijadikan titik permulaan untuk bangkit semula dan membina masa depan yang lebih baik.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page